Pada hari ini , Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Leftenan Jeneral Datuk Sri Mohamad Ngah Said telah menyerahkan sayap pesawat Gleen Martin kepada Duta Belanda di negara ini, Encik F.H Peters bertempat di Hangar TUDM, Kuala Lumpur. Pesawat Gleen Martin adalah di antara 120 buah pesawat yang telah digunakan oleh Angkatan Tentera Udara Hindia Timur Belanda yang berpengkalan di Kalimantan dan Jawa ketika Perang Dunia Kedua. Pesawat tersebut telah ditembak jatuh oleh Tentera Jepun pada 18 Disember 1941 dan sayapnya telah ditemui oleh beberapa orang pekerja di hutan tebal Kuala Tingar, Baram, Sarawak pada tahun 1986. Pada majlis tersebut, Duta Belanda telah menyatakan bahawa walaupun hanya sebahagian kecil daripada pesawat tersebut yang ditemui, tetapi ia mempunyai nilai sejarah dan amat bererti kepada Angkatan Tentera Belanda kerana mengingatkan generasi muda tentang Perang Dunia Kedua. Pada majlis yang sama beliau merakamkan penghargaan di atas usaha yang telah dilakukan oleh TUDM untuk mengeluarkan sayap pesawat berkenaan. Beliau juga menyatakan harapan agar sumbangan TUDM tersebut kepada negara Belanda akan meningkatkan lagi hubungan di antara kerajaan, rakyat dan terutamanya di antara Tentera Udara kedua-dua buah negara.
2.MEMORANDUM PENUBUHAN MALAYSIA [1962]
Pada hari ini , satu memorandum mengenai penubuhan Malaysia telah dipersetujui dan ditandatangani di Persidangan keempat dan terakhir Jawatankuasa Perundingan Setiakawan Malaysia, di Singapura. Memorandum yang mengandungi 44 perkara berkenaan dengan perlembagaan dan pentadbiran Persekutuan Malaysia yang dirancangkan itu disediakan untuk diserahkan kepada Suruhanjaya Cobbold sebagai asas perundingan Suruhanjaya itu kelak. Jawatankuasa Perundingan dan Setiakawan Malaysia yang menandatangani Memorandum itu terdiri daripada seorang Pengerusi dan wakil-wakil dari lima buah negeri yang dirancangkan untuk memasuki Persekutuan Malaysia.
Memorandum penubuhan Malaysia ditandatangani (1962)
3.MALAYSIA DAN FILIPINA MENJALIN IKATAN BARU [1994]
Pada hari ini , Malaysia dan Filipina telah menjalinkan ikatan perhubungan baru bertujuan memperkukuhkan ikatan sedia ada yang terjejas disebabkan oleh beberapa masalah yang timbul. Dalam pertemuan yang diadakan antara Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Fidel Ramos di Istana Malacanang kedua-dua pihak telah bersetuju untuk memberi keutamaan kepada kemajuan dan kemakmuran ekonomi bagi faedah bersama.
4. PERASMIAN MUZIUM NEGERI KEDAH [1957
Pada hari ini , YAB Tan Sri Tunku Ismail bin Tunku Yahya (Tunku Indra Setia), Menteri Besar Kedah, telah merasmikan Muzium Negeri Kedah yang bertempat di tingkat bawah Balai Besar, Alor Setar. Muzium ini pada masa itu dikenali dengan nama Muzium Sejarah Negeri Kedah diketuai oleh YTM Tunku Nong bin Tunku Mohd Jiwa iaitu Yang DiPertua Persatuan Sejarah Kedah. Dalam tahun 1961, Muzium ini telah berpindah ke Bangunan sekarang terletak di Bakar Bata. Nama muzium ini telah diubah kepada nama Muzium Negeri Kedah. Sesungguhnya dengan perasmian Muzium Negeri Kedah pada hari ini dalam tahun 1957, banyak hasil-hasil khazanah negara yang tidak ternilai telah dapat dikumpul malah ia juga telah berjaya mempamerkan warisan kebudayaan negeri Kedah yang menjadi kebanggaan rakyatnya.
Rujukan : Arkib Negara Malaysia
- Nengrat Zahid -