31 Januari 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 31 JANUARI



1. JEPUN MENAKLUKI TANAH MELAYU [1942]

Pada hari ini , tentera Jepun telah menakluki seluruh Tanah Melayu apabila mereka berjaya menawan Johor Bahru. Kemenangan Jepun ini dicapai dalam masa sebulan lebih iaitu mulai 8 Disember apabila mereka mendarat di Kota Bharu. Kejatuhan Tanah Melayu yang begitu mudah adalah akibat salah perhitungan pihak British terhadap kekuatan tentera Jepun. Sebaliknya tentera-tentera Jepun telah dilatih khas untuk berperang di negeri-negeri tropika. Mereka dilatih di Taiwan dan Selatan Indo-China dan diajar cara-cara menghadapi malaria dan menggunakan apa juga kenderaan terutamanya basikal untuk memudahkan gerakan serangan mereka.

Britain menganggap kekuatan tentera lautnya di Lautan China Selatan boleh mematahkan serang tentera Jepun. Tetapi dengan tenggelamnya kapal-kapal Prince of Wales dan Repulse oleh serangan tentera udara Jepun di Laut China Selatan pada 10 Disember 1941, pertahanan tentera British di barisan hadapan telah menjadi lumpuh. Kemaraan tentera Jepun tidak dapat dihalang walaupun mereka hanya mempunyai 60 ribu orang tentera berbanding dengan 130 ribu dan duakali ganda bekalan peluru di pihak British. Dengan menggunakan kekuatan angkatan udaranya dan menyelaraskan bahagian-bahagian yang lainnya dalam satu serangan yang padu, mereka telah berjaya menakluki Tanah Melayu. Lt. General Percival, Pemerintah Tentera bagi Tanah Melayu tiada pilihan lain dan terpaksa menyerah diri kepada Lt. General Yamashita, Pemerintah Angkatan Tentera Ke-25 Jepun, pada 15 Februari 1942 di kilang Kereta Ford, Jalan Bukit Timah, Singapura. 



Jepun mendarat di Kota bharu Kelantan (1941)

2. PEMBUKAAN MAKTAB PERGURUAN PEREMPUAN MELAYU MELAKA [1935]

Pada hari ini , Maktab Perguruan Melayu Melaka telah dibuka khas untuk melatih guru-guru perempuan saja. Pada mulanya maktab ini hanyalah terdiri dari bangunan rumah sakit yang telah dikosongkan tapi telah disesuaikan untuk kegunaan sebagai sebuah maktab. Pada akhir tahun 1939, sebuah sekolah perempuan di Ujong Pasir telah diambil alih oleh maktab dan dijadikan sebagai sekolah latihan. Pada peringkat awal seramai 24 orang penuntut telah dipilih masuk tiap-tiap tahun untuk mengikuti kursus perguruan selama dua tahun. Tiap-tiap seorang penuntut maktab itu pula akan diberi wang sebanyak RM 3.00 sebulan.Mulai dari 1973 maktab ini telah menyediakan pelatih-pelatih untuk mengajar di sekolah menengah dan sekolah rendah. Ini kerana sebelum itu dari tahun 1935 hingga 1972, maktab ini hanya mengeluarkan guru-guru terlatih untuk sekolah rendah Melayu saja.

3. PENGUMUMAN RANCANGAN PEMBINAAN SEKOLAH-SEKOLAH MELAYU [1961]

Pada hari ini , Pegawai Pelajaran Bandaran Dr. F.J.A. Rawaliffe mengumumkan rancangan pembinaan sekolah-sekolah Melayu Kuala Lumpur. Pengumuman rancangan ini adalah yang terbesar sejak negara mencapai kemerdekaan. Projek-projek yang dicadangkan ini dianggarkan menelan belanja $398,000 dan dapat menampung 3420 orang pelajar. Dengan adanya kemudahan ini akan dapat membantu pelajar-pelajar Melayu mendapat pendidikan yang lebih baik dan sistematik.

4. PERSIDANGAN PERTAMA MUKTAMAR ISLAM ASIA TENGGARA DAN TIMUR JAUH [1964]

Pada hari ini, Persidangan pertama Muktamar Islam Asia Tenggara dan Timur Jauh diadakan di Kuala Lumpur. Persidangan ini telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra AI-Haj. Persidangan yang dianjurkan oleh Muktamar Islam sedunia ini dihadiri oleh kira-kira 100 orang peserta dari dua belas negara. Negara-negara tersebut ialah New Zealand, Filipina, Taiwan, Kemboja, Vietnam Selatan, Ceylon, Pulau Maldive, Fiji, Thailand, Brunei, Singapura dan Malaysia. Sebagai ekoran dari persidangan ini Pertubuhan Kebajikan Islam (PERKIM) telah ditubuhkan dengan tujuan memperkembangkan agama Islam di negara ini. Di peringkat antarabangsa pula Pertubuhan Islam Serantau Asia Tenggara dan Pasifik telah ditubuhkan dengan tujuan menjaga kepentingan dan kebajikan umat Islam serantau.


Rujukan : Arkib Negara Malaysia

- Nengrat Zahid -

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen Anda

Sertai Kami