Pada hari ini, Persekutuan Tanah Melayu telah berjaya ditawan oleh tentera Jepun di bawah pimpinan Jeneral Tomoyuki Yamashita. Kejayaan yang dicapai adalah berikutan daripada penawanan Kolam Air di tengah-tengah Pulau Singapura. Pegawai Pemerintah Inggeris iaitu Jeneral Percival telah menyerah diri kepada pihak Jepun tanpa syarat. Serangan yang telah dilancarkan oleh tentera Jepun ke atas Tanah Melayu bermula pada 8 Disember 1941 di Kota Bharu, Kelantan dan peperangan itu adalah serentak dengan negara-negara lain seperti Hawai, Hong Kong dan FilipinaAdalah ditafsirkan seramai 150 ribu orang tentera Jepun telah digunakan dalam serangan ke atas Tanah Melayu yang meliputi kira-kira lima ketumbukan dan dua pasukan kereta kebal serta Pasukan Kawalan Diraja iaitu angkatan perang Jepun di negeri China. Ini adalah satu angkatan perang yang cukup kuat dan besar mengikut perancangan yang diatur dengan teliti demi memperolehi kemenangan.
Anggota-Anggota Infantri Jepun Meluru Ke Hadapan Untuk
Menduduki Sebahagian Bandar Johor Bahru Di Akhir Bulan Januari 1942.
2. ANGKATAN PEMUDA INSAF (API) DITUBUHKAN [1946]
Pada hari ini, Angkatan Pemuda Insaf atau API telah ditubuhkan di Brewster Road, Ipoh. Pengerusinya yang pertama ialah Abdullah Sani bin Tengku Kecil atau lebih dikenali dengan nama Ahmad Boestamam. API merupakan sebuah pertubuhan politik yang berpengaruh di kalangan masyarakat Melayu terutamanya dalam tahun-tahun perjuangan menentang penjajah Inggeris. API juga merupakan barisan yang terkuat dalam Pertubuhan Kebangsaan Melayu (PKMM) yang wujud dalam tahun 1945 hinggalah negara mencapai kemerdekaan. Kewujudan API sebagai salah satu komponen yang terkuat telah menyebabkan PKMM lebih radikal dan telah menyebabkan ia mendapat perhatian dan sokongan kuat dari rakyat umum. Namum begitu API telah diharamkan oleh Kerajaan Inggeris secara rasmi pada 17hb Julai 1947. Pengharaman Pertubuhan ini kerana terbitnya buku ’Testament Politik API’ yang sekali gus menjelaskan perjuangan mereka yang menentang pemerintahan Inggeris.
3. PELANCARAN KAPAL POLIS DIRAJA MAHKOTA DAN TEMENGGONG [1965]
Pada hari ini , dua buah kapal Polis Diraja Malaysia yang diberi nama Mahkota dan Temenggong dilancarkan dengan rasminya di Tanjung Rhu, Singapura. Upacara pelancaran ini telah dilakukan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Dr. Ismail bin Datuk Abdul Rahman. Kedua-dua kapal yang dilancarkan pada hari itu bertanggungjawab menjalankan tugas-tugas rondaan pantai dan bekerjasama dengan kapal-kapal Tentera Laut Diraja Malaysia yang menjalankan tugas di kawasan perairan Malaysia.
Rujukan : Arkib Negara Malaysia
- ZAH -
- ZAH -