21 Februari 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 21 FEBRUARI

1. PERJANJIAN PERSEFAHAMAN TELUK SIAM  [1979]

Pada hari ini, Perdana Menteri, Dato' Hussein Onn mengumumkan Perjanjian Persefahaman yang telah dibuat di Bangkok.  Perjanjian tersebut ialah mengenai usahasama di antara Malaysia dan negeri Thai  untuk mengusahakan hasil galian yang terdapat di Teluk Siam. Melalui perjanjian ini tuntutan mengenai hak menguasai perairan tersebut telah dapat diatasi.  Bagi pihak Malaysia pula, secara tidak langsung turut membantu negeri Thai mengatasi masalah kekurangan hasil minyak negara itu.Perjanjian persefahaman tersebut telah ditandatangani di Bangkok oleh Datuk Hussein Onn dan Perdana Menteri Thai, Jeneral Kriangsak Chommanand.  Datuk Hussein Onn menganggap perjanjian tersebut sangat unik.  Manakala Perdana Menteri Thai mensifatkan sebagai contoh kerjasama yang baik di dunia.



2. PERSIDANGAN PERTAMA ALIM ULAMA SE-MALAYA SELEPAS PERANG DUNIA KEDUA  [1950]

Pada hari ini , Persidangan Pertama Alim Ulama Se-Malaya telah berlangsung di Muar, Johor. Persidangan yang julung kali diadakan selepas Perang Dunia Kedua ini telah dianjurkan oleh UMNO Malaya dengan kerjasama UMNO bahagian Muar dan Tangkak serta dibantu oleh Jemaah Pengembang Agama Muar.  Di antara beberapa ketetapan yang dicapai hasil daripada Persidangan Alim Ulama Se-Malaya yang berlangsung pada hari ini dalam tahun 1950 itu ialah pembentukan sebuah jawatankuasa untuk membuat rayuan kepada Kerajaan Arab Saudi supaya mengurangkan cukai-cukai haji yang berlipat ganda dan juga meminta supaya orang-orang yang mengerjakan haji pada masa akan datang diberi layanan yang lebih baik, Persidangan ini juga telah bersetuju untuk menyokong langkah-langkah yang akan diambil untuk mendirikan sebuah Kolej Islam di Malaya.

3. PENYATA SURUHANJAYA REID DITERBITKAN [1957]

Pada hari ini, Penyata Suruhanjaya Reid diterbitkan. Penyata ini adalah hasil dari kajian yang dijalankan oleh Suruhanjaya Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang dipengerusikan oleh Lord Reid dari United Kingdom . Suruhanjaya ini ditubuhkan untuk menyusun sebuah perlembagaan bagi Persekutuan Tanah Melayu apabila ia mencapai kemerdekaan kelak.Terdapat sebanyak 100 perkara yang disentuh oleh Suruhanjaya Reid tercatat di dalam penyata ini. Di antaranya termasuklah mengenai pembentukan Parlimen, Pelantikan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara dan Timbalannya, Kuasa-kuasa Parlimen, kuasa-kuasa Yang di-Pertuan Agong, Kedudukan dan Kuasa Raja-Raja Melayu, Pelantikan Perdana Menteri, hal-hal kerakyatan, hak-hak asasi rakyat, hak istimewa orang-orang Melayu, pilihanraya, bahasa dan agama rasmi negara dan lain-lain.

Gambar : Jeneral tun kriangsak chomanan dan datuk hussein onn menandatangani kenyataan antara dua buah negara, chiang mai (1979)

Rujukan : Arkib Negara Malaysia

- ZAH -

Komen Anda

Sertai Kami