3 Februari 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 3 FEBRUARI

1. PENYERAHAN SAYAP PESAWAT GLEEN MARTIN KEPADA DUTA BELANDA  [1988]

Pada  hari  ini  ,   Panglima  Tentera  Udara  Diraja  Malaysia  (TUDM),  Leftenan   Jeneral  Datuk  Sri  Mohamad  Ngah  Said  telah  menyerahkan  sayap  pesawat  Gleen  Martin  kepada  Duta  Belanda  di  negara  ini,  Encik  F.H  Peters  bertempat  di  Hangar  TUDM,  Kuala  Lumpur.  Pesawat  Gleen  Martin  adalah  di antara  120  buah  pesawat  yang  telah  digunakan  oleh  Angkatan  Tentera  Udara  Hindia  Timur  Belanda  yang  berpengkalan  di  Kalimantan  dan  Jawa  ketika  Perang  Dunia  Kedua.  Pesawat  tersebut  telah  ditembak  jatuh  oleh  Tentera  Jepun  pada  18  Disember  1941  dan  sayapnya    telah  ditemui  oleh  beberapa  orang  pekerja  di hutan  tebal  Kuala  Tingar,  Baram,  Sarawak  pada  tahun  1986.  Pada  majlis tersebut,  Duta  Belanda  telah  menyatakan  bahawa  walaupun  hanya  sebahagian  kecil  daripada   pesawat  tersebut   yang  ditemui,  tetapi  ia   mempunyai  nilai  sejarah  dan  amat  bererti  kepada  Angkatan  Tentera  Belanda   kerana mengingatkan  generasi  muda  tentang  Perang  Dunia  Kedua.  Pada  majlis  yang  sama  beliau  merakamkan  penghargaan  di   atas  usaha  yang  telah  dilakukan  oleh  TUDM  untuk  mengeluarkan  sayap  pesawat  berkenaan.  Beliau  juga  menyatakan  harapan  agar  sumbangan  TUDM  tersebut  kepada  negara  Belanda  akan  meningkatkan  lagi  hubungan  di  antara  kerajaan,  rakyat   dan  terutamanya  di  antara  Tentera  Udara  kedua-dua  buah  negara.

2.MEMORANDUM PENUBUHAN MALAYSIA  [1962]

Pada hari ini , satu memorandum mengenai penubuhan Malaysia telah dipersetujui dan ditandatangani di Persidangan keempat dan terakhir Jawatankuasa Perundingan Setiakawan Malaysia, di Singapura. Memorandum yang mengandungi 44 perkara berkenaan dengan perlembagaan dan pentadbiran Persekutuan Malaysia yang dirancangkan itu disediakan untuk diserahkan kepada Suruhanjaya Cobbold sebagai asas perundingan Suruhanjaya itu kelak. Jawatankuasa Perundingan dan Setiakawan Malaysia yang menandatangani Memorandum itu terdiri daripada seorang Pengerusi dan wakil-wakil dari lima buah negeri yang dirancangkan untuk memasuki Persekutuan Malaysia.

Memorandum penubuhan Malaysia ditandatangani (1962)

3.MALAYSIA DAN FILIPINA MENJALIN IKATAN BARU  [1994]

Pada hari ini , Malaysia dan Filipina telah menjalinkan ikatan perhubungan baru bertujuan memperkukuhkan ikatan sedia ada yang terjejas disebabkan oleh beberapa masalah yang timbul. Dalam pertemuan yang diadakan antara Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Fidel Ramos di Istana Malacanang kedua-dua pihak telah bersetuju untuk memberi keutamaan kepada kemajuan dan kemakmuran ekonomi bagi faedah bersama.

4. PERASMIAN MUZIUM NEGERI KEDAH [1957

Pada hari ini , YAB Tan Sri Tunku Ismail bin Tunku Yahya (Tunku Indra Setia), Menteri Besar Kedah, telah merasmikan Muzium Negeri Kedah yang bertempat di tingkat bawah Balai Besar, Alor Setar. Muzium ini pada masa itu dikenali dengan nama Muzium Sejarah Negeri Kedah diketuai oleh YTM Tunku Nong bin Tunku Mohd Jiwa iaitu Yang DiPertua Persatuan Sejarah Kedah. Dalam tahun 1961, Muzium ini telah berpindah ke Bangunan sekarang terletak di Bakar Bata. Nama muzium ini telah diubah kepada nama Muzium Negeri Kedah. Sesungguhnya dengan perasmian Muzium Negeri Kedah pada hari ini dalam tahun 1957, banyak hasil-hasil khazanah negara yang tidak ternilai telah dapat dikumpul malah ia juga telah berjaya mempamerkan warisan kebudayaan negeri Kedah yang menjadi kebanggaan rakyatnya.


Rujukan : Arkib Negara Malaysia

- Nengrat Zahid -

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen Anda

Sertai Kami