24 Februari 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 24 FEBRUARI

1. LAWATAN RATU ELIZABETH KEDUA KE KELANTAN  [1972]

Pada hari ini , Ratu Elizabeth kedua dari Britain bersama suaminya Putra Philip dan anak perempuan Puteri Anne telah tiba di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa, Kelantan.  Rombongan diRaja ini telah diiringi bersama oleh Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia iaitu Encik Johnston dan Menteri Pengiring ialah Dato’ Hamzah b. Abu Samah dan isteri Toh Puan Hajjah Zainon.  Berbagai program telah diatur sempena lawatan ini di antaranya ialah melawat ke Pusat Pertukangan Perak dan Kerjatangan dan Kilang Batek di Kampong Puteh.  Di sini rombongan diRaja ini telah diberi penerangan dan berpeluang melihat kerja-kerja pertukangan perak dan mengecap batik dilaksanakan.  Selain dari itu, rombongan ini juga telah dibawa melawat ke kawasan perkelahan yang masyhor di Kelantan iaitu Pantai Cinta Berahi.  Berapa acara kebudayaan tempatan telah diperlihatkan di antaranya ialah permainan gasing, wau, memetik kelapa dan pertunjukkan silat.



2. AMINUDDIN BAKI, TOKOH NASIONALIS KEMERDEKAAN MENINGGAL DUNIA  [1965]

Pada hari ini  , tokoh nasionalis kemerdekaan Encik Aminuddin Baki telah meninggal dunia.  Allahyarham merupakan seorang tokoh nasionalis kemerdekaan yang bertanggungjawab, berdedikasi dan aktif yang berjuang melalui pendidikan dan kegiatan kemasyarakatan. Mulai tahun 1959-1960 Allahyarham menjadi pensyarah sambilan di Kolej Islam dan berkhidmat sebagai Pegawai Pelajaran di Selangor.   Disamping itu, Allahyarham merupakan anak Melayu pertama memegang jawatan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.  Sepanjang hayatnya Allahyarham banyak bergiat dalam pelbagai jawatankuasa dan gerakan pelajar.  Jawatankuasa tersebut antaranya Jawatankuasa Bernes, Jawatankuasa Penyata Razak dan Laporan Rahman Talib.  Di samping itu Allahyarham juga aktif dalam kebudayaan, bahasa dan kemasyarakatan.

3. LEMBAGA PERTUBUHAN PELADANG DITUBUHKAN  [1973]

Pada hari ini  , Lembaga Pertubuhan Peladang telah ditubuhkan dan pengumumannya telah dibuat oleh Perdana Menteri, YAB Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein. Ianya bertujuan untuk mengambil alih tanggungjawab semua Persatuan Peladang dan Syarikat-syarikat kerjasama asas tani di negara ini. Lembaga ini juga berkuasa mendaftar, mengawal dan menyelia pertubuhan-pertubuhan peladang. Jelasnya, Pertubuhan Peladang ditubuhkan bagi mengadakan satu oraganisasi yang akan bertanggungjawab bagi menggalakkan usaha-usaha pertanian, memperbaiki kedudukan ekonomi dan sosial penduduk luar bandar.

Gambar : Lawatan ke Malaysia ketika Tuanku Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke 5
Rujukan : Arkib Negara Malaysia

- ZAH -

Komen Anda

Sertai Kami