5 Mac 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 05 MAC

1. MALAYSIA MENARIK DIRI DARI KUMPULAN 8 NEGARA KOMANWEL  [1971]

Pada hari ini  , Malaysia telah menarik diri dari menjadi anggota Kumpulan Badan Pengkaji 8 Negara Komanwel. Pengumuman ini dibuat oleh Kementerian Luar Negeri sebagai bantahan terhadap pengumuman Britain hendak membekalkan helikopter jenis Wasp kepada negara Afrika Selatan tanpa menunggu laporan dari kumpulan negara yang membuat kajian.Malaysia telah pun menjelaskan sikapnya bahawa sebarang keputusan Britain untuk menjual senjatanya kepada Afrika Selatan sebelum kumpulan itu selesai menjalankan tugasnya akan menjejaskan kerja-kerja kumpulan itu. Malaysia merupakan negara ketiga dari lapan buah negara anggota kumpulan yang menarik diri berikutan keputusan Britain itu. Manakala dua buah negara terdahulu ialah Nigeria dan India. Dengan penarikan Malaysia dari menjadi anggota kumpulan lapan Negara Komanwel pada hari ini dalam tahun 1971 hanya tinggal lagi lima buah negara yang mengekalkan keanggotaannya iaitu Australia, Britain, Kenya, Kanada dan Jamaica.



2. PELANCARAN PROJEK LEMBAGA KEMAJUAN KELANTAN SELATAN  [1978]

Pada hari ini ,  Perdana Menteri Datuk Hussein Onn telah melancarkan Projek Lembaga Kemajuan Kelantan  Selatan.  Upacara pelancaran ini telah di adakan di Batu Gajah iaitu kira-kira 19.2 km (12 batu) dari Tanah Merah.  Projek ini merupakan rancangan pembukaan tanah secara besar-besaran yang keempat dilaksanakan oleh kerajaan di samping tiga lagi projek iaitu Projek Pahang Tenggara, Johor Tenggara dan Terengganu Tengah.Dalam ucapannya di upacara pelancaran projek Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan ini, Dato’ Hussein Onn menyatakan bahawa lebih $400 juta akan dibelanjakan bagi membina jalanraya-jalanraya dan $21 juta bagi mengadakan bekalan air di kawasan itu.

3. PERSIDANGAN ECAFE YANG PERTAMA DIADAKAN DI KUALA LUMPUR  [1958]

Pada hari ini , persidangan Suruhanjaya Ekonomi Asia dan Timur Jauh (ECAFE) yang pertama  diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Persidangan ini  dirasmikan oleh Tunku Abdul Rahman Putra.Persidangan yang besar ertinya kepada negara ini juga telah menyeru kepada semua negara kaya supaya mengurangkan perbelanjaan dan memperlengkapkan senjata masing-masing tetapi sebaliknya perbelanjaan yang sedemikian hendaklah digunakan ke arah membantu negara-negara yang miskin dalam meninggikan taraf hidup-rakyatnya.

Gambar : Negara Komonwel yang pernah menjadi tuan rumah sukan Komanwel
Rujukan : Arkib Negara Malaysia

- ZAH -

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen Anda

Sertai Kami