1 Mac 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 01 MARCH

1. UNDANG-UNDANG WAJIB HORMAT LAGU KEBANGSAAN  [1968]

Pada hari ini , Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang mewajibkan orang ramai bangun berdiri memberi hormat apabila lagu kebangsaan dimainkan terutama di tempat awam. Rang Undang-undang ini juga melarang orang ramai mentertawakan lagu kebangsaan dan juga mempermainkan sesiapa sahaja yang menghormati lagu tersebut. Adalah satu kesalahan menggangu dan mengejek orang yang memberi hormat kepada lagu yang menjadi lambang kebangsaan negara ini. Demi menentukan rang undang-undang ini dipatuhi maka kuasa telah diberi kepada pegawai polis untuk menangkap tanpa waran sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan ini. Mereka akan dikenakan denda sebanyak satu ratus ringgit atau satu bulan penjara.

2. PERASMIAN KEJOHANAN HOKI SEDUNIA YANG KETIGA  [1975]

Pada hari ini , Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah telah merasmikan Kejohanan Hoki Piala Dunia yang ketiga, bertempat di Stadium Merdeka. Sebanyak 12 buah negara peserta mengambil bahagian iaitu Argantina, Australia, England, Jerman Barat, Ghana, India, Belanda, New Zealand, Pakistan, Poland, Sepanyol dan Malaysia. Inilah kali pertama Malaysia terpilih menjadi tuan rumah kejohanan tersebut. Perdana Menteri, Tun Abdul Razak iaitu Yang di-Pertua Hoki Malaysia telah menyifatkan kejohanan kali ini sebagai satu sejarah baru dalam perkembangan sukan negara. Kejohanan hoki sedunia ke-3 yang diadakan pada hari ini dalam tahun 1975 membuktikan mutu sukan hoki di Malaysia telah mencapai tahap yang membanggakan, malahan Malaysia telah berjaya memasuki separuh akhir selepas mengalahkan Belanda.



3. PERHIMPUNAN KONGRES MELAYU SELURUH TANAH MELAYU  [1946]

Pada hari ini , suatu Perhimpunan yang bersejarah bagi orang-orang Melayu di seluruh Tanah Melayu termasuk Singapura telah diadakan di Padang Kelab Sultan Sulaiman. Perhimpunan yang dihadiri oleh 41 buah Pertubuhan Melayu itu telah melahirkan satu Kongres politik Melayu yang pertama iaitu Kongres Melayu seluruh Tanah Melayu dalam usaha padu orang-orang Melayu menentang Malayan Union yang mahu menjadikan Tanah Melayu sebagai tanah jajahan British. Tujuan utama Kongres itu adalah untuk menyatupadukan orang-orang Melayu dalam satu badan penyuaraan yang kuat supaya Perlembagaan Malayan Union itu ditarik balik. Rancangan awal dan yang paling mendesak bagi Kongres ini ialah untuk memulihkan kembali kedaulatan Raja-Raja Melayu dan hak-hak orang Melayu sebagai golongan bumiputera.

Gambar : Kejohanan Hoki Kali Ke-3
Rujukan : Arkib Negara Malaysia

- ZAH -

Komen Anda

Sertai Kami