20 Februari 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 20 FEBRUARI

1. PERANG KUCHING-BAU, SARAWAK  [1857]

Pada hari ini , Perang Kuching-Bau telah tercetus di negeri Sarawak.  Perang diantara bandar Kuching dengan bandar Bau ini hampir meruntuhkan pemerintahan James Brooke dan hampir menghapuskan penduduk Cina di Sarawak. Pada tahun 1850 sudah terdapat seramai 4,000 orang pelombong-pelombong.  Dikalangan penduduk Cina ini terdapat sebuah kongsi gelap bernama San Tian Kiau yang menguasai bandar Bau. Kongsi gelap ini kemudiannya telah merancang untuk menyerang bandar Kuching.  Pada mulanya kongsi gelap San Tian Kiau bercadang menyerang bandar Kuching pada bulan Januari, 1857.   Oleh kerana bandar Kuching tidak bersedia maka bandar itu telah jatuh ketangan kongsi gelap San Tian Kiau.  Walaubagaimanapun kongsi gelap itu mula berundur ke Bau bila diketahui bahawa Charles Brooke dengan askar Iban sedang menuju ke Kuching.  Semasa kongsi gelap itu berundur sekumpulan orang-orang Melayu telah menyerang mereka. Perang Kuching-Bau ini telah memusnahkan bandar Kuching.  Perkampungan Melayu telah habis terbakar dan begitu juga bangunan-bangunan lain di bandar itu.  Bandar Bau telah ditinggalkan oleh penduduk China.  Kegagalan serangan kongsi gelap itu telah dapat menguatkan kewibaan James Brooke di Bau.

2. SIR GERALD TEMPLER DILANTIK SEBAGAI PESURUHJAYA TINGGI TANAH MELAYU [1952]

Pada hari ini  , General Sir Gerald Templer, seorang Pegawai Tinggi Tentera British telah dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu, menggantikan Sir Henry Gurney, iaitu Pesuruhjaya Tinggi yang telah mati ditembak oleh pengganas komunis dalam satu serang hendap pada bulan Oktober tahun 1951. Inilah kali pertama kerajaan British di London melantik seorang pegawai tentera memegang jawatan awam di Tanah Melayu. General Sir Gerald Templer telah berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Tinggi sehingga bulan Mei 1954.



3. PANGLIMA AGUNG BRITISH TIBA DI KUALA LUMPUR MEMBERI SOKONGAN PADA GAGASAN MALAYSIA  [1963]

Pada hari ini , Ketua Turus Agung  Angkatan Bersenjata British Sir Richard Hull tiba di Kuala Lumpur.  Beliau tiba di Lapangan Terbang Subang dengan pesawat pengangkut RAF (Royal Air Force).  Beliau menegaskan bahawa Britain akan membantu Malaya kiranya ada ancaman dari luar terhadap Malaya dan pasukan pertahanan British adalah mencukupi dan sentiasa bersiap sedia.  Beliau juga menyatakan tentang perjanjian pertahanan antara Britain dan Malaya di mana Britain juga bertanggungjawab sekiranya Malaya diancam pihak luar. Dengan lawatan Panglima Agung Angkatan Tentera British pada hari ini dalam tahun 1963 tersebut telah menguatkan lagi azam Malaya dalam menghadapi konfrantasi Indonesia dan merealisasikan gagasan Malaysia.

Gambar : Sir Gerald Templer  (1952)
Rujukan : Arkib Negara Malaysia

- ZAH -

Komen Anda

Sertai Kami