1. PERHIMPUNAN PATRIOTIMSE ALAF BARU [2001]
Pada hari ini , Perdana Menteri YAB Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad merasmikan Perhimpunan Patriotisme Alaf Baru bertempat di Stadium Melawati, Shah Alam, Selangor. Perhimpunan yang mengumpulkan kira-kira 15,000 belia serta pelajar dari seluruh negara ini merupakan yang terbesar pernah dianjurkan oleh Majlis Belia Malaysia (MBM). Upacara gemilang itu turut menempa nama dalam sejarah negara serta tercatat dalam Malaysia Book of Record dengan pembabitan seramai 2,020 peserta koir yang menyanyikan lagu Negaraku, Keranamu Malaysia dan Belia Malaysia.
2. JOHOR-BATAM SETUJU TUBUH JAWATANKUASA BERSAMA (SEGITIGA EMAS) [1991]
Kerjasama di bidang ekonomi dengan negara-negara yang berjiran boleh mendatangkan faedah kepada kedua-dua pihak. Bagi kerajaan negeri Johor usaha-usaha di bidang ini sentiasa diutamakan. Salah satu daripadanya ialah dengan pihak Batam, Indonesia. Pada hari ini , Johor dan Batam telah bersetuju pada dasarnya untuk menubuhkan Jawatankuasa Ekonomi bersama bagi memperkukuhkan kerjasamanya dalam rangka kerjasama segitiga emas. Persetujuan itu dibuat semasa kunjungan enam Menteri Indonesia ke Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor (PKENJ).Pertemuan dan perbincangan yang diadakan pada hari ini menunjukkan betapa kerajaan Indonesia amat berminat sekali dengan konsep kerjasama tiga wilayah berkenaan. Juga diharap dengan adanya kerjasama dalam bidang berkenaan akan dapat mengeratkan lagi hubungan antara rakyat ketiga-tiga negara.
3. PERSIDANGAN PERTAMA RAJA-RAJA MELAYU [1948]
Pada hari ini , satu persidangan Raja-raja Persekutuan Tanah Melayu telah diadakan di Dewan Majlis Perundangan Persekutuan, Kuala Lumpur. Persidangan ini merupakan satu perisitwa bersejarah kerana buat pertama kalinya selepas perjanjian Persekutuan dan Negeri-negeri ditandatangani kesemua Raja-raja Melayu telah duduk bersama di meja rundingan. Persidangan ini telah dirasmikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Abu Bakar yang juga telah dilantik sebagai pengerusi.Persidangan ini telah diadakan bagi memenuhi ketetapan di dalam Perlembagaan 1948 yang menetapkan Raja-raja Melayu untuk bersidang sekali dalam tempoh tiga tahun. Bersempena dengan persidangan yang ulung kali diadakan ini Raja-raja Melayu, telah berikrar untuk bersatu memimpin negara demi menjamin kesejahteraan dan kemajuan Persekutuan Tanah Melayu.
Gambar : Logo The Patriots (2013)
Rujukan : Arkib Negara Malaysia
- ZAH -
Tiada ulasan:
Catat Ulasan