1. SURUHANJAYA COBBOLD MEMULAKAN TUGAS DI KUCHING [1962]
Pada hari ini , Suruhanjaya Cobbold telah memulakan tugasnya untuk meninjau pendapat dan reaksi rakyat Sabah dan Sarawak terhadap gagasan Malaysia di Kuching. Pembentukan suruhanjaya ini adalah hasil daripada rundingan yang telah diadakan antara Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan kerajaan British dalam bulan November 1961. Tinjauan yang bermula pada bulan Februari dan tamat pada pertengahan bulan April 1962, telah berjumpa dengan lebih 4000 orang dan menerima 2200 memorandum dan surat yang dikemukakan. Laporan Suruhanjaya Cobbold telah dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan British pada bulan Jun 1962. Akhirnya pembentukan Malaysia telah berlangsung pada 16 September 1963. Ianya secara tidak langsung telah memberi kemerdekaan kepada Sabah dan Sarawak daripada belenggu penjajahan British.
2. MALAYSIA & HUNGARY TANDATANGANI TIGA PERJANJIAN [1993]
Pada hari ini, Malaysia telah menandatangani satu perjanjian dengan pihak Hungary meliputi bidang ekonomi dan perdagangan. Perjanjian ini dicapai semasa rundingan antara Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Hungary Dr Arpad Goncz diadakan di Jabatan Perdana Menteri. Antara kemudahan lain yang ditawarkan kepada Malaysia dalam pertemuan ini selain bidang ekonomi dan perdagangan, Hungary turut menawarkan tempat belajar kepada para pelajar Malaysia dalam bidang Sains dan Teknologi dan juga khidmat nasihat serta bantuan kepakaran kepada Malaysia khususnya dalam bidang pengangkutan awam.
3. MESYUARAT PERTAMA MENTERI-MENTERI BESAR SEMBILAN BUAH NEGERI MELAYU [1948]
Pada hari ini , Mesyuarat Pertama Menteri-menteri Besar sembilan buah negeri Melayu diadakan di Dewan Majlis Negeri Selangor. Sesungguhnya dengan bermulanya mesyuarat ini, pada hari ini dalam tahun 1948, pentadbiran setiap negeri telah dapat diselaraskan malah Menteri Besar kerajaan-kerajaan negeri dapat berbincang dan seterusnya memberi pandangan demi untuk memajukan negeri masing-masing.
Gambar : Ahli Suruhanjaya Cobbold (1962)
Rujukan : Arkib Negara Malaysia
- ZAH -
Tiada ulasan:
Catat Ulasan