1. PENUBUHAN PERSATUAN CINA MALAYA (MCA) [1949]
Pada hari ini , Persatuan Cina Malaya (MCA) telah ditubuhkan. Penubuhannya adalah hasil daripada perjumpaan seramai 300 orang perwakilan cina dari seluruh Persekutuan Tanah Melayu kecuali negeri Kelantan. Ianya telah diadakan di Dewan Perhimpunan Cina, Kuala Lumpur. Tan Cheng Lock telah dipilih sebagai Presiden. Pada perhimpunan tersebut juga, telah melihatkan pemilihan seramai 100 orang ahli jawatankuasa Pusat dan wakil-wakli negeri dan Kuala Lumpur sebagai Ibu Pejabat MCA. Pada peringkat awal penubuhannya, MCA lebih menjurus sebagai Pertubuhan Kebajikan, namun pada tahun 1952 ia telah menjadi sebuah parti politik dengan menyertai Perikatan UMNO-MCA bagi tujuan memenangi Pilihanraya Perbandaran Kuala Lumpur.Berikutan daripada permuafakatan ini, ianya telah membawa kepada kerjasama dalam perjuangan untuk memperolehi kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.
2. PERLETAKAN BATU ASAS MASJID NEGARA [1963]
Pada hari ini , DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail berkenan meletakkan batu asas Masjid Negara di Kuala Lumpur. Sebenarnya cita-cita untuk membina Masjid Negara yang berharga 10 juta ringgit itu telah timbul kira-kira sebulan sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.Masjid Negara mempunyai bentuk binaan yang menarik dan pembinaannya telah mengambil masa selama lima tahun. Rupa bentuknya mengandungi ciri-ciri yang berunsurkan senibina Islam yang bersulamkan unsur-unsur seni tempatan dan diolah secara moden.Bahagian dalam dewan itu dihiasi indah dengan ayat-ayat Quran yang tertulis di sekeliling dinding temboknya. Selain daripada digunakan sebagai tempat sembahyang, Masjid Negara juga merupakan pusat kegiatan Agama Islam di negara ini.
3. PENGISYTIHARAN PENYERAHAN ISTANA JAMAIAH UNTUK DIJADIKAN KOLEJ ISLAM SEMALAYA [1953]
Pada hari ini , Duli Yang Maha Mulia Sultan Hisamuddin Alam Shah Ibni Almarhum Sultan Alaiddin Sulaiman Shah, telah mengisyhtiharkan penyerahan Istana Jamaiah untuk dijadikan Kolej Islam Se Malaya. Istana Jamaiah dan tanah tapaknya telah diserahkan oleh Sultan kepada Majlis Agama Islam Selangor untuk ditadbirkan. Dengan adanya Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam dan adat istiadat Melayu, bermakna akan melipat gandakan tanggungan-tanggungan dan urusan-urusan Majlis Agama. Sejak penyerahan Istana Jamaiah untuk dijadikan Kolej Islam Se Malaya pada hari ini dalam tahun 1953, kolej tersebut telah berkembang dengan pesatnya. Ramai para cendikiawan Agama Islam telah mendapat pendidikan dari kolej ini malah kolej ini menjadi salah sebuah pusat pengajian tinggi Islam yang terkenal di Malaysia.
Gambar : Presiden MCA pertama
Rujukan : Arkib Negara Malaysia
- ZAH -
Tiada ulasan:
Catat Ulasan