30 Januari 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 30 JANUARI

Pelancara Pertama Minggu Bahasa Kebangsaan (1960)

1. PERJANJIAN TEMENGGONG ABDUL RAHMAN -STAMFORD RAFFLES MENGENAI SINGAPURA [1989]

Pada hari ini , satu perjanjian ditandatangani di antara Dato' Temenggong Sri Maharaja Abdul Rahman, pemerintah Singapura bagi pihak dirinya dan bagi pihak Sri Sultan Husin Mohamad Shah, Raja bagi negeri Johor dan Sir Thomas Stamford Raffles, Lt. Gabenor Bangkahulu (Bencoolen) dan jajahan takluknya bagi pihak Gabenor Jeneral Benggala.Perjanjian antara Temenggong Sri Maharaja dan Stamford adalah merupakan persetujuan sementara dalam usaha Inggeris untuk menguasai Singapura kerana sesungguhnya Temenggong tidak berhak menandatangani perjanjian tersebut. Hak dan kuasa itu terletak di tangan Sultan yang memerintah di Lingga.

Pada Februari 1819, Tengku Long atau Tengku Hussein, waris yang sah kepada takhta Kerajaan Johor tetapi diketepikan, tiba di Singapura. Walaupun beliau tidak percayakan Inggeris tetapi oleh kerana bimbangkan kuasa Belanda dan Bugis dan dengan sokongan Temenggong Sri Maharaja, beliau telah menandatangani satu perjanjian perikatan dan persahabatan dengan Sir Stamford Raffles. Dalam perjanjian itu beliau telah diakui dan diiktiraf oleh kerajaan Inggeris di India sebagai Sultan bagi kerajaan Johor - Singapura, bergelar Sultan Hussein Muhamad Shah. Dengan perjanjian itu maka perjanjian awal yang ditandatangani pada hari ini dalam tahun 1819 di antara Dato' Temenggong Sri Maharaja dan Sir Stamford Raffles dengan sendirinya menjadi sah dan bermulalah sejarah penguasaan Inggeris ke atas Singapura.

2. PELANCARAN DAN PERASMIAN ISLAM HADHARI PENGURUSAN NEGARA ISLAM [2004]

Pada hari ini , YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi telah melancarkan program Islam Hadhari (Pengurusan Negara Islam) peringkat kebangsaan di Dewan Kompleks Belia dan Kebudayaam Raja Musa, Shah Alam.Islam Hadhari memberi penekanan kepada aspek pembangunan yang menjurus kepada pembinaan peradaban yang dicanai dengan pegangan Islam dan memberi fokus kepada usaha mempertingkatkan mutu kehidupan melalui penguasaan ilmu, pembangunan insane, sesungguhnya program Islam Hadhari yang telah diadakan telah banyak membantu memperjelaskan kekeliruan banyak pihak mengenai maksud Islam dalam pembangunan di negara ini.


3.MARDI BERJAYA HASILKAN JUS DARIPADA BUNGA RAYA [1992]

Pada hari ini , Menteri Pertanian, Dato' Sri Sanusi Junid, mengumumkan di Kuala Lumpur pihak Institut Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI) telah berjaya menghasilkan jus dari bunga kebangsaan iaitu Bunga Raya. Jus yang dihasilkan daripada bunga raya ini juga telah mendapat kelulusan Agensi Pentadbiran Makanan dan Racun Amerika Syaraikat (FDA). MARDI yang terlibat dalam melaksanakan kajian ini telah mengambil masa selama lapan bulan untuk menjalankan penyelidikan untuk menghasilkan jus ini. Bunga Raya, selain daripada dibuat jus, hampas daripada jus bunga raya ini yang telah diperah boleh dijadikan halwa yang diminati oleh wanita-wanita hamil.

4. PELANCARAN MINGGU BAHASA KEBANGSAAN YANG PERTAMA [1960]

Pada hari ini , Minggu Bahasa Kebangsaan dilancarkan buat pertama kalinya di seluruh negara dan telah berlangsung sehingga 6 Februari 1960. ntara tujuan Minggu Bahasa Kebangsaan ialah untuk menggalakkan seluruh rakyat menggunakan Bahasa Kebangsaan dalam kehidupan harian. Pelancaran ini juga dapat memperlihatkan kepada masyarakat dunia bahawa bahasa kebangsaan kita adalah bahasa yang mudah difahami oleh pelbagai lapisan masyarakat dan keturunan di negara ini.Usaha ini telah menggalakkan penggunaan serta meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan rakyat di negara ini.


Rujukan : Arkib Negara Malaysia

- Nengrat Zahid -

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen Anda

Sertai Kami