27 Februari 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 27FEBRUARI

1. PENUBUHAN PERSATUAN CINA MALAYA (MCA)  [1949]

Pada   hari   ini ,  Persatuan  Cina  Malaya  (MCA)  telah ditubuhkan.  Penubuhannya  adalah  hasil  daripada  perjumpaan  seramai  300  orang perwakilan  cina  dari  seluruh  Persekutuan Tanah  Melayu  kecuali  negeri  Kelantan.  Ianya  telah  diadakan  di Dewan  Perhimpunan  Cina,  Kuala Lumpur.   Tan Cheng Lock  telah  dipilih  sebagai  Presiden.  Pada  perhimpunan  tersebut  juga,  telah melihatkan   pemilihan  seramai  100  orang  ahli  jawatankuasa  Pusat  dan  wakil-wakli negeri dan Kuala Lumpur sebagai Ibu Pejabat MCA.  Pada  peringkat  awal  penubuhannya, MCA  lebih  menjurus  sebagai  Pertubuhan  Kebajikan,  namun  pada  tahun  1952  ia  telah  menjadi  sebuah  parti  politik  dengan  menyertai  Perikatan  UMNO-MCA bagi  tujuan  memenangi  Pilihanraya  Perbandaran  Kuala  Lumpur.Berikutan daripada  permuafakatan  ini,  ianya  telah  membawa  kepada  kerjasama  dalam  perjuangan  untuk  memperolehi  kemerdekaan  negara  pada  31  Ogos  1957.



2. PERLETAKAN BATU ASAS MASJID NEGARA  [1963]

Pada hari ini  , DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail berkenan meletakkan batu asas Masjid Negara di Kuala Lumpur. Sebenarnya cita-cita untuk membina Masjid Negara yang berharga 10 juta ringgit itu telah timbul kira-kira sebulan sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.Masjid Negara mempunyai bentuk binaan yang menarik dan pembinaannya telah mengambil masa selama lima tahun. Rupa bentuknya mengandungi ciri-ciri yang berunsurkan senibina Islam yang bersulamkan unsur-unsur seni tempatan dan diolah secara moden.Bahagian dalam dewan itu dihiasi indah dengan ayat-ayat Quran yang tertulis di sekeliling dinding temboknya. Selain daripada digunakan sebagai tempat sembahyang, Masjid Negara juga merupakan pusat kegiatan Agama Islam di negara ini.

3. PENGISYTIHARAN PENYERAHAN ISTANA JAMAIAH UNTUK DIJADIKAN KOLEJ ISLAM SEMALAYA  [1953]

Pada hari ini , Duli Yang Maha Mulia Sultan Hisamuddin Alam Shah Ibni Almarhum Sultan Alaiddin Sulaiman Shah, telah mengisyhtiharkan penyerahan Istana Jamaiah untuk dijadikan Kolej Islam Se Malaya. Istana Jamaiah dan tanah tapaknya telah diserahkan oleh Sultan kepada Majlis Agama Islam Selangor untuk ditadbirkan. Dengan adanya Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam dan adat istiadat Melayu, bermakna akan melipat gandakan tanggungan-tanggungan dan urusan-urusan Majlis Agama. Sejak penyerahan Istana Jamaiah untuk dijadikan Kolej Islam Se Malaya pada hari ini dalam tahun 1953, kolej tersebut telah berkembang dengan pesatnya. Ramai para cendikiawan Agama Islam telah mendapat pendidikan dari kolej ini malah kolej ini menjadi salah sebuah pusat pengajian tinggi Islam yang terkenal di Malaysia.

Gambar : Presiden MCA pertama
Rujukan : Arkib Negara Malaysia

- ZAH -

Komen Anda

Sertai Kami