1. WANG KERTAS RM5 BARU DIEDAR [1995]
Pada hari ini , Bank Negara Malaysia mula mengedarkan wang kertas RM5 yang ditandatangani oleh Gabenor keempatnya, Ahmad Mohd Don. Wang kertas baru ini dicetak oleh Thomas De La Rue & Company Ltd (TDLR). Orang ramai boleh mendapatkannya dengan membuat pertukaran wang lama mereka di Bank Negara Malaysia atau bank-bank perdagangan. Pengeluaran wang kertas ini merupakan kali yang kelima dilakukan berikutan pertukaran Gabenor Bank Negara iaitu bermula daripada Tan Sri WH Wilcock, Tun Ismail Ali, Tan Sri Aziz Taha dan Tan Sri Jaffar Hussein. Pengeluaran wang kertas RM5 ini adalah berujuan untuk menggantikan wang kertas lama dan bagi mengurangkan masalah wang syiling RM1 yang dikatakan berat oleh orang ramai.
2.PERJANJIAN SEMPADAN SELANGOR- SUNGAI UJUNG [1878]
Pada hari ini , satu perjanjian mengenai sempadan negeri Selangor dan Sungai Ujung dibuat di antara Sultan Abdul Samad Yang Dipertuan Negeri Selangor dengan Dato' Kelana Sungai Ujung, Tengku Saiyid Abdul Rahman.Dengan perjanjian ini pihak kerajaan Inggeris yang telah mencampuri urusan pemerintahan di Sungai Ujung itu dapat pula masuk campur dalam hal ehwal Lukut. Bagaimanapun, perjanjian itu telah dibantah oleh Raja Bot yang memerintah Lukut kerana beliau tidak diajak berunding mahupun diminta pendapatnya dalam rundingan mengenai perjanjian itu. Raja Bot membantah keras mengenai keputusan memasukkan Lukut dalam perintah Sungai Ujung kerana daerah itu adalah kepunyaan ayahandanya, Raja Jumaat. Mengikut persetujuan itu Raja Bot dan keluarganya menerima wang sejumlah 27 ribu ringgit. Semenjak itu tamatlah pemerintahan Raja Bot dan ayahandanya Raja Jumaat yang menguasai Lukut selama 32 tahun.
3. KEMANGKATAN SULTAN KELANTAN TUAN LONG MANSUR [1900]
Pada hari ini , Tuan Long Mansur iaitu Sultan Kelantan telah mangkat. Sultan Mansur telah memerintah Kelantan bermula dari tahun 1891-1900. Sultan Mansur berjaya menaiki takhta Kelantan berikutan dari kemangkatan Sultan Mahmud Ketiga sekali lagi menimbulkan suasana tegang di Kelantan kerana akibat dari perebutan kuasa antara beberapa puak. Dalam perebutan itu, Tuan Mansur telah berjaya menaiki takhta kerajaan dengan persetujuan Kerabat-Kerabat Diraja.
4. DR. MUHAMMAD UTHMAN EL-MUHAMMADDY TOKOH MAAL HIJRAH 1426
[2005]
Pada hari ini , Fellow Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady telah diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1426 Peringkat Kebangsaan. Anugerah tersebut disampaikan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.
Gambar : Wang kertas RM5 (1995)
Rujukan : Arkib Negara Malaysia
- ZAH -
Tiada ulasan:
Catat Ulasan