17 Februari 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 17 FEBRUARI

1. RANG UNDANG-UNDANG PELABUHAN BEBAS PULAU PINANG DILULUSKAN [1949]

Pada hari ini ,  Rang Undang-undang yang dinamakan Undang-undang Cukai Kastam (Pulau Pinang), 1949 diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan.  Melalui Undang-undang ini Pelabuhan Pulau Pinang menjadi Kawasan Pelabuhan Bebas.  Sebelum rang undang-undang ini dibentangkan dalam majlis Perundangan ini dibentangkan, satu kajian yang mendalam telah dijalankan dan hasilnya satu lapuran telah dikemukakan kepada Majlis Perundangan Persekutuan iaitu Lapuran Benham.  Lapuran ini antara lain telah mencadangkan supaya Pulau Pinang dikekalkan statusnya seperti dimasa sebelum Perang Dunia Kedua. Dengan lulusnya Rang Undang-Undang Cukai Kastam (Pulau Pinang) pada hari ini dalam tahun 1949, maka terlaksanalah segala peruntukan mengenai cukai import dan ekspot serta pelabuhan Pulau Pinang sebagai pelabuhan bebas.

2. SEMINAR PARTI PERIKATAN  [1971]

Pada hari ini , Seminar Khas Parti Perikatan telah dirasmikan oleh Perdana Menteri merangkap Yang Dipertua Parti Perikatan, Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein. Seminar yang dihadiri oleh 300 orang pemimpin Parti Perikatan, termasuk menteri-menteri kabinet, anggota-anggota Parlimen dan Dewan Undangan Negeri itu telah diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Seminar yang diadakan selama 3 hari ini adalah bertujuan untuk mencari jalan bagi melicinkan perjalanan Parti Perikatan. Sesungguhnya seminar ini merupakan 'pembuka tirai' bagi pemulihan sistem demokrasi berparlimen yang telah dianuti sejak negara mencapai kemerdekaan, dan berhadapan dengan banyak cabaran berikutan peristiwa 13 Mei 1969.

3. PERASMIAN PENUBUHAN MASJID KAMPUNG RAJA UDA OLEH SULTAN SELANGOR  [1967]

Pada hari ini , bertempat di Kampung Raja Uda, Kelang, Selangor. DYMM Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Ibni Almarhum Sultan str Hisamuddin Alam Shah Alhaj telah berangkat merasmikan masjid di kampung berkenaan. Kampung Raja Uda ialah sebuah kampung yang telah dibuka mengikut rancangan perumahan yang pertama bagi orang-orang Melayu di Daerah Kelang.Pada hari ini sebuah masjid bagi kegunaan umat Islam di kawasan ini telah dibina dan dirasmikan oleh DYMM Sultan Selangor. Kampung Raja Uda juga diberi nama bersempena nama Menteri Besar Selangor ketika itu.  Pembinaan masjid yang pertama di Kampung ini adalah hasil daripada kutipan dan derma rakyat telah diusahakan sejak 1960 lagi dan pada hari ini ianya telah sempurna didirikan di kampung ini.



Gambar : Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj dan Tuanku Siti Aisyah binti Abdul Rahman
Rujukan : Arkib Negara Malaysia

- ZAH -

Komen Anda

Sertai Kami