7 Mac 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 07 MAC

1. PERASMIAN TAMAN MERGASTUA TAIPING, PERAK [1964]

Pada hari ini , Taman Mergastua Idris Shah, Taiping, dirasmikan oleh DYMM Sultan Perak, Paduka Seri Sultan Idris Shah iaitu mengambil sempena dengan nama Baginda. Taman tersebut ditadbirkan oleh Lembaga Pengurus Kerajaan Tempatan Taiping dan mendapat bantuan kewangan dari kerajaan negeri.Cadangan tersebut mendapat persetujuan Menteri Besar dan kerajaan negeri memberi bantuan sebanyak $50 ribu sebagai permulaan. Manakala pada tahun 1963 sekali lagi bantuan diberikan sebanyak $420 ribu. Sebuah taman seluas 14.82 hektar yang terletak di kawasan Taman Bunga Taiping telah dipilih. Pembukaan Taman Mergastua Idris Shah, yang dirasmikan pada hari ini dalam tahun 1964 merupakan produk pelancongan dan dapat menambahkan lagi bilangan taman binatang di negara ini di samping menjadi tempat rekreasi bagi penduduk tempatan.



2. KEMANGKATAN SULTAN ZAINAL ABIDIN 1 [1933]

Pada hari ini , Sultan Zainal Abidin I, telah mangkat . Baginda adalah Sultan Terengganu yang pertama dilantik bagi negeri Terengganu; dari keturunan Bagindalah Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan Terengganu memerintah negeri Terengganu dan jajahannya hingga ke hari ini. Sesungguhnya Almarhum Baginda Sultan Zainal Abidin I adalah mempunyai darah keturunan Bendahara Melaka, Tun Perpateh Besar atau digelar juga Sri Wak Raja 1. Pada tahun 1717 Tun Zainal Abidin telah dianugerahkan gelaran Paduka Maharaja oleh kekanda Baginda, Sultan Abdul Jalil, Sultan Johor yang datang melawat Terengganu semasa baginda dalam perlindungan di Pahang dari serangan Raja Kecil Siak yang menakluki negeri Johor. Beberapa tahun kemudiannya, iaitu dalam tahun 1725, satu rombongan pembesar-pembesar Johor-Riau telah diperintahkan oleh Sultan Sulaiman untuk datang ke Terengganu untuk melantik Tun Zainal Abidin sebagai Sultan Terengganu. Tun Zainal Abidin kemudiannya dianugerahkan gelaran Sultan Zainal Abidin. Bagindalah Sultan Terengganu yang pertama, keturunan bagindalah yang memerintah negeri Terengganu hingga ke hari ini.

3. PENYATA RAZAK DILULUSKAN [1957]

Pada hari ini , Majlis Mesyuarat Perundangan Persekutuan, dengan sebulat suara meluluskan Penyata Razak. Penyata itu adalah bertujuan untuk mewujudkan suatu sistem pelajaran nasional bagi Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka yang dapat diterima oleh seluruh rakyat serta memenuhi kehendak mereka dan dapat menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial dan ekonomi ke arah satu bangsa dengan tujuan hendak menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara ini dan dalam pada itu memelihara pertumbuhan bahasa dan budaya orang-orang bukan Melayu yang diam di negara ini. Rang Undang-Undang ini diharap akan dapat menghapuskan semua sekatan yang menghalang perpaduan kaum di negara ini dan akan melahirkan satu bangsa yang baru dan bersatu. Ia juga akan membuka kesempatan yang lebih luas kepada anak-anak untuk mengasah dan melahirkan perpaduan antara kaum yang tulin di negara ini.

Gambar : Perasmian Taman Mergastua Sultan Idris
Rujukan : Arkib Negara Malaysia

- ZAH -

Komen Anda

Sertai Kami