1. PERAK MENGAMBIL BALIK KAWASAN DINDING
Pada hari ini dalam tahun 1935, Negeri Perak telah mengambil balik kawasan Dinding dari Kerajaan Inggeris. Satu upacara menurunkan bendera ”Union Jack” dan menaikkan bendera negeri Perak telah dilangsungkan di Dinding dan disaksikan oleh Sultan Iskandar Shah Ibni Al Marhum Al Sultan Idris dan Resident Geoffrey Gator. Dinding yang terletak di antara Pulau Pinang dan Melaka telah menarik perhatian kuasa-kuasa penjajah. Sultan Abdullah telah menandatangani satu perjanjian dan dengan itu Dinding telah jatuh ke tangan Inggeris pada tahun 1826. Sejak dari itu Dinding telah ditadbirkan dari Pulau Pinang, iaitu sejauh seratus batu. Upacara penyerahan ini telah diadakan dengan rasminya pada hari ini dalam tahun 1935. Dan dengan itu kawasan Dinding telah kembali ke tangan negeri Perak setelah dipisahkan oleh Kerajaan Ingggeris selama 109 tahun.
2. SESI PERTAMA PROGRAM KHIDMAT NEGARA DIMULAKAN
Pada hari ini dalam tahun 2004, seramai 26,000 orang peserta kumpulan pertama mula menjalani latihan Program Khidmat Negara (PKN) selama tiga bulan di 41 buah kem di seluruh negara. Peserta berusia 18 tahun ini melalui empat minggu pertama latihan di kem, manakala lapan minggu seterusnya di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara. Pada 30 Oktober 2002, Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Khidmat Negara yang dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan.
3. SULTAN PERAK MENGHANTAR UTUSAN PERSAHABATAN KEPADA KOMPENI BELANDA DI MELAKA
Pada hari ini dalam tahun 1680, Sultan Perak ketika itu Sultan Mahmud Iskandar Shah telah menghantar beberapa orang- orang besar Perak sebagai utusan baginda pergi ke Melaka untuk menyatakan persahabatan baginda dengan Kompeni Belanda. Tindakan ini adalah berikutan daripada perbuatan sepasukan Kompeni Belanda yang telah menguatkan kawalan mereka di pantai dan kuala sungai Perak bagi mengawal bangsa-bangsa lain daripada berdagang bijih timah di Perak. Perkara ini telah menyebabkan perniagaan Kompeni Belanda di negeri Perak semakin merosot sekitar tahun 1682. Pada tahun 1690 pula sekumpulan orang-orang Melayu yang diketuai oleh Panglima Perak bernama Panglima Kulup telah menyerang Kota Belanda yang mengawal peniaga Perak di Pulau Pangkor dan membunuh askar-askar Belanda disitu. Pihak Kompeni Belanda kemudian telah mengarahkan askar-askar mereka supaya berundur dari perairan Perak dan kota tersebut telah ditinggalkan dari pantai negeri Perak.
Gambar : Peta Negeri Perak (1870)
Rujukan : Arkib Negara Malaysia
- ZAH -