4 Mac 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 04 MAC

1. PERJANJIAN PERAK-KEDAH  [1912]

Pada hari ini, satu perjanjian telah ditandatangani di antara Sultan Perak, Sultan Idris Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan Sultan Kedah, Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Perjanjian tersebut adalah mengenai sempadan antara Kedah-Perak iaitu di Daerah Baling dan Tasek dan pembinaan sebatang jalan raya dari Baling ke Padang Serai di Negeri Kedah.Antara persetujuan yang dicapai di dalam perjanjian tersebut ialah Sultan Perak bersetuju membina sebatang jalanraya kelas satu dari Baling hingga ke Kuala Ketil sepanjjang 22 batu. jalan yang akan dibina ini akan menyambungkan Klian Intan di Hulu Perak dengan Baling hingga ke Kuala Ketil.



2. RUSUHAN TERHADAP MAJLIS BANDRAN ( SANITARY BOARD KUALA LUMPUR )  [1897]

Pada hari ini , satu rusuhan telah berlaku terhadap Majlis Bandaran (Sanitary Board) Kuala Lumpur. Rusuhan yang berlaku ini adalah ekoran dari bantahan pekedai-pekedai Cina yang dipaksa menggunakan ’Li Teng’ atau ’dacing kecil’. Pekedai-pekedai tidak dibenarkan lagi menggunakan alat-alat timbang dan sukat yang digunakan sebelum itu. Sekumpulan perusuh telah berarak di jalanraya dan telah mengugut semua pekedai supaya menutup kedai mereka.  Notis-notis telah diedarkan kepada orang ramai di sekitar Kuala Lumpur supaya melakukan pemogokan menentang pengguna alat penimbang dan sukat yang baru. Jaminan perlindungan akan diberikan sekiranya sesuatu masalah yang timbul akibat pemogokan yang dilakukan. Selepas tiga hari berada keadaan huru-hara, akhirnya Kuala Lumpur menjadi tenang semula dengan adanya campurtangan dari Encik G.T Hare, peniaga-peniaga yang berpengaruh dan juga ketibaan satu kontingen askar-askar Sikh di Kuala Lumpur. Semua kedai telah dibuka semula dan pengangkutan awam juga beroperasi semula.

3. PARLIMEN KE 10 DIBUBARKAN  [2004]

Pada hari ini  , DYMM Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullai, telah berkenan membubarkan Parlimen ke 10, berkuatkuasa 4 March 2004, bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Negara ke 11, diadakan.Ini bermakna, pilihan raya umum akan diadakan di dalam tempoh 60 hari selepas Parlimen dibubarkan seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.Dalam pilihan raya umum ke 11, BN mencapai kejayaan paling gemilang dalam sejarah pilihan raya apabila memenangi 198 buah kerusi daripada 219 kerusi Parlimen dan pada masa yang sama menguasai 452 daripada 505 kerusi Dewan Undangan Negeri di seluruh negara serta Berjaya kembali menguasai Terengganu daripada Parti Islam Se Malaysia (PAS).

Gambar : Sultan Kedah dan Sultan Perak [1912]
Rujukan : Arkib Negara Malaysia

- ZAH -

Komen Anda

Sertai Kami