1. SUDIRMAN HAJI ARSHAD MENINGGAL DUNIA [1992]
Pada hari ini, penghibur kesayangan ramai, Sudirman Haji Arshad meninggal dunia awal pagi di rumah kakaknya Datin Hajah Rodziah Haji Arshad di Bangsar, Kuala Lunmpur akibat penyakit radang paru-paru. Allahyarham dibawa pulang untuk disemadikan di kampung halaman di Temerloh, Pahang dan dikebumikan di tanah perkuburan Chengal, Kampung Tok Embun, Jalan Mentakab, Temerloh.Sudirman Haji Arshad mula mencipta namanya sebagai penyanyi apabila dia berjaya merebut gelaran Johan Bintang RTM di peringkat akhir pada tahun 1976. Kemuncak kepada kariernya sebagai penyanyi ialah apabila beliau berjaya memenangi anugerah Penghibur Nombor Satu Asia pada 19 Mei 1989 di Royal Albert Hall, London.
2. JEPUN MENYERAH DIRI DI KUALA LUMPUR [1946]
Pada hari ini, satu upacara penyerahan kuasa oleh Tentera Jepun kepada Kerajaan British telah dijalankan di Victoria Institution, Kuala Lumpur di mana Jeneral-jeneral Jepun menyerahkan Pedang Samurainya kepada Leftenan Jeneral Sir Frank Messervy, Pegawai Pemerintah Command Malaya. Penyerahan pedang samurai oleh Jeneral-jeneral Jepun itu menandakan peringkat terakhir penyerahan kuasa oleh pihak tertinggi tentera Jepun di Tanah Melayu. Penyerahan kuasa peringkat awal dilakukan secara beramai-ramai di akhir tahun 1945, di Lapangan Terbang Sungai Besi, Kuala Lumpur. Di antara tahun-tahun 1945-1948, golongan nasionalis Melayu radikal ini telah bergabung dengan kumpulan-kumpulan nasionalis Melayu radikal yang lain dalam satu "front" - PUTERA (Pusat Tenaga Rakyat) dan bersatu dengan AMCJA (All Malaya Council of Joint Action) untuk menentang syor-syor dan pelaksanaan Perjanjian Persekutuan yang dipersetujui oleh UMNO itu. Dalam tempoh masa di antara penyerahan kuasa pemerintahan Jepun dan pengisytiharan pemerintahan Pentadbiran Tentera British (BMA) Tanah Melayu berada di dalam keadaan huru hara.
3. MAJLIS GERAKAN NEGARA DIBUBARKAN [1971]
Pada hari ini , Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) telah dibubarkan. MAGERAN ditubuhkan berikutan dengan pengisytiharan darurat di seluruh negara yang berkuatkuasa pada 16hb Mei 1969. Dengan pengisyhtiharan darurat ini sistem Kerajaan Berparlimen termasuk Dewan-Dewan Perundangan Negeri telah dibubarkan. Pengisyhtiharan darurat ini dilakukan akibat berlakunya Tragedi 13 Mei yang hampir menghancurkan keutuhan negara. Tragedi ini berlaku ekoran dari pilihanraya kebangsaan yang berlangsung pada 10hb Mei 1969 di mana emosi dan sentimen perkauman telah disuarakan dengan begitu lancang. Tujuan penubuhan MAGERAN adalah untuk menghadapi keadaan darurat dan mengembalikan semula negara kepada keadaan sediakala. Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak telah dilantik menjadi Pengarah MAGERAN yang anggota-anggotanya terdiri dari pemimpin-pemimpin politik, pegawai-pegawai tadbir kanan kerajaan dan pihak perkhidmatan tentera dan polis.Apabila keadaan ketenteraman dapat dikawal dan pentadbiran negara kembali pulih maka MAGERAN telah dibubarkan pada hari ini dalam tahun 1971. Sistem kerajaan berparlimen dipulihkan semula pada 23hb Februari 1971.
Gambar : Allahyarham Sudirman Haji Arshad (1995)
Rujukan : Arkib Negara Malaysia
- ZAH -