28 Januari 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 28 JANUARI



1. PERJANJIAN KEMERDEKAAN REMBAU [1832]

Pada hari ini , satu perjanjian persahabatan ditandatangani di antara Penghulu Rembau iaitu Rikja Ali dan lapan orang Suku bagi pihak Rembau dan Robert Ibbetson, Residen Singapura, Pulau Pinang dan Melaka bagi pihak kerajaan Inggeris. Dengan perjanjian ini Kerajaan Inggeris membatalkan dan memansuhkan semua perjanjian dan persetujuan yang terdahulu yang dibuat di antara Rembau, Kerajaan Belanda dan dengan Kerajaan Inggeris yang ada sekarang dan membuat Perjanjian ini dengan pembesar-pembesar Rembau dengan sifat mereka sebagai pemerintah sebuah Kerajaan.



Surat Perjanjian Kemerdekaan Rembau

2. PERSETUJUAN GERAKAN BERSAMA MENGHAPUS KOMUNIS DI SEMPADAN MALAYSIA – SIAM [1955]

Pada hari ini , Persekutuan Tanah Melayu dan Siam telah bersetuju mengadakan gerakan bersama menghapus komunis di sempadan kedua-dua buah negara. Dalam perbincangan ini pihak Persekutuan Tanah Melayu diwakili Pesuruhjaya Tinggi, Sir Donald Mac Gillirary dan Left. General Sir Geoffrey Bourne. Manakala Siam diwakili oleh Ketua Polis Negara iaitu Phao Siriyonan. Antara perkara-perkara yang telah disepakati berkaitan dengan operasi polis dan tentera menghapus khemah-khemah komunis di Sadao, Utara Kedah, di Betong dan di Utara Kelantan. Selain itu kedua-dua pihak juga bersetuju memperkemaskan lagi Biro penyiasatan yang berpusat di Songkla. 




Perbarisan Pengampunan Untuk Pengganas Komunis (1955)

3. IBU ZAIN – TOKOH PENGISAH PERTAMA BAGI SIRI PENGISAHAN SEJARAH [1984]

Pada hari ini , Tan Sri Ibu Zain menjadi tokoh pengisah yang pertama bagi Siri Pengkisahan Sejarah yang bertema ’Wanita di dalam Sejarah Malaysia’, di Arkib Negara Malaysia, Jalan Duta, Kuala Lumpur. Beliau adalah wanita pertama yang mendapat pingat Ibrahim Sultan (PIS). Pingat dan gelaran yang diperolehi oleh Ibu Zain termasuk JMN, Darjah Kebangsaan Panglima Sri Mahkota membawa gelaran Tan Sri, Tokoh Guru, ’Lady of Burma’, Pingat Tun Fatimah, Tokoh Sastera, Tokoh Pendidikan dan lain-lain lagi.

4. MESYUARAT PERTAMA SURUHANJAYA TOKOH-TOKOH KENAMAAN [2005]

Pada hari ini , Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah melancarkan Mesyuarat Pertama Suruhanjaya Tokoh-Tokoh Kenamaan, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Seramai 50 orang tokoh mewakili negara-negara anggota dari Mesir, Iran, Indonesia, Kazakhstan, Maghribi, Nigeria, Pakistan, Qatar, Arab Saudi, Senegal, Sudan, Turki dan Yaman telah menghadiri Mesyuarat tiga hari ini. Mesyuarat ini diadakan bertujuan untuk menyediakan pelan tindakan bagi membolehkan umat Islam menghadapi cabaran abad Ke-21.

5.MESYUARAT ITALI - MALAYSIA CAPAI BEBERAPA PERSETUJUAN [1984]

Pada hari ini , mesyuarat yang pertama Suruhanjaya bersama Malaysia-Itali berakhir di Wisma Putra. Mesyuarat yang berlangsung selama tiga hari itu telah mencapai banyak persetujuan yang menggalakkan dalam hubungan dua hala kedua negara. Dalam mesyuarat ini Malaysia telah diwakili oleh Timbalan Menteri Luar Encik Abdul Kadir bin Sheikh Fadzir manakala rakan sejawatnya dari Itali Encik Bruno Certi mewakili negaranya. Antara persetujuan-persetujuan yang dicapai ialah penandatanganan perjanjian elak cukai berganda bagi meningkatkan kerjasama ekonomi dan teknikal kedua-dua negara dan juga bertukar-tukar perjanjian jaminan pelaburan bagi menggalakkan pelaburan dan perdagangan


Rujukan : Arkib Negara Malaysia

- Nengrat Zahid -



Komen Anda

Sertai Kami