1. RAJA MUDA SELANGOR BELAYAR MENGELILINGI DUNIA [1995]
Pada hari ini , Raja Muda Selangor Tengku Idris Shah telah memulakan pelayaran beliau mengelilingi dunia menggunakan kapal layar. Baginda Tuanku telah bertolak dari Pelabuhan Klang dengan kapal bernama ‘Jugra’ pada jam 10 pagi. Bersempena dengan keberangkatan Raja Muda Selangor ini satu Jemaah Pemangku Raja Selangor yang terdiri daripada Tengku Bendahara Selangor, Tengku Aris Temenggung, Orang Kaya Maha Bijaya Sepang, Orang Kaya To’Engku Maha Bijaya Hulu Langat, dan Mufti Kerajaan Negeri Selangor telah dibentuk bagi menjalankan tugas-tugas Sultan Selangor yang mendapatkan rawatan jantung di Orlando Amerika Syarikat kelak. Tempoh pelayaran Raja Muda Selangor ini dijangka akan diselesaikan dalam masa dua tahun.
2. SERUAN “HIDUP MELAYU” DITUKAR KEPADA “MERDEKA” [1951]
Pada hari ini , seruan “Hidup Melayu” yang digunakan oleh UMNO sejak penubuhannya telah ditukar kepada “Merdeka”. Persetujuan untuk menukarkan seruan tersebut telah dicapai dalam Persidangan Setengah Tahun Majlis Mesyuarat Perikatan Pemuda - UMNO yang telah diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Seruan “Merdeka” telah dipilih kerana ia lebih bertetapan dengan perjuangan nasionalis UMNO pada ketika itu yang memperjuangkan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dari cengkaman British. Ini secara tidak langsung telah menyemarakkan semangat di kalangan penduduk Tanah Melayu untuk bangkit dan sama-sama bersatu padu dalam merealisasikan hasrat untuk mencapai kemerdekaan negara. Seruan “Merdeka” ini telah digunakan oleh UMNO dalam setiap perhimpunan besar yang diadakan hinggalah 31 Ogos 1957, apabila YTM Tunku Abdul Rahman selaku Ketua Menteri telah melaungkannya sebanyak tujuh kali semasa upacara pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu di Stadium Merdeka. Sesungguhnya, seruan “Merdeka” ini telah menjadi pencetus semangat dikalangan orang Melayu untuk memperjuangkan kemerdekaan negara.
3. PERARAKAN MENENTANG PENUBUHAN MALAYAN UNION DI KEDAH [1946]
Pada hari ini , satu perarakan menentang British telah diadakan di Kedah sebagai tanda penentangan orang-orang melayu Kedah ke atas rancangan Malayan Union.Perarakan ini adalah perarakan kedua yang pernah diadakan di negeri Kedah setelah terbitnya Kertas Putih Malayan Union.Perarakan pertama telah diadakan pada 19 Januari 1946 di Padang Court, Alor Setar dan telah dihadiri oleh kira-kira 50,000 orang. Perarakan kedua ini juga telah diadakan di tempat yang sama di bawah anjuran Kesatuan Pemuda Melayu Kedah. Kira-kira 5,000 orang dari Kesatuan melayu Kedah, SEBERKAS, Kesatuan Ulama Kedah dan Persatuan Pemuda Melayu Kedah telah mengambil bahagian. Pada mulanya perhimpunan ini diadakan bertujuan untuk menyambut kedatangan Mr. M.C.Howard, Ketua Hal Ehwal Awam, Malaya. Tetapi kedatangan beliau telah dibatalkan dan ianya telah diwakili oleh Lefternan Kolonel J.W.Sumerbill, seorang pegawai tentera British.
Gambar : Perarakan menetang British di Kedah (1946)
Rujukan : Arkib Negara Malaysia
- Nengrat Zahid -