11 Februari 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 11 FEBRUARI

1. PERJANJIAN BANTUAN KEWANGAN JERMAN KEPADA MALAYSIA DITANDATANGANI  [1971]

Pinjaman daripada negara-negara luar memainkan peranan yang penting bagi membangunkan negara ini. Usaha-usaha untuk mendapatkan pinjaman dijalankan dengan pelbagai negara.  Pada 11 Februari 1971, satu perjanjian bantuan kewangan telah ditandatangani di Kuala Lumpur. Pinjaman sebanyak RM4.1 juta ini bertujuan memajukan syarikat-syarikat kecil dan sederhana yang mengalami masalah kekurangan modal bagi memajukan perniagaan yang dijalankan oleh Syarikat Industri IKS tersebut.Pinjaman ini merupakan kali keempat yang diberikan oleh pihak Jerman kepada Malaysia. Pinjaman sebelumnya berjumlah RM41 juta telah diberikan oleh pihak Republik Jerman kepada Malaysia. Dengan adanya persefahaman serta saling membantu antara kedua-dua negara, segala bantuan daripada pihak Jerman kepada Malaysia dapat berjalan dengan lancar.

2. MALAYSIA-YAMAN MENANDATANGANI PERJANJIAN DAN MEMORANDUM PERSEFAHAMAN  [1998]

Pada hari ini , Presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh dan rombongannya  telah  tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz untuk melakukan lawatan rasmi selama empat hari ke Malaysia bagi membincangkan peluang perdagangan dua hala.Dalam perbincangan  tersebut  Malaysia dan Yaman telah menandatangani tiga perjanjian kerjasama dan satu memorandum persefahaman bagi mempertingkatkan kegiatan ekonomi kedua-dua negara secara lebih berkesan dan kedua-dua pemimpin negara yang menganggotai Pertubuhan Persidangan Negara-Negara Islam  juga bersetuju meningkatkan kerjasama dalam forum antarabangsa dan pada masa yang sama juga turut membincangkan perkembangan di Timur Tengah terutama pergolakan politik semasa.

ALI Abdullah Saleh (kiri) bersama Tuanku Ja'afar dan Dr. Mahathir Mohamad berjalan bersama selepas majlis sambutan rasmi di Dataran Parlimen, Kuala Lumpur

3. TAMAN TEMPLER DIWARTAKAN OLEH KERAJAAN NEGERI SELANGOR [1955]

Pada hari ini  , Taman Templer , yang telah dibuka pada bulan Mei 1954 oleh Sir Gerald Templer telah diisytihar oleh Kerajaan Negeri Selangor terletak di bawah Warta Kerajaan No. 104,  Kawalan dan Pemeliharaan Alam Semulajadi.  Sehubungan dengan itu satu jawatankuasa yang terdiri daripada pegawa-pegawai Jabatan Pertanian dan Perhutanan telah ditubuhkan.  Usaha mewartakan taman ini oleh kerajaan Selangor telah menunjukkan keperihatinan negara terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan alam semulajadi negara telah bermula sejak sebelum kemerdekaan lagi. Kini setelah 50 tahun, negara mencapai kemerdekaan usaha-usaha mengekalkan alam sekitar ini diteruskan demi kesejahteraan sejagat.

Gambar :  Presiden Yaman (1998)
Rujukan : Arkib Negara Malaysia

- ZAH -

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen Anda

Sertai Kami