28 Februari 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 28 FEBRUARI

1. WAWASAN 2020 DIUMUMKAN  [1991]

Pada  hari  ini , Perdana  Menteri, YAB  Dato’  Seri  Dr.  Mahathir  Mohamad  telah  mengumumkan  wawasan  jangka  panjang  Malaysia  untuk  menjadi  negara  maju  menjelang  tahun  2020  pada  Majlis  Perdagangan  Malaysia. Wawasan  ini  telah  dibentangkan  di dalam  satu  kertas  kerja  yang  bertajuk  ‘Malaysia- The Way  Forward’ di mana  di dalam  kertas kerja  tersebut  terdapat  pemikiran  dan   rangka  kerja  mengenai  matlamat  Malaysia  untuk  menjadi  sebuah  negara  maju  menjelang  tahun  2020.  Wawasan  2020  yang  mengandungi  sembilan  cabaran  ini  merangkumi  semua  aspek  kehidupan  daripada segi moral, ekonomi, politik  dan sosial. Matlamat  wawasan  ini  ialah  untuk menjadikan  Malaysia  negara  maju  menjelang  2020  dan  mencapai   kemajuan  yang  seimbang  dari  segi  fizikal  dan  rohani  agar  ia  dapat  melahirkan  satu  Bangsa  Malaysia  yang  kuat  dan  bersatu.



2. PERTABALAN DYMM SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG KEENAM  [1976]

Pada hari ini  , Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim, iaitu Sultan Kelantan telah ditabalkan menjadi Yang di-Pertuan Agong Keenam. Istiadat pertabalan yang gilang-gemilang dan penuh warna-warni ini telah dilangsungkan di Balai Rong Seri, Dewan Tuanku Abdul Rahman mengikut adat istiadat kebesaran Raja-Raja Melayu. Istiadat pertabalan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong yang dijalankan pada hari ini dalam tahun 1976 telah diiringi oleh Kumpulan Nobat DiRaja dari Alor Setar, Kedah. Dengan perlantikan Baginda sebagai Yang Dipertuan Agong juga menjadikan Baginda Panglima Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia sehinggalah tamat tempoh perkhidmatan Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong.

3. JAMBATAN SULTAN ABU BAKAR DIRASMIKAN  [1970]

Pada hari ini  , Sultan Pahang DYMM Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al Mu’adzam Shah telah merasmikan pembukaan Jambatan Sultan Abu Bakar di Pekan, Pahang.  Jambatan yang merentangi Sungai Pahang ini dinamakan Jambatan Sultan Abu Bakar mengambil sempena nama baginda.  Jambatan sepanjang 600 meter ini, menghubungkan Peramu (lebih dikenali Pekan Seberang) dan Kampung Mengkasar, yang terletak berhampiran dengan bandar Pekan.Sebelum pembinaan Jambatan Sultan Abu Bakar ini, penduduk-penduduk Pekan terpaksa menggunakan Feri (Pontoon) sebagai alat perhubungan bagi merentasi Sungai Pahang.

Gambar : Wawasan 2020
Rujukan : Arkib Negara Malaysia

- ZAH -

Komen Anda

Sertai Kami