Pada hari ini dalam tahun 1977, satu gerakan bersama di bidang ketenteraan di antara negara Malaysia dan Thai yang dinamakan Gerakan Daoyai – Musnah 1 telah berakhir. Pengunduran Angkatan Tentera Malaysia dari kawasan sempadan bersama pada hari yang sama telah berjalan lancar dengan semangat keperwiraan. Kepulangan anggota tentera telah disambut dan dialu-alukan oleh Menteri Dalam Negeri Tan Sri Ghazali Shafie di Kem 7 Renjer Malaysia di Sungai Petani, Kedah. Gerakan bersama ini dilancarkan adalah bertujuan untuk membenteras kegiatan pengganas komunis yang bebas bergerak terutama di kawasan Khao Rup Chang iaitu di Barat Sadao. Adalah dianggarkan terdapat seramai 200 hingga 300 orang pengganas menduduki kawasan ini. Pelancaran gerakan ini telah mula dilaksanakan pada 14hb Januari tahun yang sama dan terdapat kira-kira 4,500 orang tentera Malaysia dan Thai telibat menjayakannya.
2. PERLOMBONGAN BIJIH TIMAH DI DASAR LAUT
Pada hari ini dalam tahun 1968, satu detik baru dalam sejarah perlombongan bijih timah dicatat apabila satu usaha untuk mengeluarkan bijih timah dari perut laut telah dipersetujui. Hasil dari rundingan terakhir yang di adakan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor pada hari ini dalam tahun tersebut, Syarikat Conzic Rio Tinto telah dipersetujui untuk ditawarkan lesen melombong di dasar laut.Lesen yang diberikan ini membolehkan mereka mencari bijih dari perut laut hingga 19.3 kilometer dari pantai Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Kawasan laut tepi pantai yang boleh di carigali ialah seluas lebih kurang 650 meter persegi. Perbelanjaan untuk mencari bijih dalam jangkamasa dua tahun dianggarkan menelan sebanyak $1 hingga $2 juta ringgit.
3. PERJANJIAN BARU SEMPADAN MALAYSIA-THAI
Pada hari ini dalam tahun 1977, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Tan Sri Sri Ghazali Shafie mengumumkan satu perjanjian baru sempadan akan ditandatangani di antara Malaysia - Thailand apabila Perdana Menteri Datuk Hussein Onn mengadakan lawatan ke Thailand bulan Mac depan. Perjanjian baru ini digerakkan hasil rundingan antara Menteri Luar Malaysia Tengku Ahmad Rithauddin dengan Menteri Luar Thai Dr. Upadit Pachariyankun di Wisma Putra, Kuala Lumpur. Perjanjian baru ini hampir sama dengan perjanjian lama, perubahan yang dilakukan bertujuan mempastikan keselamatan sempadan lebih terjamin dan usaha menghapuskan komunis di sempadan antara kedua-dua negara dapat dijalankan secara lebih berkesan.
Pengumuman Perjanjian Baru Kerjasama Sempadan Thailand - Malaysia (1970)
Pada hari ini dalam tahun 1969, DYMM Tuanku Nasirruddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Zainal Abidin berkenan mengurniakan surat tauliah perlantikan kepada Tun Syed Sheh bin Syed Hassan Barakbah sebagai Gabenor Pulau Pinang. Perlantikan itu bagi menggantikan Tun Syed Sheh bin Syed Abdullah Shahbuddin yang meninggal dunia pada 31 Januari 1969. Selain itu, upacara mengangkat sumpah juga turut diadakan di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. Sebelum dilantik sebagai Gabenor Pulau Pinang, Tun Syed Shah pernah berkhidmat sebagai Ketua Hakim Negara.
Rujukan : Arkib Negara Malaysia
- Nengrat Zahid -
Tiada ulasan:
Catat Ulasan