8 Februari 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 8 FEBRUARI

1. HARI KEPUTERAAN YTM TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA AL-HAJ [1903]

Pada hari ini , Bapa Kemerdekaan Malaysia, YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah diputerakan di Istana Pelamin, Alor Setar, Kedah. Merupakan putera Ke-14 kepada Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah yang Ke-28. Bondanya adalah Cik Manjalara merupakan anak kepada seorang bangsawan Siam bernama Luang Naraborirak.YTM Tunku telah kembali ke Rahmatullah pada tanggal 6 Disember 1990 pada usia 87 tahun dan telah dimakamkan di Makam Diraja Langgar, Kedah. 



2. TUGU PERINGATAN NEGARA DIRASMIKAN [1966]

Pada hari ini Tugu Peringatan Negara, di Bukit Perwira telah dirasmikan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin. Perdana Menteri, YTM Tunku Abdul Rahman, Presiden Korea, Chung Hee Park adalah di antara orang-orang kenamaan yang turut hadir dalam majlis tersebut. Tapak Tugu ini telah dibuat daripada batu yang telah beribu-ribu tahun tertanam di salji Kutub Utara dan patung-patung pada tugu tersebut direkabentuk oleh Felix de Welden, yang kemudiannya dianugerah gelaran Dato’ di atas jasanya tersebut.

3. PERJANJIAN KEMERDEKAAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU [1956]

Pada hari ini , Perjanjian Kemerdekaan ditandatangani di Lancaster House, London. Tunku Abdul Rahman, Ketua Menteri Tanah Melayu telah menandatangani bagi pihak Persekutuan Tanah Melayu dan Mr Alan Lennox-Boyd, Setiausaha Negara bagi Tanah Jajahan menandatangani bagi pihak kerajaan British.

4. PELANCARAN RISDA [1973]

Pada hari ini , Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah atau dikenali sebagai RISDA telah dilancarkan secara rasminya. Upacara pelancaran ini telah dilakukan oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak di Dewan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.Apabila tertubuhnya RISDA pada 1 Januari 1973, maka segala tugas yang di jalankan oleh Lembaga Perusahaan Getah Tanam Semula telah diambilalih dan diteruskan oleh RISDA.Ini dilakukan supaya segala kegiatan berkaitan dengan pekebun kecil akan berjalan dengan lebih berkesan. Dengan pelancaran RISDA pada hari ini dalam tahun 1973, diharapkan dapat meninggikan taraf ekonomi pekebun kecil dan memberi penghidupan yang sempurna kepada mereka.

Gambar : Tunku Andul rahman Putra Al Haj (1957)
Rujukan : Arkib Negara Malaysia

- ZAH -

Komen Anda

Sertai Kami