12 Februari 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 12 FEBRUARI

1. PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ DILANTIK SEBAGAI PENGERUSI MAJLIS PEPERIKSAAN MALAYSIA YANG PERTAMA  [1980]

Pada hari ini  , Menteri Pelajaran, Datuk Musa Hitam mengumumkan perlantikan Prof. Diraja Ungku Abdul Aziz sebagai Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) yang pertama.  Prof. Diraja Ungku Abdul Aziz akan dibantu oleh Ahli-ahli Majlis iaitu kelima-lima Naib Canselor Universiti di negara ini dan lima orang warganegara terulung iaitu tiga dari Semenanjung dan tiap-tiap seorang dari Sabah dan Sarawak.  MPM ditubuhkan bagi memastikan mutu  Sijil Tinggi Pelajaran (STP) setaraf dengan peperiksaan yang sama peringkat di negara-negara lain.  Penubuhannya juga akan memudahkan negara-negara lain mengiktiraf sijil tersebut bagi mereka yang ingin melanjutkan pelajaran di universiti-universiti negara itu.



2. HUBUNGAN DIPLOMATIK MALAYSIA-FILIPINA DIPULIHKAN  [1964]

Pada hari ini , Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra telah mengumumkan pemulihan hubungan antara Malaysia dengan Filipina. Perhubungan diplomatik di antara kedua-dua negara telah terputus berikutan dengan penentangan Filipina terhadap pembentukan Malaysia dan tuntutannya ke atas Sabah yang telah menjadi sebahagian dari Malaysia. Dalam bulan April 1962, Dewan Perwakilan Filipina telah meluluskan 'Resolusi Ramos' iaitu satu ketetapan berhubung dengan tuntutannya ke atas Sabah. Keengganan Filipina mengiktiraf Malaysia yang ditubuhkan pada 16 September 1963, telah menjadikan 'perang dingin' antara kedua-dua negara semakin hebat. Akibatnya hubungan diplomatik terpaksa diputuskan. Dalam pada itu usaha-usaha memulihkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara tetap diteruskan pada 10 Februari 1964, Perdana Menteri dan Presiden Filipina, Diosado Macapagal telah bertemu di Phnom Penh, untuk berunding.

Gambar :  Prof. Diraja Ungku Abdul Aziz
Rujukan : Arkib Negara Malaysia

- ZAH -

Komen Anda

Sertai Kami