28 Februari 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 28 FEBRUARI

1. WAWASAN 2020 DIUMUMKAN  [1991]

Pada  hari  ini , Perdana  Menteri, YAB  Dato’  Seri  Dr.  Mahathir  Mohamad  telah  mengumumkan  wawasan  jangka  panjang  Malaysia  untuk  menjadi  negara  maju  menjelang  tahun  2020  pada  Majlis  Perdagangan  Malaysia. Wawasan  ini  telah  dibentangkan  di dalam  satu  kertas  kerja  yang  bertajuk  ‘Malaysia- The Way  Forward’ di mana  di dalam  kertas kerja  tersebut  terdapat  pemikiran  dan   rangka  kerja  mengenai  matlamat  Malaysia  untuk  menjadi  sebuah  negara  maju  menjelang  tahun  2020.  Wawasan  2020  yang  mengandungi  sembilan  cabaran  ini  merangkumi  semua  aspek  kehidupan  daripada segi moral, ekonomi, politik  dan sosial. Matlamat  wawasan  ini  ialah  untuk menjadikan  Malaysia  negara  maju  menjelang  2020  dan  mencapai   kemajuan  yang  seimbang  dari  segi  fizikal  dan  rohani  agar  ia  dapat  melahirkan  satu  Bangsa  Malaysia  yang  kuat  dan  bersatu.



2. PERTABALAN DYMM SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG KEENAM  [1976]

Pada hari ini  , Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim, iaitu Sultan Kelantan telah ditabalkan menjadi Yang di-Pertuan Agong Keenam. Istiadat pertabalan yang gilang-gemilang dan penuh warna-warni ini telah dilangsungkan di Balai Rong Seri, Dewan Tuanku Abdul Rahman mengikut adat istiadat kebesaran Raja-Raja Melayu. Istiadat pertabalan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong yang dijalankan pada hari ini dalam tahun 1976 telah diiringi oleh Kumpulan Nobat DiRaja dari Alor Setar, Kedah. Dengan perlantikan Baginda sebagai Yang Dipertuan Agong juga menjadikan Baginda Panglima Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia sehinggalah tamat tempoh perkhidmatan Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong.

3. JAMBATAN SULTAN ABU BAKAR DIRASMIKAN  [1970]

Pada hari ini  , Sultan Pahang DYMM Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al Mu’adzam Shah telah merasmikan pembukaan Jambatan Sultan Abu Bakar di Pekan, Pahang.  Jambatan yang merentangi Sungai Pahang ini dinamakan Jambatan Sultan Abu Bakar mengambil sempena nama baginda.  Jambatan sepanjang 600 meter ini, menghubungkan Peramu (lebih dikenali Pekan Seberang) dan Kampung Mengkasar, yang terletak berhampiran dengan bandar Pekan.Sebelum pembinaan Jambatan Sultan Abu Bakar ini, penduduk-penduduk Pekan terpaksa menggunakan Feri (Pontoon) sebagai alat perhubungan bagi merentasi Sungai Pahang.

Gambar : Wawasan 2020
Rujukan : Arkib Negara Malaysia

- ZAH -

27 Februari 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 27FEBRUARI

1. PENUBUHAN PERSATUAN CINA MALAYA (MCA)  [1949]

Pada   hari   ini ,  Persatuan  Cina  Malaya  (MCA)  telah ditubuhkan.  Penubuhannya  adalah  hasil  daripada  perjumpaan  seramai  300  orang perwakilan  cina  dari  seluruh  Persekutuan Tanah  Melayu  kecuali  negeri  Kelantan.  Ianya  telah  diadakan  di Dewan  Perhimpunan  Cina,  Kuala Lumpur.   Tan Cheng Lock  telah  dipilih  sebagai  Presiden.  Pada  perhimpunan  tersebut  juga,  telah melihatkan   pemilihan  seramai  100  orang  ahli  jawatankuasa  Pusat  dan  wakil-wakli negeri dan Kuala Lumpur sebagai Ibu Pejabat MCA.  Pada  peringkat  awal  penubuhannya, MCA  lebih  menjurus  sebagai  Pertubuhan  Kebajikan,  namun  pada  tahun  1952  ia  telah  menjadi  sebuah  parti  politik  dengan  menyertai  Perikatan  UMNO-MCA bagi  tujuan  memenangi  Pilihanraya  Perbandaran  Kuala  Lumpur.Berikutan daripada  permuafakatan  ini,  ianya  telah  membawa  kepada  kerjasama  dalam  perjuangan  untuk  memperolehi  kemerdekaan  negara  pada  31  Ogos  1957.



2. PERLETAKAN BATU ASAS MASJID NEGARA  [1963]

Pada hari ini  , DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail berkenan meletakkan batu asas Masjid Negara di Kuala Lumpur. Sebenarnya cita-cita untuk membina Masjid Negara yang berharga 10 juta ringgit itu telah timbul kira-kira sebulan sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.Masjid Negara mempunyai bentuk binaan yang menarik dan pembinaannya telah mengambil masa selama lima tahun. Rupa bentuknya mengandungi ciri-ciri yang berunsurkan senibina Islam yang bersulamkan unsur-unsur seni tempatan dan diolah secara moden.Bahagian dalam dewan itu dihiasi indah dengan ayat-ayat Quran yang tertulis di sekeliling dinding temboknya. Selain daripada digunakan sebagai tempat sembahyang, Masjid Negara juga merupakan pusat kegiatan Agama Islam di negara ini.

3. PENGISYTIHARAN PENYERAHAN ISTANA JAMAIAH UNTUK DIJADIKAN KOLEJ ISLAM SEMALAYA  [1953]

Pada hari ini , Duli Yang Maha Mulia Sultan Hisamuddin Alam Shah Ibni Almarhum Sultan Alaiddin Sulaiman Shah, telah mengisyhtiharkan penyerahan Istana Jamaiah untuk dijadikan Kolej Islam Se Malaya. Istana Jamaiah dan tanah tapaknya telah diserahkan oleh Sultan kepada Majlis Agama Islam Selangor untuk ditadbirkan. Dengan adanya Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam dan adat istiadat Melayu, bermakna akan melipat gandakan tanggungan-tanggungan dan urusan-urusan Majlis Agama. Sejak penyerahan Istana Jamaiah untuk dijadikan Kolej Islam Se Malaya pada hari ini dalam tahun 1953, kolej tersebut telah berkembang dengan pesatnya. Ramai para cendikiawan Agama Islam telah mendapat pendidikan dari kolej ini malah kolej ini menjadi salah sebuah pusat pengajian tinggi Islam yang terkenal di Malaysia.

Gambar : Presiden MCA pertama
Rujukan : Arkib Negara Malaysia

- ZAH -

26 Februari 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 26 FEBRUARI



1. PERASMIAN KILANG PROTON, TANJUNG MALIM [2005]

Pada hari ini , YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah merasmikan kilang baru Perusahaan Otomobil Nasional Bhb (Proton) Tanjung Malim berharga RM1.8 billion, di Tanjung Malim, Perak. Kilang tersebut terletak di kawasan seluas 517 hektar merupakan lima kali lebih besar daripada kilang Proton di Shah Alam. Kilang Proton di Tanjung Malim merupakan kilang automotif termoden di rantau ASEAN dan mampu mengeluarkan sejuta unit kereta setahun. Pasaran kenderaan penumpang di Malaysia merekodkan jualan melebihi 480,000 unit pada tahun 2004 dengan kira-kira 35 peratus dikuasai oleh Proton. 



2. PERKHIDMATAN FOTO-TELEGRAF ANTARA KUALA LUMPUR DENGAN NEGARA LUAR [1968]

Pada hari ini , Perkhidmatan Foto-Telegraf dari Kuala Lumpur ke Amerika Syarikat, Australia, Britain, Kanada, German Barat, Hong Kong, Korea Selatan dan New Zealand dilancarkan.Perkhidmatan ini membolehkan gambar, lukisan, filem, pelan, dokumen dan sebagainya yang dicetak, ditaip atau ditulis, ditelegrafkan dari Kuala Lumpur melalui litar bermutu tinggi ke negara-negara tersebut. Foto-Telegraf yang dikirimkan dapat diterima di dalam salinan tepat. Penyalinan "photographic tone" adalah memuaskan terutama sekali ke atas bahan-bahan berwarna hitam berlatar belakang putih. Saiz maksima bahan-bahan untuk ditelegramkan adalah berukuran 10 x 9 inci. Perkhidmatan ini merupakan satu kemajuan negara dalam bidang perkhidmatan perhubungan antarabangsa.

3. PENUBUHAN UNIVERSITI UTARA MALAYSIA [1984]

Pada hari ini , Universiti Utara Malaysia (UUM) telah ditubuhkan di bawah Perintah (Perbadanan) Universiti Utara Malaysia. Universiti keenam ini ditubuhkan bagi memenuhi permintaan terhadap pendidikan tinggi dan menampung kekurangan tempat di lima Universiti tempatan yang sedia ada. Pada 19 Oktober 1983, Kabinet telah meneliti dan meluluskan penubuhan Universiti ini. Seramai 295 orang penuntut telah memulakan pengajian bagi Fasa pertama pada 7 Julai 1984. Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah telah dilantik sebagai Canselor. Manakala Profesor Tan Sri Dato’ Awang Had Salleh telah dilantik sebagai Naib Canselor yang pertama. Kampus tetap UUM di Sintok yang berkeluasan seluas 1,061 hektar telah memulakan operasi pada 15 September 1990.

Gambar : Kilang Proton , Tanjung Malim
Rujukan : Arkib Negara Malaysia

- ZAH -

25 Februari 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 25 FEBRUARI

1. KAWASAN PEMBANGUNAN NELAYAN (KPN) KUALA KEDAH DIRASMIKAN  [1985]

Pada hari ini  , Menteri Pertanian, Encik Anwar Ibrahim telah merasmikan Kawasan Pembangunan Nelayan (KPN) Kuala Kedah. Kawasan Pembangunan Nelayan (KPN) adalah program yang diperkenalkan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk membantu kaum nelayan. Lima program utama akan dilaksanakan di Kuala Kedah dengan konsep KPN.  Program-program tersebut ialah; program moden isasi penangkapan ikan laut, program pembangunan masyarakat nelayan, program khidmat sokongan pemasaran; program ternakan dan program infranstruktur perikanan. Kelima-lima program ini mempunyai hubungkait antara satu sama lain dan ianya dapat membantu nelayan ke arah kemajuan. Sesungguhnya Kawasan Pembanguna Nelayan ini mampu membantu dalam peningkatan ekonomi Negara disamping dapat mengurangkan kadar kemiskinan negara.



2. PERANG LARUT-NGAH IBRAHIM MEMINTA BANTUAN INGGERIS  [1872]

Pada hari ini  , Menteri Larut Ngah Ibrahim meminta bantuan Leftenan Gabenor Inggeris di Pulau Pinang untuk membantu beliau dalam usahanya menyelesaikan pergaduhan di antara puak-puak pelombong Cina yang bermusuhan antara satu dengan lain di Larut. Daerah Larut telah beberapa lamanya diperintah oleh seorang wakil baginda Sultan Perak. Dengan terjumpanya bijih timah dalam tahun 1848 maka berubahlah aliran sejarah negeri itu. Long Jaafar (bapa kepada Ngah Ibrahim), wakil Sultan di daerah itu telah menguruskan atas perbelanjaannya sendiri, usaha membuka lombong bijih di Kelian Pauh dengan mengupah 20 orang Cina puak Chen Seng Hakka (dari daerah Kwantung).Terdapat beberapa buah kumpulan kongsi gelap yang bermusuhan di Larut yang bergabung dalam dua kumpulan yang besar iaitu kongsi gelap Hai San dan Ghee Hin. Permusuhan itu telah menjadikan Larut sebagai "sebuah gelanggang besar di mana pembunuhan, kekerasan dan rompak samun berlaku terus-terusan".Ngah Ibrahim yang sentiasa berubah-ubah sokongannya terhadap kedua-dua kumpulan itu tidak dapat mengawal keadaan. Pergaduhan itu telah menjejaskan perusahaan lombong bijih timah di Larut. Akhirnya, pada hari ini dalam tahun 1872 beliau terpaksa meminta bantuan daripada Leftenan Gabenor Inggeris di Pulau Pinang untuk menghadapi keadaan itu.



3. LALUAN DARAT PERTAMA, HUBUNGKAN MALAYSIA DENGAN INDONESIA DIRASMIKAN  [1991]

Pada hari ini , apabila laluan darat yang pertama menghubungkan kedua-dua negara melalui Tebedu di Sarawak dan Entikong di Kalimantan barat dibuka dengan rasminya. Perasmian ini telah dilakukan bersama oleh Menteri Pertahanan Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak dan Panglima Angkatan bersenjata Republik Indonesia (ABRI) Jenderal Tan Sri Try Sutrisno.Di samping pembukaan laluan tersebut, kedua-duanya juga telah merasmikan bangunan kompleks imigresen masing-masing di Tebedu dan di Entikong.

Gambar : Menteri Pertanian Malaysia (1985-1986)
Rujukan : Arkib Negara Malaysia

- ZAH -

24 Februari 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 24 FEBRUARI

1. LAWATAN RATU ELIZABETH KEDUA KE KELANTAN  [1972]

Pada hari ini , Ratu Elizabeth kedua dari Britain bersama suaminya Putra Philip dan anak perempuan Puteri Anne telah tiba di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa, Kelantan.  Rombongan diRaja ini telah diiringi bersama oleh Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia iaitu Encik Johnston dan Menteri Pengiring ialah Dato’ Hamzah b. Abu Samah dan isteri Toh Puan Hajjah Zainon.  Berbagai program telah diatur sempena lawatan ini di antaranya ialah melawat ke Pusat Pertukangan Perak dan Kerjatangan dan Kilang Batek di Kampong Puteh.  Di sini rombongan diRaja ini telah diberi penerangan dan berpeluang melihat kerja-kerja pertukangan perak dan mengecap batik dilaksanakan.  Selain dari itu, rombongan ini juga telah dibawa melawat ke kawasan perkelahan yang masyhor di Kelantan iaitu Pantai Cinta Berahi.  Berapa acara kebudayaan tempatan telah diperlihatkan di antaranya ialah permainan gasing, wau, memetik kelapa dan pertunjukkan silat.



2. AMINUDDIN BAKI, TOKOH NASIONALIS KEMERDEKAAN MENINGGAL DUNIA  [1965]

Pada hari ini  , tokoh nasionalis kemerdekaan Encik Aminuddin Baki telah meninggal dunia.  Allahyarham merupakan seorang tokoh nasionalis kemerdekaan yang bertanggungjawab, berdedikasi dan aktif yang berjuang melalui pendidikan dan kegiatan kemasyarakatan. Mulai tahun 1959-1960 Allahyarham menjadi pensyarah sambilan di Kolej Islam dan berkhidmat sebagai Pegawai Pelajaran di Selangor.   Disamping itu, Allahyarham merupakan anak Melayu pertama memegang jawatan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.  Sepanjang hayatnya Allahyarham banyak bergiat dalam pelbagai jawatankuasa dan gerakan pelajar.  Jawatankuasa tersebut antaranya Jawatankuasa Bernes, Jawatankuasa Penyata Razak dan Laporan Rahman Talib.  Di samping itu Allahyarham juga aktif dalam kebudayaan, bahasa dan kemasyarakatan.

3. LEMBAGA PERTUBUHAN PELADANG DITUBUHKAN  [1973]

Pada hari ini  , Lembaga Pertubuhan Peladang telah ditubuhkan dan pengumumannya telah dibuat oleh Perdana Menteri, YAB Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein. Ianya bertujuan untuk mengambil alih tanggungjawab semua Persatuan Peladang dan Syarikat-syarikat kerjasama asas tani di negara ini. Lembaga ini juga berkuasa mendaftar, mengawal dan menyelia pertubuhan-pertubuhan peladang. Jelasnya, Pertubuhan Peladang ditubuhkan bagi mengadakan satu oraganisasi yang akan bertanggungjawab bagi menggalakkan usaha-usaha pertanian, memperbaiki kedudukan ekonomi dan sosial penduduk luar bandar.

Gambar : Lawatan ke Malaysia ketika Tuanku Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke 5
Rujukan : Arkib Negara Malaysia

- ZAH -

23 Februari 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 23 FEBRUARI

1. PERISTIWA BUKIT KEPONG [1950]

Pada hari ini , Balai Polis Bukit Kepong  telah bermandi darah apabila seramai 25 anggota polis dan orang awam telah terkorban dalam pertempuran akibat serangan pengganas-pengganas komunis. Mereka ialah tiga Pegawai Polis berpangkat rendah, enam anggota  polis biasa, tiga anggota  polis Marin, dua anggota  polis tambahan, lima anggota  polis bantuan, dua orang isteri serta dua orang anak anggota polis biasa, dan dua orang awam. Jumlah tersebut tidak termasuk kemalangan di pihak pengganas komunis, di mana tiga orang terbunuh dan 17 cedera. Di samping itu 3 buah bangunan telah musnah. Serangan telah dimulakan pada waktu subuh oleh segerombolan pengganas komunis seramai 180 orang. Mereka telah mengepung Balai Polis Bukit Kepong yang ketika itu sedang dikawal oleh 3 anggota polis. Apabila tembak menembak bermula kesemua anggota termasuk anak isteri mereka turut membantu dan berjuang hingga ketitisan darah terakhir. Balai Polis itu tidak Berjaya ditawan oleh pengganas-pengganas komunis tetapike seluruhan Balai telah dibakar dan mengorbankan nyawa anggota polis dan keluarga mereka.



2. PELANCARAN PROJEK PEMBANGUNAN NUSAJAYA  [2007]

Pada hari ini , Projek Pembangunan Nusajaya, sebuah Bandar bertaraf dunia terbesar di Asia Tenggara dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.embangunan Nusajaya merupakansalah satu daripada lima zon pembangunan utama dalam projek pembangunan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada 4 November 2006. Projek seluas 9,600 hektar yang dijangka siap sepenuhnya pada 2025 itu melibatkan tujuh komponen iaitu Pusat Pentadbiran Baru Negeri Johor, kelompok industry dan logistic selatan, hab perubatan dan ‘EduCity’ atau bandaraya ilmu, resort bersepadu pesisir pantai Puteri Harbour, kawasan kediaman dan destinasi rekreasi bertaraf dunia. Kedudukannya hamper dengan lima pelabuhan memberikan Nusajaya kelebihan sebagai bandaraya serantau.

3. PERASMIAN TAPAK INSTITUT JANTUNG NEGARA  [1990]

Pada hari ini, Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad merasmikan tapak Institut Jantung Negara (IJN) yang terletak di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.Antara sebab utama IJN ditubuhkan ialah kebimbangan kerajaan terhadap peningkatan jumlah kematian akibat penyakit jantung setiap tahun.  Penubuhan IJN bertujuan untuk meningkatkan kepakaran negara dalam perkhidmatan rawatan penyakit jantung dengan menjadikannya sebagai sebuah pusat rawatan, rujukan dan latihan pakar serta memberikan pendidikan kesihatan mengenai pencegahan dan pemulihan penyakit jantung kepada masyarakat.  IJN telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad pada 12 Jun 1993.

Gambar : Barisan Pejuang Bukit Kepong
Rujukan : Arkib Negara Malaysia

- ZAH -

22 Februari 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 22 FEBRUARI

1. SUDIRMAN HAJI ARSHAD MENINGGAL DUNIA [1992]

Pada hari ini, penghibur kesayangan ramai, Sudirman Haji Arshad meninggal dunia awal pagi di rumah kakaknya Datin Hajah Rodziah Haji Arshad di Bangsar, Kuala Lunmpur akibat penyakit radang paru-paru. Allahyarham dibawa pulang untuk disemadikan di kampung halaman di Temerloh, Pahang dan dikebumikan di tanah perkuburan Chengal, Kampung Tok Embun, Jalan Mentakab, Temerloh.Sudirman Haji Arshad mula mencipta namanya sebagai penyanyi apabila dia berjaya merebut gelaran Johan Bintang RTM di peringkat akhir pada tahun 1976. Kemuncak kepada kariernya sebagai penyanyi ialah apabila beliau berjaya memenangi anugerah Penghibur Nombor Satu Asia pada 19 Mei 1989 di Royal Albert Hall, London.



2. JEPUN MENYERAH DIRI DI KUALA LUMPUR [1946]

Pada hari ini, satu upacara penyerahan kuasa oleh Tentera Jepun kepada Kerajaan British telah dijalankan di Victoria Institution, Kuala Lumpur di mana Jeneral-jeneral Jepun menyerahkan Pedang Samurainya kepada Leftenan Jeneral Sir Frank Messervy, Pegawai Pemerintah Command Malaya. Penyerahan pedang samurai oleh Jeneral-jeneral Jepun itu menandakan peringkat terakhir penyerahan kuasa oleh pihak tertinggi tentera Jepun di Tanah Melayu. Penyerahan kuasa peringkat awal dilakukan secara beramai-ramai di akhir tahun 1945, di Lapangan Terbang Sungai Besi, Kuala Lumpur. Di antara tahun-tahun 1945-1948, golongan nasionalis Melayu radikal ini telah bergabung dengan kumpulan-kumpulan nasionalis Melayu radikal yang lain dalam satu "front" - PUTERA (Pusat Tenaga Rakyat) dan bersatu dengan AMCJA (All Malaya Council of Joint Action) untuk menentang syor-syor dan pelaksanaan Perjanjian Persekutuan yang dipersetujui oleh UMNO itu. Dalam tempoh masa di antara penyerahan kuasa pemerintahan Jepun dan pengisytiharan pemerintahan Pentadbiran Tentera British (BMA) Tanah Melayu berada di dalam keadaan huru hara.

3. MAJLIS GERAKAN NEGARA DIBUBARKAN [1971]

Pada hari ini , Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) telah dibubarkan. MAGERAN ditubuhkan berikutan dengan pengisytiharan darurat di seluruh negara yang berkuatkuasa pada 16hb Mei 1969. Dengan pengisyhtiharan darurat ini sistem Kerajaan Berparlimen termasuk Dewan-Dewan Perundangan Negeri telah dibubarkan. Pengisyhtiharan darurat ini dilakukan akibat berlakunya Tragedi 13 Mei yang hampir menghancurkan keutuhan negara. Tragedi ini berlaku ekoran dari pilihanraya kebangsaan yang berlangsung pada 10hb Mei 1969 di mana emosi dan sentimen perkauman telah disuarakan dengan begitu lancang. Tujuan penubuhan MAGERAN adalah untuk menghadapi keadaan darurat dan mengembalikan semula negara kepada keadaan sediakala. Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak telah dilantik menjadi Pengarah MAGERAN yang anggota-anggotanya terdiri dari pemimpin-pemimpin politik, pegawai-pegawai tadbir kanan kerajaan dan pihak perkhidmatan tentera dan polis.Apabila keadaan ketenteraman dapat dikawal dan pentadbiran negara kembali pulih maka MAGERAN telah dibubarkan pada hari ini dalam tahun 1971. Sistem kerajaan berparlimen dipulihkan semula pada 23hb Februari 1971.

Gambar : Allahyarham Sudirman Haji Arshad (1995)
Rujukan : Arkib Negara Malaysia

- ZAH -

21 Februari 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 21 FEBRUARI

1. PERJANJIAN PERSEFAHAMAN TELUK SIAM  [1979]

Pada hari ini, Perdana Menteri, Dato' Hussein Onn mengumumkan Perjanjian Persefahaman yang telah dibuat di Bangkok.  Perjanjian tersebut ialah mengenai usahasama di antara Malaysia dan negeri Thai  untuk mengusahakan hasil galian yang terdapat di Teluk Siam. Melalui perjanjian ini tuntutan mengenai hak menguasai perairan tersebut telah dapat diatasi.  Bagi pihak Malaysia pula, secara tidak langsung turut membantu negeri Thai mengatasi masalah kekurangan hasil minyak negara itu.Perjanjian persefahaman tersebut telah ditandatangani di Bangkok oleh Datuk Hussein Onn dan Perdana Menteri Thai, Jeneral Kriangsak Chommanand.  Datuk Hussein Onn menganggap perjanjian tersebut sangat unik.  Manakala Perdana Menteri Thai mensifatkan sebagai contoh kerjasama yang baik di dunia.



2. PERSIDANGAN PERTAMA ALIM ULAMA SE-MALAYA SELEPAS PERANG DUNIA KEDUA  [1950]

Pada hari ini , Persidangan Pertama Alim Ulama Se-Malaya telah berlangsung di Muar, Johor. Persidangan yang julung kali diadakan selepas Perang Dunia Kedua ini telah dianjurkan oleh UMNO Malaya dengan kerjasama UMNO bahagian Muar dan Tangkak serta dibantu oleh Jemaah Pengembang Agama Muar.  Di antara beberapa ketetapan yang dicapai hasil daripada Persidangan Alim Ulama Se-Malaya yang berlangsung pada hari ini dalam tahun 1950 itu ialah pembentukan sebuah jawatankuasa untuk membuat rayuan kepada Kerajaan Arab Saudi supaya mengurangkan cukai-cukai haji yang berlipat ganda dan juga meminta supaya orang-orang yang mengerjakan haji pada masa akan datang diberi layanan yang lebih baik, Persidangan ini juga telah bersetuju untuk menyokong langkah-langkah yang akan diambil untuk mendirikan sebuah Kolej Islam di Malaya.

3. PENYATA SURUHANJAYA REID DITERBITKAN [1957]

Pada hari ini, Penyata Suruhanjaya Reid diterbitkan. Penyata ini adalah hasil dari kajian yang dijalankan oleh Suruhanjaya Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang dipengerusikan oleh Lord Reid dari United Kingdom . Suruhanjaya ini ditubuhkan untuk menyusun sebuah perlembagaan bagi Persekutuan Tanah Melayu apabila ia mencapai kemerdekaan kelak.Terdapat sebanyak 100 perkara yang disentuh oleh Suruhanjaya Reid tercatat di dalam penyata ini. Di antaranya termasuklah mengenai pembentukan Parlimen, Pelantikan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara dan Timbalannya, Kuasa-kuasa Parlimen, kuasa-kuasa Yang di-Pertuan Agong, Kedudukan dan Kuasa Raja-Raja Melayu, Pelantikan Perdana Menteri, hal-hal kerakyatan, hak-hak asasi rakyat, hak istimewa orang-orang Melayu, pilihanraya, bahasa dan agama rasmi negara dan lain-lain.

Gambar : Jeneral tun kriangsak chomanan dan datuk hussein onn menandatangani kenyataan antara dua buah negara, chiang mai (1979)

Rujukan : Arkib Negara Malaysia

- ZAH -

20 Februari 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 20 FEBRUARI

1. PERANG KUCHING-BAU, SARAWAK  [1857]

Pada hari ini , Perang Kuching-Bau telah tercetus di negeri Sarawak.  Perang diantara bandar Kuching dengan bandar Bau ini hampir meruntuhkan pemerintahan James Brooke dan hampir menghapuskan penduduk Cina di Sarawak. Pada tahun 1850 sudah terdapat seramai 4,000 orang pelombong-pelombong.  Dikalangan penduduk Cina ini terdapat sebuah kongsi gelap bernama San Tian Kiau yang menguasai bandar Bau. Kongsi gelap ini kemudiannya telah merancang untuk menyerang bandar Kuching.  Pada mulanya kongsi gelap San Tian Kiau bercadang menyerang bandar Kuching pada bulan Januari, 1857.   Oleh kerana bandar Kuching tidak bersedia maka bandar itu telah jatuh ketangan kongsi gelap San Tian Kiau.  Walaubagaimanapun kongsi gelap itu mula berundur ke Bau bila diketahui bahawa Charles Brooke dengan askar Iban sedang menuju ke Kuching.  Semasa kongsi gelap itu berundur sekumpulan orang-orang Melayu telah menyerang mereka. Perang Kuching-Bau ini telah memusnahkan bandar Kuching.  Perkampungan Melayu telah habis terbakar dan begitu juga bangunan-bangunan lain di bandar itu.  Bandar Bau telah ditinggalkan oleh penduduk China.  Kegagalan serangan kongsi gelap itu telah dapat menguatkan kewibaan James Brooke di Bau.

2. SIR GERALD TEMPLER DILANTIK SEBAGAI PESURUHJAYA TINGGI TANAH MELAYU [1952]

Pada hari ini  , General Sir Gerald Templer, seorang Pegawai Tinggi Tentera British telah dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu, menggantikan Sir Henry Gurney, iaitu Pesuruhjaya Tinggi yang telah mati ditembak oleh pengganas komunis dalam satu serang hendap pada bulan Oktober tahun 1951. Inilah kali pertama kerajaan British di London melantik seorang pegawai tentera memegang jawatan awam di Tanah Melayu. General Sir Gerald Templer telah berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Tinggi sehingga bulan Mei 1954.



3. PANGLIMA AGUNG BRITISH TIBA DI KUALA LUMPUR MEMBERI SOKONGAN PADA GAGASAN MALAYSIA  [1963]

Pada hari ini , Ketua Turus Agung  Angkatan Bersenjata British Sir Richard Hull tiba di Kuala Lumpur.  Beliau tiba di Lapangan Terbang Subang dengan pesawat pengangkut RAF (Royal Air Force).  Beliau menegaskan bahawa Britain akan membantu Malaya kiranya ada ancaman dari luar terhadap Malaya dan pasukan pertahanan British adalah mencukupi dan sentiasa bersiap sedia.  Beliau juga menyatakan tentang perjanjian pertahanan antara Britain dan Malaya di mana Britain juga bertanggungjawab sekiranya Malaya diancam pihak luar. Dengan lawatan Panglima Agung Angkatan Tentera British pada hari ini dalam tahun 1963 tersebut telah menguatkan lagi azam Malaya dalam menghadapi konfrantasi Indonesia dan merealisasikan gagasan Malaysia.

Gambar : Sir Gerald Templer  (1952)
Rujukan : Arkib Negara Malaysia

- ZAH -

19 Februari 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 19 FEBRUARI

1. SURUHANJAYA COBBOLD MEMULAKAN TUGAS DI KUCHING  [1962]

Pada  hari  ini ,  Suruhanjaya Cobbold telah memulakan tugasnya untuk meninjau pendapat dan reaksi rakyat Sabah dan Sarawak terhadap gagasan Malaysia di Kuching.  Pembentukan suruhanjaya ini adalah hasil daripada rundingan yang telah diadakan antara Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan kerajaan British dalam bulan November 1961.  Tinjauan yang bermula pada bulan Februari dan tamat pada pertengahan bulan  April 1962, telah berjumpa dengan lebih 4000 orang dan menerima 2200 memorandum dan surat yang dikemukakan.  Laporan Suruhanjaya Cobbold telah dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan British pada bulan Jun 1962.   Akhirnya  pembentukan  Malaysia telah  berlangsung  pada 16 September 1963.  Ianya  secara  tidak  langsung  telah  memberi  kemerdekaan  kepada  Sabah  dan  Sarawak  daripada belenggu   penjajahan British.



2. MALAYSIA & HUNGARY TANDATANGANI TIGA PERJANJIAN [1993]

Pada hari ini, Malaysia telah menandatangani satu perjanjian dengan pihak Hungary meliputi bidang ekonomi dan perdagangan. Perjanjian ini dicapai semasa rundingan antara Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Hungary Dr Arpad Goncz diadakan di Jabatan Perdana Menteri. Antara kemudahan lain yang ditawarkan kepada Malaysia dalam pertemuan ini selain bidang ekonomi dan perdagangan, Hungary turut menawarkan tempat belajar kepada para pelajar Malaysia dalam bidang Sains dan Teknologi dan juga khidmat nasihat serta bantuan kepakaran kepada Malaysia khususnya dalam bidang pengangkutan awam.

3. MESYUARAT PERTAMA MENTERI-MENTERI BESAR SEMBILAN BUAH NEGERI MELAYU [1948]

Pada hari ini , Mesyuarat Pertama Menteri-menteri Besar sembilan buah negeri Melayu diadakan di Dewan Majlis Negeri Selangor. Sesungguhnya dengan bermulanya mesyuarat ini, pada hari ini dalam tahun 1948, pentadbiran setiap negeri telah dapat diselaraskan malah Menteri Besar kerajaan-kerajaan negeri dapat berbincang dan seterusnya memberi pandangan demi untuk memajukan negeri masing-masing.

Gambar : Ahli Suruhanjaya Cobbold (1962)
Rujukan : Arkib Negara Malaysia

- ZAH -

18 Februari 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 18 FEBRUARI

1. PERHIMPUNAN PATRIOTIMSE ALAF BARU  [2001]

Pada hari ini , Perdana Menteri YAB Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad merasmikan Perhimpunan Patriotisme Alaf Baru bertempat di Stadium Melawati, Shah Alam, Selangor. Perhimpunan yang mengumpulkan kira-kira 15,000 belia serta pelajar dari seluruh negara ini merupakan yang terbesar pernah dianjurkan oleh Majlis Belia Malaysia (MBM). Upacara gemilang itu turut menempa nama dalam sejarah negara serta tercatat dalam Malaysia Book of Record dengan pembabitan seramai 2,020 peserta koir yang menyanyikan lagu Negaraku, Keranamu Malaysia dan Belia Malaysia.



2. JOHOR-BATAM SETUJU TUBUH JAWATANKUASA BERSAMA (SEGITIGA EMAS)  [1991]

Kerjasama di bidang ekonomi dengan negara-negara yang berjiran boleh mendatangkan faedah kepada kedua-dua pihak. Bagi kerajaan negeri Johor usaha-usaha di bidang ini sentiasa diutamakan. Salah satu daripadanya ialah dengan pihak Batam, Indonesia. Pada hari ini , Johor dan Batam telah bersetuju pada dasarnya untuk menubuhkan Jawatankuasa Ekonomi bersama bagi memperkukuhkan kerjasamanya dalam rangka kerjasama segitiga emas. Persetujuan itu dibuat semasa kunjungan enam Menteri Indonesia ke Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor (PKENJ).Pertemuan dan perbincangan yang diadakan pada hari ini menunjukkan betapa kerajaan Indonesia amat berminat sekali dengan konsep kerjasama tiga wilayah berkenaan. Juga diharap dengan adanya kerjasama dalam bidang berkenaan akan dapat mengeratkan lagi hubungan antara rakyat ketiga-tiga negara.

3. PERSIDANGAN PERTAMA RAJA-RAJA MELAYU  [1948]

Pada hari ini , satu persidangan Raja-raja Persekutuan Tanah Melayu telah diadakan di Dewan Majlis Perundangan Persekutuan, Kuala Lumpur. Persidangan ini merupakan satu perisitwa bersejarah kerana buat pertama kalinya selepas perjanjian Persekutuan dan Negeri-negeri ditandatangani kesemua Raja-raja Melayu telah duduk bersama di meja rundingan. Persidangan ini telah dirasmikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Abu Bakar yang juga telah dilantik sebagai pengerusi.Persidangan ini telah diadakan bagi memenuhi ketetapan di dalam Perlembagaan 1948 yang menetapkan Raja-raja Melayu untuk bersidang sekali dalam tempoh tiga tahun.  Bersempena dengan persidangan yang ulung kali diadakan ini Raja-raja Melayu, telah berikrar untuk bersatu memimpin negara demi menjamin kesejahteraan dan kemajuan Persekutuan Tanah Melayu.

Gambar : Logo The Patriots (2013)
Rujukan : Arkib Negara Malaysia

- ZAH -

17 Februari 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 17 FEBRUARI

1. RANG UNDANG-UNDANG PELABUHAN BEBAS PULAU PINANG DILULUSKAN [1949]

Pada hari ini ,  Rang Undang-undang yang dinamakan Undang-undang Cukai Kastam (Pulau Pinang), 1949 diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan.  Melalui Undang-undang ini Pelabuhan Pulau Pinang menjadi Kawasan Pelabuhan Bebas.  Sebelum rang undang-undang ini dibentangkan dalam majlis Perundangan ini dibentangkan, satu kajian yang mendalam telah dijalankan dan hasilnya satu lapuran telah dikemukakan kepada Majlis Perundangan Persekutuan iaitu Lapuran Benham.  Lapuran ini antara lain telah mencadangkan supaya Pulau Pinang dikekalkan statusnya seperti dimasa sebelum Perang Dunia Kedua. Dengan lulusnya Rang Undang-Undang Cukai Kastam (Pulau Pinang) pada hari ini dalam tahun 1949, maka terlaksanalah segala peruntukan mengenai cukai import dan ekspot serta pelabuhan Pulau Pinang sebagai pelabuhan bebas.

2. SEMINAR PARTI PERIKATAN  [1971]

Pada hari ini , Seminar Khas Parti Perikatan telah dirasmikan oleh Perdana Menteri merangkap Yang Dipertua Parti Perikatan, Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein. Seminar yang dihadiri oleh 300 orang pemimpin Parti Perikatan, termasuk menteri-menteri kabinet, anggota-anggota Parlimen dan Dewan Undangan Negeri itu telah diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Seminar yang diadakan selama 3 hari ini adalah bertujuan untuk mencari jalan bagi melicinkan perjalanan Parti Perikatan. Sesungguhnya seminar ini merupakan 'pembuka tirai' bagi pemulihan sistem demokrasi berparlimen yang telah dianuti sejak negara mencapai kemerdekaan, dan berhadapan dengan banyak cabaran berikutan peristiwa 13 Mei 1969.

3. PERASMIAN PENUBUHAN MASJID KAMPUNG RAJA UDA OLEH SULTAN SELANGOR  [1967]

Pada hari ini , bertempat di Kampung Raja Uda, Kelang, Selangor. DYMM Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Ibni Almarhum Sultan str Hisamuddin Alam Shah Alhaj telah berangkat merasmikan masjid di kampung berkenaan. Kampung Raja Uda ialah sebuah kampung yang telah dibuka mengikut rancangan perumahan yang pertama bagi orang-orang Melayu di Daerah Kelang.Pada hari ini sebuah masjid bagi kegunaan umat Islam di kawasan ini telah dibina dan dirasmikan oleh DYMM Sultan Selangor. Kampung Raja Uda juga diberi nama bersempena nama Menteri Besar Selangor ketika itu.  Pembinaan masjid yang pertama di Kampung ini adalah hasil daripada kutipan dan derma rakyat telah diusahakan sejak 1960 lagi dan pada hari ini ianya telah sempurna didirikan di kampung ini.



Gambar : Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj dan Tuanku Siti Aisyah binti Abdul Rahman
Rujukan : Arkib Negara Malaysia

- ZAH -

16 Februari 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 16 FEBRUARI

1. PERAK MENGAMBIL BALIK KAWASAN DINDING

Pada hari ini dalam tahun 1935,  Negeri Perak telah mengambil balik kawasan Dinding dari Kerajaan Inggeris.  Satu upacara menurunkan bendera ”Union Jack” dan menaikkan bendera negeri Perak telah dilangsungkan di Dinding dan disaksikan oleh Sultan Iskandar Shah Ibni Al Marhum Al Sultan Idris dan Resident Geoffrey Gator.  Dinding yang terletak di antara Pulau Pinang dan Melaka telah menarik perhatian kuasa-kuasa penjajah.  Sultan Abdullah telah menandatangani satu perjanjian dan dengan itu Dinding telah jatuh ke tangan Inggeris pada tahun 1826.  Sejak dari itu Dinding telah ditadbirkan dari Pulau Pinang, iaitu sejauh seratus batu.  Upacara penyerahan ini telah diadakan dengan rasminya pada hari ini dalam tahun 1935.  Dan dengan itu kawasan Dinding telah kembali ke tangan negeri Perak setelah dipisahkan oleh Kerajaan Ingggeris selama 109 tahun.



2. SESI PERTAMA PROGRAM KHIDMAT NEGARA DIMULAKAN

Pada hari ini dalam tahun 2004, seramai 26,000  orang peserta kumpulan pertama mula menjalani latihan Program Khidmat Negara (PKN) selama tiga bulan di 41 buah kem di seluruh negara.  Peserta berusia 18 tahun ini melalui empat minggu pertama latihan di kem, manakala lapan minggu seterusnya di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara. Pada 30 Oktober 2002, Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Khidmat Negara yang dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan.

3. SULTAN PERAK MENGHANTAR UTUSAN PERSAHABATAN KEPADA KOMPENI BELANDA DI MELAKA

Pada hari ini dalam tahun 1680, Sultan Perak ketika itu Sultan Mahmud Iskandar Shah telah menghantar beberapa orang- orang besar Perak sebagai utusan baginda pergi ke Melaka untuk menyatakan persahabatan baginda dengan Kompeni Belanda.  Tindakan ini adalah berikutan daripada perbuatan sepasukan Kompeni Belanda yang telah menguatkan kawalan mereka di pantai dan kuala sungai Perak bagi mengawal bangsa-bangsa lain daripada berdagang bijih timah di Perak.   Perkara ini telah menyebabkan perniagaan Kompeni Belanda di negeri Perak semakin merosot sekitar tahun 1682.  Pada tahun 1690 pula sekumpulan orang-orang Melayu yang diketuai oleh Panglima Perak bernama Panglima Kulup telah menyerang Kota Belanda  yang mengawal peniaga Perak di Pulau Pangkor dan membunuh askar-askar Belanda disitu.  Pihak Kompeni Belanda kemudian telah mengarahkan askar-askar mereka supaya berundur dari perairan Perak dan kota tersebut telah ditinggalkan dari pantai negeri Perak.

Gambar : Peta Negeri Perak (1870)
Rujukan : Arkib Negara Malaysia

- ZAH -

15 Februari 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 15 FEBRUARI

1. PERSEKUTUAN TANAH MELAYU DITAWAN OLEH JEPUN [1942]

Pada hari ini, Persekutuan Tanah Melayu telah berjaya ditawan oleh tentera Jepun di bawah pimpinan Jeneral Tomoyuki Yamashita. Kejayaan yang dicapai adalah berikutan daripada penawanan Kolam Air di tengah-tengah Pulau Singapura. Pegawai Pemerintah Inggeris iaitu Jeneral Percival telah menyerah diri kepada pihak Jepun tanpa syarat. Serangan yang telah dilancarkan oleh tentera Jepun ke atas Tanah Melayu bermula pada 8 Disember 1941 di Kota Bharu, Kelantan dan peperangan itu adalah serentak dengan negara-negara lain seperti Hawai, Hong Kong dan FilipinaAdalah ditafsirkan seramai 150 ribu orang tentera Jepun telah digunakan dalam serangan ke atas Tanah Melayu yang meliputi kira-kira lima ketumbukan dan dua pasukan kereta kebal serta Pasukan Kawalan Diraja iaitu angkatan perang Jepun di negeri China. Ini adalah satu angkatan perang yang cukup kuat dan besar mengikut perancangan yang diatur dengan teliti demi memperolehi kemenangan.

Anggota-Anggota Infantri Jepun Meluru Ke Hadapan Untuk Menduduki Sebahagian Bandar Johor Bahru Di Akhir Bulan Januari 1942.

2. ANGKATAN PEMUDA INSAF (API) DITUBUHKAN [1946]

Pada hari ini,  Angkatan Pemuda Insaf atau API telah ditubuhkan di Brewster Road, Ipoh.  Pengerusinya yang pertama ialah Abdullah Sani bin Tengku Kecil atau lebih dikenali dengan nama Ahmad Boestamam.  API merupakan sebuah pertubuhan politik yang berpengaruh di kalangan masyarakat Melayu terutamanya dalam tahun-tahun perjuangan menentang penjajah Inggeris.  API juga merupakan barisan yang terkuat dalam Pertubuhan Kebangsaan Melayu (PKMM) yang wujud dalam tahun 1945 hinggalah negara mencapai kemerdekaan.  Kewujudan API sebagai salah satu komponen yang terkuat telah menyebabkan PKMM lebih radikal dan telah menyebabkan ia mendapat perhatian dan sokongan kuat dari rakyat umum.  Namum begitu API telah diharamkan oleh Kerajaan Inggeris secara rasmi pada 17hb Julai 1947.  Pengharaman Pertubuhan ini kerana terbitnya buku ’Testament Politik API’ yang sekali gus menjelaskan perjuangan mereka yang menentang pemerintahan Inggeris.

3. PELANCARAN KAPAL POLIS DIRAJA MAHKOTA DAN TEMENGGONG [1965]

Pada hari ini , dua buah kapal Polis Diraja Malaysia yang diberi nama Mahkota dan Temenggong dilancarkan dengan rasminya di Tanjung Rhu, Singapura.  Upacara pelancaran ini telah dilakukan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Dr. Ismail bin Datuk Abdul Rahman.  Kedua-dua kapal yang dilancarkan pada hari itu bertanggungjawab menjalankan tugas-tugas rondaan pantai dan bekerjasama dengan kapal-kapal Tentera Laut Diraja Malaysia yang menjalankan tugas di kawasan perairan Malaysia.

Rujukan : Arkib Negara Malaysia

- ZAH -

14 Februari 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 14 FEBRUARI

1. PELANCARAN PROJEK MENDAKI GUNUNG EVEREST  [1988]

Pada hari ini , Menteri   Belia  dan  Sukan,  Datuk  Sri  Mohd Najib  Tun  Abdul  Razak  melancarkan  Projek  Mendaki  Gunung  Everest.  Projek  ini  dikendalikan  secara  kerjasama  di  antara  Kementerian  Belia  dan  Sukan dengan  Persatuan  Mendaki  Malaysia.  Projek  Eversest yang  diilhamkan  oleh  Perdana  Menteri,  Y.A.B.  Dato’ Seri  Dr.  Mahathir  ini  bertujuan  untuk  mendorong   rakyat  Malaysia  berusaha  gigih  bagi mencapai  kejayaan  yang  gemilang. Pada  23  Mei  1997,  dua  orang  rakyat  Malaysia  iaitu,  M.Magendran  dan  N.Mohandas  telah  berjaya  menakluki  Gunung  yang  tertinggi  di  dunia  dengan  ketinggian  29,000  kaki  di  atas  paras  laut.  Ekspedisi  Gunung  Everest  Malaysia  ini   dianggotai  seramai  20 orang peserta dan  mendapat  liputan  harian  selama  hampir  55  hari  oleh  RTM.

2. MALAYSIA TURUT MEMBANTU KRISIS KEWANGAN BANGSA-BANGSA BERSATU [1962]

Pada hari ini , Persekutuan Tanah Melayu bersama-sama dengan Amerika Syarikat, Britain, Canada, Denmark, Norway, Finland dan Sweden telah membantu menyelesaikan krisis kewangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Pada ketika itu badan dunia ini sedang menanggung beban hutang yang amat berat akibat dari usahanya untuk menyelesaikan krisis perang saudara di Congo yang menelan belanja sebanyak $30 juta sebulan.Malaysia, sebagai sebuah negara demokratik dan cintakan keamanan yang juga telah menghantar satu Pasukan Tentera Pengaman pada 4hb Oktober, 1960 ke Congo telah membeli bon itu dengan nilai $1,020,000 dalam usahanya membantu menyelesaikan krisis kewangan badan dunia itu.


Malaysia Turut Membantu Krisis Kewangan Bangsa-Bangsa Bersatu

3. DR. RAZALLI, PAKAR JANTUNG MENINGGAL DUNIA [1987]

Pada hari ini , Ketua Pakar Bedah di Unit Rawatan Intensif Jantung, Hospital Universiti Dr. Razalli Hashim telah meninggal dunia dalam usia 40 tahun.Allahyarham telah mengambil daya usaha penting menubuhkan Unit Anesthetik Jantung dan Unit Jantung Bebas di Hospital Universiti bagi menampung kos-kos penyakit jantung.  Hasil seterusnya pada 16 Jun 1984 Unit Rawatan Intensif Jantung telah ditubuhkan dan ianya merupakan satu unit rawatan jantung termoden di rantau Asia Tenggara.Sesungguhnya pemergian Allahyarham yang agak terlalu awal pada hari dalam tahun 1987 itu merupakan satu kehilangan besar dalam bidang perubatan sakit jantung di negara ini.

Gambar :  Malaysia Turut Membantu Krisis Kewangan Bangsa-Bangsa Bersatu (1962)
Rujukan : Arkib Negara Malaysia

- ZAH -

13 Februari 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 13 FEBRUARI

1. PERTEMPURAN JEPUN DENGAN BATALION PERTAMA ASKAR MELAYU DI SINGAPURA [1942]

Pada hari ini , pertempuran yang hebat telah berlaku diantara tentera Jepun dengan Batalion Pertama Askar Melayu di Singapura.  Ketumbokan ke 18, tentera Jepun telah melakukan serangan keatas kedudukan pertahanan Askar Melayu di Tebing Pasir Panjang, didalam serangan mereka untuk menawan Pulau Singapura.  Pertempuran ini telah berlanjutan hingga kehari berikutnya iaitu pada 14 Februari, dimana pertempuran yang sungguh hebat telah berlaku di kawasan Bukit Candu.Serangan yang hebat oleh tentera Jepun keatas Bukit Candu bermula di waktu petang.  Akibat serangan yang hebat ini, sebilangan besar Askar Melayu telah terbunuh termasuk Lt. Adnan yang telah berjuang dengan penuh semangat.  Beberapa orang lain telah cedera telah sempat berundur.  Diantaranya termasuk Lt. Abbas.  Pertempuran yang hebat yang berlaku di antara tentera Jepun dengan Batalion Pertama Askar Melayu di Tebing Pasir Panjang dan di Bukit Candu ini merupakan peristiwa yang tercatit dalam sejarah perjuangan Askar Melayu yang telah berjuang dengan penuh semangat hingga ke titisan darah yang terakhir demi mempertahankan nusa dan bangsa.


2. PERJANJIAN NANING DAN REMBAU DENGAN BELANDA DI MELAKA DIBAHARUI  [1680]

Pada hari ini , satu perjanjian di antara Belanda di Melaka dengan Naning dan Rembau telah dibaharui. Ia merupakan perjanjian damai di antara negeri-negeri Melayu dengan kuasa penjajah itu. Sejak Belanda menawan Melaka pada 14 Januari 1641, ia sentiasa diancam oleh Johor, Naning dan Rembau yang masih ingin membela kejatuhan Empayar Melaka itu. Naning dan Rembau yang berhampiran dengan Melaka sering menyerang kubu-kubu Belanda. Walaubagaimanapun serangan-serangan itu dapat dipatahkan oleh pihak Belanda.Pada 24 Julai 1641, Naning dan Rembau terpaksa menandatangani satu perjanjian dengan pemerintah Belanda di Melaka. Dengan termeterainya perjanjian ini Naning dan Rembau mestilah mengiktiraf kedaulatan dan kewibawaan Belanda di Melaka.

3. PERJANJIAN SUMBANGAN KEWANGAN DI ANTARA NEGARA JEPUN DAN MALAYSIA [1981]

Pada hari ini ,  satu perjanjian mengenai sumbangan kewangan oleh Kerajaan Jepun kepada Malaysia telah termetri di Bilik Perjanjian, Wisma Putra, Kuala Lumpur. alam perjanjian itu, pihak Kerajaan Jepun telah bersetuju untuk menyumbangkan kepada Kerajaan Malaysia sebanyak $70 juta yen iaitu kira-kira $700 ribu Malaysia.  Daripada jumlah itu kira-kira $250 ribu diberikan kepada Kementerian Pelajaran untuk membeli peralatan pandang-dengar dan fotografi bagi kegunaan persekolahan.  Manakala $450 ribu lagi diberikan kepada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan untuk membeli alat-alat sukan khususnya bertujuan melatih ahli-ahli sukan negara ini.

Gambar : Pertempuran di bukit Chandu (1942)
Rujukan : Arkib Negara Malaysia

- ZAH -

12 Februari 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 12 FEBRUARI

1. PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ DILANTIK SEBAGAI PENGERUSI MAJLIS PEPERIKSAAN MALAYSIA YANG PERTAMA  [1980]

Pada hari ini  , Menteri Pelajaran, Datuk Musa Hitam mengumumkan perlantikan Prof. Diraja Ungku Abdul Aziz sebagai Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) yang pertama.  Prof. Diraja Ungku Abdul Aziz akan dibantu oleh Ahli-ahli Majlis iaitu kelima-lima Naib Canselor Universiti di negara ini dan lima orang warganegara terulung iaitu tiga dari Semenanjung dan tiap-tiap seorang dari Sabah dan Sarawak.  MPM ditubuhkan bagi memastikan mutu  Sijil Tinggi Pelajaran (STP) setaraf dengan peperiksaan yang sama peringkat di negara-negara lain.  Penubuhannya juga akan memudahkan negara-negara lain mengiktiraf sijil tersebut bagi mereka yang ingin melanjutkan pelajaran di universiti-universiti negara itu.



2. HUBUNGAN DIPLOMATIK MALAYSIA-FILIPINA DIPULIHKAN  [1964]

Pada hari ini , Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra telah mengumumkan pemulihan hubungan antara Malaysia dengan Filipina. Perhubungan diplomatik di antara kedua-dua negara telah terputus berikutan dengan penentangan Filipina terhadap pembentukan Malaysia dan tuntutannya ke atas Sabah yang telah menjadi sebahagian dari Malaysia. Dalam bulan April 1962, Dewan Perwakilan Filipina telah meluluskan 'Resolusi Ramos' iaitu satu ketetapan berhubung dengan tuntutannya ke atas Sabah. Keengganan Filipina mengiktiraf Malaysia yang ditubuhkan pada 16 September 1963, telah menjadikan 'perang dingin' antara kedua-dua negara semakin hebat. Akibatnya hubungan diplomatik terpaksa diputuskan. Dalam pada itu usaha-usaha memulihkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara tetap diteruskan pada 10 Februari 1964, Perdana Menteri dan Presiden Filipina, Diosado Macapagal telah bertemu di Phnom Penh, untuk berunding.

Gambar :  Prof. Diraja Ungku Abdul Aziz
Rujukan : Arkib Negara Malaysia

- ZAH -

11 Februari 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 11 FEBRUARI

1. PERJANJIAN BANTUAN KEWANGAN JERMAN KEPADA MALAYSIA DITANDATANGANI  [1971]

Pinjaman daripada negara-negara luar memainkan peranan yang penting bagi membangunkan negara ini. Usaha-usaha untuk mendapatkan pinjaman dijalankan dengan pelbagai negara.  Pada 11 Februari 1971, satu perjanjian bantuan kewangan telah ditandatangani di Kuala Lumpur. Pinjaman sebanyak RM4.1 juta ini bertujuan memajukan syarikat-syarikat kecil dan sederhana yang mengalami masalah kekurangan modal bagi memajukan perniagaan yang dijalankan oleh Syarikat Industri IKS tersebut.Pinjaman ini merupakan kali keempat yang diberikan oleh pihak Jerman kepada Malaysia. Pinjaman sebelumnya berjumlah RM41 juta telah diberikan oleh pihak Republik Jerman kepada Malaysia. Dengan adanya persefahaman serta saling membantu antara kedua-dua negara, segala bantuan daripada pihak Jerman kepada Malaysia dapat berjalan dengan lancar.

2. MALAYSIA-YAMAN MENANDATANGANI PERJANJIAN DAN MEMORANDUM PERSEFAHAMAN  [1998]

Pada hari ini , Presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh dan rombongannya  telah  tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz untuk melakukan lawatan rasmi selama empat hari ke Malaysia bagi membincangkan peluang perdagangan dua hala.Dalam perbincangan  tersebut  Malaysia dan Yaman telah menandatangani tiga perjanjian kerjasama dan satu memorandum persefahaman bagi mempertingkatkan kegiatan ekonomi kedua-dua negara secara lebih berkesan dan kedua-dua pemimpin negara yang menganggotai Pertubuhan Persidangan Negara-Negara Islam  juga bersetuju meningkatkan kerjasama dalam forum antarabangsa dan pada masa yang sama juga turut membincangkan perkembangan di Timur Tengah terutama pergolakan politik semasa.

ALI Abdullah Saleh (kiri) bersama Tuanku Ja'afar dan Dr. Mahathir Mohamad berjalan bersama selepas majlis sambutan rasmi di Dataran Parlimen, Kuala Lumpur

3. TAMAN TEMPLER DIWARTAKAN OLEH KERAJAAN NEGERI SELANGOR [1955]

Pada hari ini  , Taman Templer , yang telah dibuka pada bulan Mei 1954 oleh Sir Gerald Templer telah diisytihar oleh Kerajaan Negeri Selangor terletak di bawah Warta Kerajaan No. 104,  Kawalan dan Pemeliharaan Alam Semulajadi.  Sehubungan dengan itu satu jawatankuasa yang terdiri daripada pegawa-pegawai Jabatan Pertanian dan Perhutanan telah ditubuhkan.  Usaha mewartakan taman ini oleh kerajaan Selangor telah menunjukkan keperihatinan negara terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan alam semulajadi negara telah bermula sejak sebelum kemerdekaan lagi. Kini setelah 50 tahun, negara mencapai kemerdekaan usaha-usaha mengekalkan alam sekitar ini diteruskan demi kesejahteraan sejagat.

Gambar :  Presiden Yaman (1998)
Rujukan : Arkib Negara Malaysia

- ZAH -

10 Februari 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 10 FEBRUARI

1. WANG KERTAS RM5 BARU DIEDAR [1995]

Pada hari ini , Bank Negara Malaysia mula mengedarkan wang kertas RM5 yang ditandatangani oleh Gabenor keempatnya, Ahmad Mohd Don. Wang kertas baru ini dicetak oleh Thomas De La Rue & Company Ltd (TDLR). Orang ramai boleh mendapatkannya dengan membuat pertukaran wang lama mereka di Bank Negara Malaysia atau bank-bank perdagangan. Pengeluaran wang kertas ini merupakan kali yang kelima dilakukan berikutan pertukaran Gabenor Bank Negara iaitu bermula daripada Tan Sri WH Wilcock, Tun Ismail Ali, Tan Sri Aziz Taha dan Tan Sri Jaffar Hussein. Pengeluaran wang kertas RM5 ini adalah berujuan untuk menggantikan wang kertas lama dan bagi mengurangkan masalah wang syiling RM1 yang dikatakan berat oleh orang ramai.




2.PERJANJIAN SEMPADAN SELANGOR- SUNGAI UJUNG [1878]

Pada hari ini , satu perjanjian mengenai sempadan negeri Selangor dan Sungai Ujung dibuat di antara Sultan Abdul Samad Yang Dipertuan Negeri Selangor dengan Dato' Kelana Sungai Ujung, Tengku Saiyid Abdul Rahman.Dengan perjanjian ini pihak kerajaan Inggeris yang telah mencampuri urusan pemerintahan di Sungai Ujung itu dapat pula masuk campur dalam hal ehwal Lukut. Bagaimanapun, perjanjian itu telah dibantah oleh Raja Bot yang memerintah Lukut kerana beliau tidak diajak berunding mahupun diminta pendapatnya dalam rundingan mengenai perjanjian itu. Raja Bot membantah keras mengenai keputusan memasukkan Lukut dalam perintah Sungai Ujung kerana daerah itu adalah kepunyaan ayahandanya, Raja Jumaat. Mengikut persetujuan itu Raja Bot dan keluarganya menerima wang sejumlah 27 ribu ringgit. Semenjak itu tamatlah pemerintahan Raja Bot dan ayahandanya Raja Jumaat yang menguasai Lukut selama 32 tahun.

3. KEMANGKATAN SULTAN KELANTAN TUAN LONG MANSUR [1900]

Pada hari ini , Tuan Long Mansur iaitu Sultan Kelantan telah mangkat. Sultan Mansur telah memerintah Kelantan bermula dari tahun 1891-1900. Sultan Mansur berjaya menaiki takhta Kelantan berikutan dari kemangkatan Sultan Mahmud Ketiga sekali lagi menimbulkan suasana tegang di Kelantan kerana akibat dari perebutan kuasa antara beberapa puak. Dalam perebutan itu, Tuan Mansur telah berjaya menaiki takhta kerajaan dengan persetujuan Kerabat-Kerabat Diraja.

4. DR. MUHAMMAD UTHMAN EL-MUHAMMADDY TOKOH MAAL HIJRAH 1426
[2005]

Pada hari ini , Fellow Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady telah diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1426 Peringkat Kebangsaan. Anugerah tersebut disampaikan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Gambar : Wang kertas RM5 (1995)
Rujukan : Arkib Negara Malaysia

- ZAH -

9 Februari 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 9 FEBRUARI

1.TENTERA JEPUN MENYEBERANG SELAT JOHOR [1942]

Pada hari ini , tentera Jepun yang diketuai oleh Jeneral Tomoyuki Yamashita telah menyeberangi Selat Johor dalam usahanya menyerang Singapura. Sebelum menyeberangi Selat Johor, Tentera Udara dan Pasukan Meriam Jepun telah membedil sasaran-sasaran di Singapura untuk melemahkan pertahanan tentera Inggeris. Kekuatan tentera Jepun telah berjaya mengundurkan tentera bersekutu Inggeris, India dan Australia. Setelah seluruh Tanah Melayu ditawan, tentera Jepun mara ke Singapura walaupun tambak Johor telah dimusnahkan oleh tentera Inggeris. Tentera Jepun telah menyeberangi Selat Johor melalui bahagian yang tersempit di Selat Johor iaitu di bahagian Barat Laut Pulau Singapura.Akhirnya Jeneral Percival bersama tenteranya terpaksa menyerah kalah dan Singapura jatuh ke tangan Jepun pada 15 Februari 1942.

2. PENGHORMATAN TERTINGGI TENTERA LAUT KEPADA SULTAN AZLAN SHAH [1994]

Pada hari ini , Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah memberi penghormatan tertinggi kepada baginda Sultan Azlan Shah yang akan mengakhiri tempoh perkhidmatan sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia tidak lama lagi. Baginda telah diundang untuk menghadiri Pemeriksaan Diraja Armada 23 buah kapal perang berhampiran Pulau Sembilan, Selat Melaka.





3. PELANCARAN KEMPEN ANTI MEROKOK [2004]

Pada hari ini , Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melancarkan kempen antimerokok besar-besaran. Kempen Anti Merokok 'Tak Nak – Setiap Sedutan Membawa Padah ini diadakan Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC). Sebagai menunjukan komitmen untuk mengurangkan tabiat merokok di kalangan masyarakat, kerajaan menetapkan peruntukan RM20 juta setahun untuk jangka masa selama lima tahun bagi menjayakan Kempen Anti-Merokok ini.

Gambar : Sultan Azlan Shah (1994)
Rujukan : Arkib Negara Malaysia

- ZAH -

8 Februari 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 8 FEBRUARI

1. HARI KEPUTERAAN YTM TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA AL-HAJ [1903]

Pada hari ini , Bapa Kemerdekaan Malaysia, YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah diputerakan di Istana Pelamin, Alor Setar, Kedah. Merupakan putera Ke-14 kepada Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah yang Ke-28. Bondanya adalah Cik Manjalara merupakan anak kepada seorang bangsawan Siam bernama Luang Naraborirak.YTM Tunku telah kembali ke Rahmatullah pada tanggal 6 Disember 1990 pada usia 87 tahun dan telah dimakamkan di Makam Diraja Langgar, Kedah. 



2. TUGU PERINGATAN NEGARA DIRASMIKAN [1966]

Pada hari ini Tugu Peringatan Negara, di Bukit Perwira telah dirasmikan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin. Perdana Menteri, YTM Tunku Abdul Rahman, Presiden Korea, Chung Hee Park adalah di antara orang-orang kenamaan yang turut hadir dalam majlis tersebut. Tapak Tugu ini telah dibuat daripada batu yang telah beribu-ribu tahun tertanam di salji Kutub Utara dan patung-patung pada tugu tersebut direkabentuk oleh Felix de Welden, yang kemudiannya dianugerah gelaran Dato’ di atas jasanya tersebut.

3. PERJANJIAN KEMERDEKAAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU [1956]

Pada hari ini , Perjanjian Kemerdekaan ditandatangani di Lancaster House, London. Tunku Abdul Rahman, Ketua Menteri Tanah Melayu telah menandatangani bagi pihak Persekutuan Tanah Melayu dan Mr Alan Lennox-Boyd, Setiausaha Negara bagi Tanah Jajahan menandatangani bagi pihak kerajaan British.

4. PELANCARAN RISDA [1973]

Pada hari ini , Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah atau dikenali sebagai RISDA telah dilancarkan secara rasminya. Upacara pelancaran ini telah dilakukan oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak di Dewan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.Apabila tertubuhnya RISDA pada 1 Januari 1973, maka segala tugas yang di jalankan oleh Lembaga Perusahaan Getah Tanam Semula telah diambilalih dan diteruskan oleh RISDA.Ini dilakukan supaya segala kegiatan berkaitan dengan pekebun kecil akan berjalan dengan lebih berkesan. Dengan pelancaran RISDA pada hari ini dalam tahun 1973, diharapkan dapat meninggikan taraf ekonomi pekebun kecil dan memberi penghidupan yang sempurna kepada mereka.

Gambar : Tunku Andul rahman Putra Al Haj (1957)
Rujukan : Arkib Negara Malaysia

- ZAH -

7 Februari 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 7 FEBRUARI

1.PERJANJIAN RIAU-SYARIKAT HINDIA TIMUR BELANDA [1787]

Pada hari ini , Sultan Mahmud III yang memerintah kerajaan Johor-Riau-Lingga-Pahang telah menandatangani satu perjanjian dengan pihak Belanda di Melaka. Perjanjian yang ditandatangani itu merupakan perjanjian yang kedua setelah Riau dikalahkan oleh Belanda, di dalam peperangan bulan November 1784. Peperangan yang berlaku di Riau berpunca daripada permusuhan di antara orang-orang Bugis yang diketuai oleh Yam Tuan Muda Riau, Raja Haji dengan pihak Belanda di Melaka. Malangnya dalam peperangan pada Jun 1784, Raja Haji telah mangkat terbunuh di Teluk Ketapang.Dengan menandatangani perjanjian itu, pihak Belanda telah menguatkan lagi pertahanan serta monopoli perdagangan dan berjaya menjadikan Riau sebagai sebuah jajahan Belanda.

2. TOKOH POLITIK VETERAN HAJI MASOOD HAYAT MENINGGAL DUNIA [1988]

Pada hari ini , tokoh politik yang sama-sama berjuang untuk mencapai kemerdekaan iaitu Haji Masood Hayat telah meninggal dunia pada usia 102 tahun. Beliau diingati sebagai orang yang membaca doa semasa bendera Union Jack diturunkan di Padang Kelab Selangor, pada malam 31 Ogos 1957. Semasa hayatnya beliau bergiat aktif dalam bidang politik sejak zaman sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi. Beliau turut berjuang menentang penubuhan Malayan Union.

3. REJIMEN 511 ASKAR WATANIAH DITUBUHKAN [1980]

Pelbagai pendekatan telah digunakan oleh negara dalam mengawal keselamatan negara daripada ancaman musuh. Salah satu daripada cabang pertahanan ialah melalui perkhidmatan askar wataniah. Pada hari ini , Rejimen 511 Askar Wataniah telah ditubuhkan di Sarawak. Penubuhan pasukan ini bagi menggantikan pasukan pertahanan tempatan Sarawak yang telah dibubarkan. Sejak ditubuhkan Rejimen 511 `Askar Wataniah' telah merekrut, melatih dan mentadbir 10,523 anggota sukarela. Dengan penglibatan semua pihak dalam pertahanan, pelbagai isu dapat diselesaikan dan keamanan negara dapat dikawal dengan baik.

4. TAWARAN PENGAMPUNAN BERAMAI-BERAMAI KEPADA PENGGANAS-PENGGANAS KOMUNIS DITAMATKAN [1956]

Pada hari ini , tempoh pengampunan beramai-beramai yang ditawarkan oleh Kerajaan Persekutuan Tanah melayu selama 5 bulan kepada pihak komunis supaya menyerah diri telah berakhir. Tawaran pengampunan ini diberikan bermula pada 9hb. September, 1955 dalam usaha kerajaan untuk menghapuskan ancaman pengganas komunis di Tanah Melayu. Hasil dari kempen yang berjalan selama 5 bulan itu seramai 73 orang pengganas komunis dan 12 orang penyokong mereka telah menyerah diri kepada kerajaan.





Gambar : Perbarisan Pengampunan Untuk Pengganas Komunis (1955)
Rujukan : Arkib Negara Malaysia

- ZAH -

6 Februari 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 6 FEBRUARI


1. KEMANGKATAN SULTAN ABDUL SAMAD SELANGOR [1898]

Pada hari ini , selepas memerintah Negeri Selangor selama lebih kurang 39 tahun, Sultan Abdul Samad bin Raja Abdullah ibni Almarhum Sultan Ibrahim yang berusia lebih kurang 93 tahun telah mangkat pada jam 10.45 pagi di Istana Jugra. Sultan Abdul Samad menaiki takhta kerajaan Negeri Selangor selepas kemangkatanayah saudara dan mertuanya iaitu Sultan Muhammad, Sultan Selangor yang ke-III pada tahun 1857. Sebelum itu baginda adalah Tengku Panglima Raja dan berkuasa di Daerah Langat. Perlantikan baginda sebagai Sultan adalah hasil dari desakan Raja Jumaat dari Lukut yang mendapat persetujuan dari empat orang pembesar negeri yang lain.Kemangkatan Sultan Abdul Samad pada hari ini dalam tahun 1898 telah digantikan oleh cucundanya Raja Muda Sulaiman ibni Almarhum Raja Muda Musa sebagai Sultan Selangor ke-V dengan gelaran Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah.

2. MESYUARAT ANTARA MALAYSIA DAN INDONESIA MENCAPAI HASIL PERTAMA TENTANG GENCATAN SENJATA [1964]

Sejak daripada wujud Konfrantasi di antara Malaysia-Indonesia, usaha-usaha telah dijalankan bagi menemukan kedua-dua pihak tersebut untuk menyelesaikan segala salah faham dan perselisihan pendapat di antara Malaysia dan Indonesia. Satu persidangan di Bangkok telah diadakan pada 6 Februari 1964, yang telah dihadiri oleh kedua-dua pihak. Malaysia diwakili oleh Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak dan Indonesia oleh Menteri Luar, Dr. Subandrio. Persidangan tersebut telah mencapai hasil yang pertama apabila kedua-dua pihak bersetuju mengadakan gencatan senjata di sempadan masing-masing iaitu di Borneo-Kalimantan. Sebagai langkah membuktikan kata sepakat kedua-dua pihak mengirim kawat kepada Setiausaha Agong Bangsa-bangsa Bersatu meminta beliau melantik Thailand sebagai pengawas gencatan senjata di sempadan Borneo-Kalimantan. Sebagai sebuah negara yang berjiran, proses perundingan memainkan peranan yang penting bagi menyelesaikan segala masalah yang timbul.

3. PELANCARAN PROTON GEN.2 [2004]

Pada hari ini , Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melancarkan Proton Gen. 2 (Generasi Kedua) di ruang pameran Proton Edar bertempat di Mutiara Damansara, Kuala Lumpur. Model terbaru Proton Gen. 2 digerakkan dengan enjin Compro 1,600cc ialah kenderaan generasi baru Proton yang pertama digabungkan untuk memenuhi cabaran pasaran kenderaan bermotor yang lebih liberal. Dalam menghasilkan Gen.2, Proton mensasarkan mewujudkan keseimbangan antara sesuatu yang bergaya dan praktikal sekaligus memecahkan pendekatan konvensional dalam penghasilan kereta



Gambar :  Pelancaran Proton Gen 2 (2004)
Rujukan : Arkib Negara Malaysia

- ZAH -

5 Februari 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 5 FEBRUARI

1. GERAKAN DAOYAI – MUSNAH 1 BERAKHIR

Pada hari ini dalam tahun 1977, satu gerakan bersama di bidang ketenteraan di antara negara Malaysia dan Thai yang dinamakan Gerakan Daoyai – Musnah 1 telah berakhir. Pengunduran Angkatan Tentera Malaysia dari kawasan sempadan bersama pada hari yang sama telah berjalan lancar dengan semangat keperwiraan. Kepulangan anggota tentera telah disambut dan dialu-alukan oleh Menteri Dalam Negeri Tan Sri Ghazali Shafie di Kem 7 Renjer Malaysia di Sungai Petani, Kedah. Gerakan bersama ini dilancarkan adalah bertujuan untuk membenteras kegiatan pengganas komunis yang bebas bergerak terutama di kawasan Khao Rup Chang iaitu di Barat Sadao. Adalah dianggarkan terdapat seramai 200 hingga 300 orang pengganas menduduki kawasan ini. Pelancaran gerakan ini telah mula dilaksanakan pada 14hb Januari tahun yang sama dan terdapat kira-kira 4,500 orang tentera Malaysia dan Thai telibat menjayakannya.

2. PERLOMBONGAN BIJIH TIMAH DI DASAR LAUT

Pada hari ini dalam tahun 1968, satu detik baru dalam sejarah perlombongan bijih timah dicatat apabila satu usaha untuk mengeluarkan bijih timah dari perut laut telah dipersetujui. Hasil dari rundingan terakhir yang di adakan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor pada hari ini dalam tahun tersebut, Syarikat Conzic Rio Tinto telah dipersetujui untuk ditawarkan lesen melombong di dasar laut.Lesen yang diberikan ini membolehkan mereka mencari bijih dari perut laut hingga 19.3 kilometer dari pantai Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Kawasan laut tepi pantai yang boleh di carigali ialah seluas lebih kurang 650 meter persegi. Perbelanjaan untuk mencari bijih dalam jangkamasa dua tahun dianggarkan menelan sebanyak $1 hingga $2 juta ringgit.

3. PERJANJIAN BARU SEMPADAN MALAYSIA-THAI

Pada hari ini dalam tahun 1977, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Tan Sri Sri Ghazali Shafie mengumumkan satu perjanjian baru sempadan akan ditandatangani di antara Malaysia - Thailand apabila Perdana Menteri Datuk Hussein Onn mengadakan lawatan ke Thailand bulan Mac depan. Perjanjian baru ini digerakkan hasil rundingan antara Menteri Luar Malaysia Tengku Ahmad Rithauddin dengan Menteri Luar Thai Dr. Upadit Pachariyankun di Wisma Putra, Kuala Lumpur. Perjanjian baru ini hampir sama dengan perjanjian lama, perubahan yang dilakukan bertujuan mempastikan keselamatan sempadan lebih terjamin dan usaha menghapuskan komunis di sempadan antara kedua-dua negara dapat dijalankan secara lebih berkesan.



Pengumuman Perjanjian Baru Kerjasama Sempadan Thailand - Malaysia (1970)

4. PERLANTIKAN TUN SYED SHEH BIN SYED HASSAN BARAKBAH SEBAGAI GABENOR PULAU PINANG

Pada hari ini dalam tahun 1969, DYMM Tuanku Nasirruddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Zainal Abidin berkenan mengurniakan surat tauliah perlantikan kepada Tun Syed Sheh bin Syed Hassan Barakbah sebagai Gabenor Pulau Pinang. Perlantikan itu bagi menggantikan Tun Syed Sheh bin Syed Abdullah Shahbuddin yang meninggal dunia pada 31 Januari 1969. Selain itu, upacara mengangkat sumpah juga turut diadakan di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. Sebelum dilantik sebagai Gabenor Pulau Pinang, Tun Syed Shah pernah berkhidmat sebagai Ketua Hakim Negara.

Rujukan : Arkib Negara Malaysia

- Nengrat Zahid -

Komen Anda

Sertai Kami