1. WAWASAN 2020 DIUMUMKAN [1991]
Pada hari ini , Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad telah mengumumkan wawasan jangka panjang Malaysia untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020 pada Majlis Perdagangan Malaysia. Wawasan ini telah dibentangkan di dalam satu kertas kerja yang bertajuk ‘Malaysia- The Way Forward’ di mana di dalam kertas kerja tersebut terdapat pemikiran dan rangka kerja mengenai matlamat Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Wawasan 2020 yang mengandungi sembilan cabaran ini merangkumi semua aspek kehidupan daripada segi moral, ekonomi, politik dan sosial. Matlamat wawasan ini ialah untuk menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020 dan mencapai kemajuan yang seimbang dari segi fizikal dan rohani agar ia dapat melahirkan satu Bangsa Malaysia yang kuat dan bersatu.
2. PERTABALAN DYMM SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG KEENAM [1976]
Pada hari ini , Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim, iaitu Sultan Kelantan telah ditabalkan menjadi Yang di-Pertuan Agong Keenam. Istiadat pertabalan yang gilang-gemilang dan penuh warna-warni ini telah dilangsungkan di Balai Rong Seri, Dewan Tuanku Abdul Rahman mengikut adat istiadat kebesaran Raja-Raja Melayu. Istiadat pertabalan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong yang dijalankan pada hari ini dalam tahun 1976 telah diiringi oleh Kumpulan Nobat DiRaja dari Alor Setar, Kedah. Dengan perlantikan Baginda sebagai Yang Dipertuan Agong juga menjadikan Baginda Panglima Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia sehinggalah tamat tempoh perkhidmatan Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong.
3. JAMBATAN SULTAN ABU BAKAR DIRASMIKAN [1970]
Pada hari ini , Sultan Pahang DYMM Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al Mu’adzam Shah telah merasmikan pembukaan Jambatan Sultan Abu Bakar di Pekan, Pahang. Jambatan yang merentangi Sungai Pahang ini dinamakan Jambatan Sultan Abu Bakar mengambil sempena nama baginda. Jambatan sepanjang 600 meter ini, menghubungkan Peramu (lebih dikenali Pekan Seberang) dan Kampung Mengkasar, yang terletak berhampiran dengan bandar Pekan.Sebelum pembinaan Jambatan Sultan Abu Bakar ini, penduduk-penduduk Pekan terpaksa menggunakan Feri (Pontoon) sebagai alat perhubungan bagi merentasi Sungai Pahang.
Gambar : Wawasan 2020
Rujukan : Arkib Negara Malaysia
- ZAH -
Tiada ulasan:
Catat Ulasan