2 Mac 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 02 MARCH

1. HUKUMAN KE ATAS AHLI RUKUN 13 YANG MEMBUNUH GABENOR BRITISH KE-2 SERAWAK  [1950]

Pada hari ini, Rosli Dhobi bersama rakan-rakannya Awang Ramli Amit Mohd Deli, Morshidi Sidek dan Bujang Suntong dihukum gantung kerana didakwa atas kesalahan membunuh Gabenor British Ke-2 di Sarawak, Sir Duncan George Edward. Mereka anggota kumpulan Rukun 13 yang cukup tersusun merencana aktiviti dan komplot. Ia cukup terancang.Ada juga yang menyatakan Rukun 13 itu merujuk kepada ketertiban 13 perkara dalam Rukun Solat. Hanya Rosli Dhobi, Awang Ramli Amit Mohd Deli, Morshidi Sidek dan Bujang yang dijatuhkan hukum. Jenazah mereka dikebumikan dalam kawasan Penjara Pusat Kuching. Hanya apabila Sarawak merdeka bersama penubuhan negara Malaysia pada tahun 1963, baharulah batu nisan diletakkan pada kubur di penjara tersebut. Tahun 1996, jenazah dikebumikan semula di Makam Pahlawan Sarawak berdekatan Masjid Kota Sibu mengikut adat istiadat dan penghormatan kebesaran negeri Sarawak.



2. PENGERAN SHAHBANDAR MENYERAHKAN PADAS DAMIT KEPADA SYARIKAT BORNEO UTARA BRITISH  [1889]

Pada hari ini  , satu perjanjian di antara Raja Padas Damit iaitu Pengeran Shahbandar di satu pihak dan British North Borneo Company disatu pihak yang lain ditandatangani. Perjanjian ini dibuat adalah bertujuan untuk mengakhiri perbalahan dan permusuhan di antara British North Borneo Company dan Pengeran Shahbandar.Pengeran Shahbandar bersetuju menyerahkan kepada British North Borneo Company semua kawasan Padas Damit dan semua jajahan di bawah kuasanya iaitu termasuk Padas Klias.  Pengeran Shahbandar juga bersetuju menyerahkan semua kuasa keistimewaannya seperti kuasa memungut cukai dan juga menyerahkan semua dokumen-dokumen mengenai Padas Damit dan Padas Klias.

3. TAMAT LATIHAN POLIS WANITA PERTAMA MALAYA  [1957]

Pada hari ini  , satu perbarisan tamat Latihan Polis Wanita yang pertama telah diadakan di Polis Depoh Kuala Lumpur.  Seramai 54 orang polis wanita telah ditauliahkan dan dikurniakan sijil masing-masing oleh Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Y.T.M Tunku Abdul Rahman.Beliau berasa bangga dengan pencapaian yang telah ditunjukkan oleh kumpulan polis wanita yang pertama ini dan merupakan yang terbaik di Asia Tenggara ketika itu.  Semasa latihan, polis-polis wanita ini telah diajar dan dilatih tentang cara-cara mempertahankan diri, menggunakan senjata, disiplin,  membentuk keyakinan diri dan sebagainya.



Gambar : Pengambilan pertama Polis Wanita pada bulan Ogos 1955.
Rujukan : Arkib Negara Malaysia , Retro Bola Sepak .

- ZAH -

Komen Anda

Sertai Kami