1. CADANGAN NAMA BANDAR JESSELTON DITUKAR KEPADA KOTA KINABALU [1966]
Pada hari ini , Tun Mustapha bin Datu Harun, Pengerusi Perikatan Sabah dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) telah mencadangkan nama Jesselton ditukarkan kepada Kota Kinabalu. Cadangan ini dibuat semasa beliau berucap di satu Perhimpunan rakyat di Tambunan, Sabah. Nama Kota Kinabalu dipilih adalah bagi menghormati kaum Dusun kerana kaum inilah yang paling ramai tinggal berdekatan gunung itu. Di dalam ucapannya, Tun Mustapha telah menyatakan bahawa nama Kota Kinabalu disyorkan supaya ia tidak tersilap dengan Gunung Kinabalu, iaitu gunung yang tertinggi di Asia Tenggara.Di samping itu, Tun Mustapha turut mengesyorkan supaya tiap-tiap negeri di Malaysia menamakan jalan raya dengan nama negeri-negeri lain di Malaysia. Beliau juga mengesyorkan supaya sebatang jalan raya di ibu kota Kuala Lumpur diberi nama Jalan Kinabalu. Usaha ini akan mempereratkan lagi persefahaman di kalangan rakyat di negara ini.
2. PORT DICKSON - REMBAU DIISYTIHARKAN KAWASAN PUTIH YANG PERTAMA DI NEGERI SEMBILAN [1954]
Pada hari ini , kawasan-kawasan pentadbiran Port Dickson dan Rembau diisytiharkan sebagai 'Kawasan Putih' oleh DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Perisytiharan itu melibatkan kawasan seluas 205 batu persegi. Dengan perisytiharan itu seramai 41,000 orang lagi penduduk Persekutuan telah bebas dari sekatan undang-undang darurat menjadikan jumlah mereka seramai 712,000 orang. Port Dickson dan Rembau ialah kawasan yang pertama di Negeri Sembilan dan yang kelima di Persekutuan menjadi 'kawasan putih'. Dengan perisytiharan ini penduduk-penduduk di kawasan itu dapat hidup semula seperti penduduk-penduduk di kawasan lain kerana sekatan-sekatan ke atas barang-barang makanan, bekalan-bekalan penting dan perintah berkurung telah dihapuskan. Perisytiharan kedua-dua kawasan ini sebagai 'kawasan putih' pada hari ini dalam tahun 1954 membuktikan taat setia rakyat terhadap undang-undang dan kerjasama mereka kepada pihak berkuasa untuk menamatkan darurat secepat mungkin.
3. PELANCARAN PERODUA RUSA [1996]
Pada hari ini , Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad telah melancarkan Kenderaan Serbaguna (MUV) Malaysia yang pertama, Perodua Rusa bertempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Hadir sama dalam majlis pelancaran tersebut ialah YM Raja Tun Mohar bin Raja Badiozaman, Pengerusi Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd.Tahun 1995, merupakan tahun pertama Perodua beroperasi sepenuhnya sepanjang tahun melalui pengeluaran dan penjualan Perodua Kancil, Perodua telah berjaya meluaskan asas pasaran kenderaan dan seterusnya menguasai 17.7 % pasaran dan menjadikannya kedua terbesar selepas Proton. Perodua Rusa telah dilancarkan dalam jangka masa hanya 18 bulan selepas pelancaran Perodua Kancil dan mencerminkan komitmen Perodua dalam memperkukuhkan industri automobil negara.
Gambar : Port Dickson-Rembau diisytihar Kawasan Putih pertama di Negeri Sembilan
Rujukan : Arkib Negara Malaysia
- ZAH -