1. PENUBUHAN TABUNG TINDAKAN EKONOMI NEGARA-NEGARA ISLAM [1981]
Pada hari ini , Sidang Kemuncak Negara-negara dan Kerajaan Islam yang ketiga telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah Tabung Tindakan Ekonomi bermodalkan sebanyak US3,000 juta. Persetujuan ini dicapai pada hari terakhir sidang tersebut yang bermula pada 25 Januari 1981. Sidang kemuncak ini berlangsung di Taif, Arab Saudi dengan dihadiri oleh 38 buah negara daripada 42 buah negara yang menganggotai Pertubuhan Negara Islam Sedunia. Perwakilan Malaysia diketuai oleh YAB Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Sesungguhnya persetujuan menubuhkan Tabung Tindakan Ekonomi ini, membuktikan kesepakatan negara-negara Islam untuk melahirkan satu lembaran baharu dalam sejarah kegemilangan Islam.
2. PELANCARAN KORIDOR PEMBANGUNAN SABAH [2008]
Pada hari ini , YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi telah melancarkan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dengan suntikan peruntukan tambahan sebanyak RM5 bilion bagi membasmi kemiskinan di negeri Sabah serta mengurangkan jurang perbezaan antara bandar dan luar bandar secara menyeluruh. Program Rangka Tindakan SDC ini telah berlangsung di Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu. Projek SDC dijangka menerima pelaburan berjumlah RM105 bilion dalam tempoh 18 tahun pelaksanaannya. Projek-projek di bawah SDC bukan sahaja bakal merubah wajah Sabah dengan menyediakan landskap baru ekonomi tetapi juga memastikan kemiskinan dapat dikurangkan secara konsisten di seluruh Sabah.
Koridor Pembangunan Sabah
3. PERJANJIAN KERJASAMA EKONOMI DAN TEKNIK ANTARA MALAYSIA DENGAN ARAB SAUDI [1975]
Perkembangan ekonomi negara Malaysia memerlukan kemasukan modal sama ada oleh pelabur mahupun pinjaman daripada luar. Usaha-usaha sentiasa dijalankan bagi menarik pelaburan dan pinjaman luar ke negara ini. Pada hari ini , perjanjian kerjasama ekonomi dan teknik antara Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi telah ditandatangani. Pengumuman berkenaan dengan perjanjian ini telah dibuat oleh Perdana Menteri Malaysia Tun Abdul Razak dalam satu sidang akhbar di Istana-Al-Dhai. Pinjaman yang bernilai RM200 juta yang diberikan oleh Arab Saudi dengan mengenakan syarat-syarat mudah akan membolehkan Kerajaan Malaysia meneruskan rancangan pembangunan untuk meninggikan taraf hidup rakyat di negara ini, di samping meneruskan rancangan-rancangan pembangunan yang telah dirancang selama ini.
4. PENUBUHAN YAYASAN PENGURUSAN MALAYSIA [1966]
Pada hari ini , Yayasan Pengurusan Malaysia (Malaysia Management Institute) telah ditubuhkan dengan rasminya. Upacara pelancaran penubuhannya telah dilakukan oleh Y.B. Dr. Lim Swee Aun, Menteri Perdagangan dan Perindustrian di Dewan Bahasa dan Pustaka. Yayasan ini ditubuhkan bertujuan untuk melahirkan satu badan gabungan yang bertindak sebagai jurucakap bagi pengurusan Malaysia di forum-forum di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dan juga bagi mendapatkan status gabungan bagi ahli-ahlinya di dalam badan pengurusan antarabangsa.
Gambar : KORIDOR PEMBANGUNAN SABAH
Rujukan : Arkib Negara Malaysia
- Nengrat Zahid -