7 Februari 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 7 FEBRUARI

1.PERJANJIAN RIAU-SYARIKAT HINDIA TIMUR BELANDA [1787]

Pada hari ini , Sultan Mahmud III yang memerintah kerajaan Johor-Riau-Lingga-Pahang telah menandatangani satu perjanjian dengan pihak Belanda di Melaka. Perjanjian yang ditandatangani itu merupakan perjanjian yang kedua setelah Riau dikalahkan oleh Belanda, di dalam peperangan bulan November 1784. Peperangan yang berlaku di Riau berpunca daripada permusuhan di antara orang-orang Bugis yang diketuai oleh Yam Tuan Muda Riau, Raja Haji dengan pihak Belanda di Melaka. Malangnya dalam peperangan pada Jun 1784, Raja Haji telah mangkat terbunuh di Teluk Ketapang.Dengan menandatangani perjanjian itu, pihak Belanda telah menguatkan lagi pertahanan serta monopoli perdagangan dan berjaya menjadikan Riau sebagai sebuah jajahan Belanda.

2. TOKOH POLITIK VETERAN HAJI MASOOD HAYAT MENINGGAL DUNIA [1988]

Pada hari ini , tokoh politik yang sama-sama berjuang untuk mencapai kemerdekaan iaitu Haji Masood Hayat telah meninggal dunia pada usia 102 tahun. Beliau diingati sebagai orang yang membaca doa semasa bendera Union Jack diturunkan di Padang Kelab Selangor, pada malam 31 Ogos 1957. Semasa hayatnya beliau bergiat aktif dalam bidang politik sejak zaman sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi. Beliau turut berjuang menentang penubuhan Malayan Union.

3. REJIMEN 511 ASKAR WATANIAH DITUBUHKAN [1980]

Pelbagai pendekatan telah digunakan oleh negara dalam mengawal keselamatan negara daripada ancaman musuh. Salah satu daripada cabang pertahanan ialah melalui perkhidmatan askar wataniah. Pada hari ini , Rejimen 511 Askar Wataniah telah ditubuhkan di Sarawak. Penubuhan pasukan ini bagi menggantikan pasukan pertahanan tempatan Sarawak yang telah dibubarkan. Sejak ditubuhkan Rejimen 511 `Askar Wataniah' telah merekrut, melatih dan mentadbir 10,523 anggota sukarela. Dengan penglibatan semua pihak dalam pertahanan, pelbagai isu dapat diselesaikan dan keamanan negara dapat dikawal dengan baik.

4. TAWARAN PENGAMPUNAN BERAMAI-BERAMAI KEPADA PENGGANAS-PENGGANAS KOMUNIS DITAMATKAN [1956]

Pada hari ini , tempoh pengampunan beramai-beramai yang ditawarkan oleh Kerajaan Persekutuan Tanah melayu selama 5 bulan kepada pihak komunis supaya menyerah diri telah berakhir. Tawaran pengampunan ini diberikan bermula pada 9hb. September, 1955 dalam usaha kerajaan untuk menghapuskan ancaman pengganas komunis di Tanah Melayu. Hasil dari kempen yang berjalan selama 5 bulan itu seramai 73 orang pengganas komunis dan 12 orang penyokong mereka telah menyerah diri kepada kerajaan.





Gambar : Perbarisan Pengampunan Untuk Pengganas Komunis (1955)
Rujukan : Arkib Negara Malaysia

- ZAH -

Komen Anda

Sertai Kami