7 Mac 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 07 MAC

1. PERASMIAN TAMAN MERGASTUA TAIPING, PERAK [1964]

Pada hari ini , Taman Mergastua Idris Shah, Taiping, dirasmikan oleh DYMM Sultan Perak, Paduka Seri Sultan Idris Shah iaitu mengambil sempena dengan nama Baginda. Taman tersebut ditadbirkan oleh Lembaga Pengurus Kerajaan Tempatan Taiping dan mendapat bantuan kewangan dari kerajaan negeri.Cadangan tersebut mendapat persetujuan Menteri Besar dan kerajaan negeri memberi bantuan sebanyak $50 ribu sebagai permulaan. Manakala pada tahun 1963 sekali lagi bantuan diberikan sebanyak $420 ribu. Sebuah taman seluas 14.82 hektar yang terletak di kawasan Taman Bunga Taiping telah dipilih. Pembukaan Taman Mergastua Idris Shah, yang dirasmikan pada hari ini dalam tahun 1964 merupakan produk pelancongan dan dapat menambahkan lagi bilangan taman binatang di negara ini di samping menjadi tempat rekreasi bagi penduduk tempatan.



2. KEMANGKATAN SULTAN ZAINAL ABIDIN 1 [1933]

Pada hari ini , Sultan Zainal Abidin I, telah mangkat . Baginda adalah Sultan Terengganu yang pertama dilantik bagi negeri Terengganu; dari keturunan Bagindalah Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan Terengganu memerintah negeri Terengganu dan jajahannya hingga ke hari ini. Sesungguhnya Almarhum Baginda Sultan Zainal Abidin I adalah mempunyai darah keturunan Bendahara Melaka, Tun Perpateh Besar atau digelar juga Sri Wak Raja 1. Pada tahun 1717 Tun Zainal Abidin telah dianugerahkan gelaran Paduka Maharaja oleh kekanda Baginda, Sultan Abdul Jalil, Sultan Johor yang datang melawat Terengganu semasa baginda dalam perlindungan di Pahang dari serangan Raja Kecil Siak yang menakluki negeri Johor. Beberapa tahun kemudiannya, iaitu dalam tahun 1725, satu rombongan pembesar-pembesar Johor-Riau telah diperintahkan oleh Sultan Sulaiman untuk datang ke Terengganu untuk melantik Tun Zainal Abidin sebagai Sultan Terengganu. Tun Zainal Abidin kemudiannya dianugerahkan gelaran Sultan Zainal Abidin. Bagindalah Sultan Terengganu yang pertama, keturunan bagindalah yang memerintah negeri Terengganu hingga ke hari ini.

3. PENYATA RAZAK DILULUSKAN [1957]

Pada hari ini , Majlis Mesyuarat Perundangan Persekutuan, dengan sebulat suara meluluskan Penyata Razak. Penyata itu adalah bertujuan untuk mewujudkan suatu sistem pelajaran nasional bagi Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka yang dapat diterima oleh seluruh rakyat serta memenuhi kehendak mereka dan dapat menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial dan ekonomi ke arah satu bangsa dengan tujuan hendak menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara ini dan dalam pada itu memelihara pertumbuhan bahasa dan budaya orang-orang bukan Melayu yang diam di negara ini. Rang Undang-Undang ini diharap akan dapat menghapuskan semua sekatan yang menghalang perpaduan kaum di negara ini dan akan melahirkan satu bangsa yang baru dan bersatu. Ia juga akan membuka kesempatan yang lebih luas kepada anak-anak untuk mengasah dan melahirkan perpaduan antara kaum yang tulin di negara ini.

Gambar : Perasmian Taman Mergastua Sultan Idris
Rujukan : Arkib Negara Malaysia

- ZAH -

6 Mac 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 06 MAC

1. CADANGAN NAMA BANDAR JESSELTON DITUKAR KEPADA KOTA KINABALU [1966]

Pada hari ini , Tun Mustapha bin Datu Harun, Pengerusi Perikatan Sabah dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) telah mencadangkan nama Jesselton ditukarkan kepada Kota Kinabalu. Cadangan ini dibuat semasa beliau berucap di satu Perhimpunan rakyat di Tambunan, Sabah. Nama Kota Kinabalu dipilih adalah bagi menghormati kaum Dusun kerana kaum inilah yang paling ramai tinggal berdekatan gunung itu. Di dalam ucapannya, Tun Mustapha telah menyatakan bahawa nama Kota Kinabalu disyorkan supaya ia tidak tersilap dengan Gunung Kinabalu, iaitu gunung yang tertinggi di Asia Tenggara.Di samping itu, Tun Mustapha turut mengesyorkan supaya tiap-tiap negeri di Malaysia menamakan jalan raya dengan nama negeri-negeri lain di Malaysia. Beliau juga mengesyorkan supaya sebatang jalan raya di ibu kota Kuala Lumpur diberi nama Jalan Kinabalu. Usaha ini akan mempereratkan lagi persefahaman di kalangan rakyat di negara ini.

2. PORT DICKSON - REMBAU DIISYTIHARKAN KAWASAN PUTIH YANG PERTAMA DI NEGERI SEMBILAN [1954]

Pada hari ini , kawasan-kawasan pentadbiran Port Dickson dan Rembau diisytiharkan sebagai 'Kawasan Putih' oleh DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Perisytiharan itu melibatkan kawasan seluas 205 batu persegi. Dengan perisytiharan itu seramai 41,000 orang lagi penduduk Persekutuan telah bebas dari sekatan undang-undang darurat menjadikan jumlah mereka seramai 712,000 orang. Port Dickson dan Rembau ialah kawasan yang pertama di Negeri Sembilan dan yang kelima di Persekutuan menjadi 'kawasan putih'. Dengan perisytiharan ini penduduk-penduduk di kawasan itu dapat hidup semula seperti penduduk-penduduk di kawasan lain kerana sekatan-sekatan ke atas barang-barang makanan, bekalan-bekalan penting dan perintah berkurung telah dihapuskan. Perisytiharan kedua-dua kawasan ini sebagai 'kawasan putih' pada hari ini dalam tahun 1954 membuktikan taat setia rakyat terhadap undang-undang dan kerjasama mereka kepada pihak berkuasa untuk menamatkan darurat secepat mungkin.




3. PELANCARAN PERODUA RUSA [1996]

Pada hari ini , Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad telah melancarkan Kenderaan Serbaguna (MUV) Malaysia yang pertama, Perodua Rusa bertempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Hadir sama dalam majlis pelancaran tersebut ialah YM Raja Tun Mohar bin Raja Badiozaman, Pengerusi Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd.Tahun 1995, merupakan tahun pertama Perodua beroperasi sepenuhnya sepanjang tahun melalui pengeluaran dan penjualan Perodua Kancil, Perodua telah berjaya meluaskan asas pasaran kenderaan dan seterusnya menguasai 17.7 % pasaran dan menjadikannya kedua terbesar selepas Proton. Perodua Rusa telah dilancarkan dalam jangka masa hanya 18 bulan selepas pelancaran Perodua Kancil dan mencerminkan komitmen Perodua dalam memperkukuhkan industri automobil negara.

Gambar : Port Dickson-Rembau diisytihar Kawasan Putih pertama di Negeri Sembilan
Rujukan : Arkib Negara Malaysia

- ZAH -

5 Mac 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 05 MAC

1. MALAYSIA MENARIK DIRI DARI KUMPULAN 8 NEGARA KOMANWEL  [1971]

Pada hari ini  , Malaysia telah menarik diri dari menjadi anggota Kumpulan Badan Pengkaji 8 Negara Komanwel. Pengumuman ini dibuat oleh Kementerian Luar Negeri sebagai bantahan terhadap pengumuman Britain hendak membekalkan helikopter jenis Wasp kepada negara Afrika Selatan tanpa menunggu laporan dari kumpulan negara yang membuat kajian.Malaysia telah pun menjelaskan sikapnya bahawa sebarang keputusan Britain untuk menjual senjatanya kepada Afrika Selatan sebelum kumpulan itu selesai menjalankan tugasnya akan menjejaskan kerja-kerja kumpulan itu. Malaysia merupakan negara ketiga dari lapan buah negara anggota kumpulan yang menarik diri berikutan keputusan Britain itu. Manakala dua buah negara terdahulu ialah Nigeria dan India. Dengan penarikan Malaysia dari menjadi anggota kumpulan lapan Negara Komanwel pada hari ini dalam tahun 1971 hanya tinggal lagi lima buah negara yang mengekalkan keanggotaannya iaitu Australia, Britain, Kenya, Kanada dan Jamaica.



2. PELANCARAN PROJEK LEMBAGA KEMAJUAN KELANTAN SELATAN  [1978]

Pada hari ini ,  Perdana Menteri Datuk Hussein Onn telah melancarkan Projek Lembaga Kemajuan Kelantan  Selatan.  Upacara pelancaran ini telah di adakan di Batu Gajah iaitu kira-kira 19.2 km (12 batu) dari Tanah Merah.  Projek ini merupakan rancangan pembukaan tanah secara besar-besaran yang keempat dilaksanakan oleh kerajaan di samping tiga lagi projek iaitu Projek Pahang Tenggara, Johor Tenggara dan Terengganu Tengah.Dalam ucapannya di upacara pelancaran projek Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan ini, Dato’ Hussein Onn menyatakan bahawa lebih $400 juta akan dibelanjakan bagi membina jalanraya-jalanraya dan $21 juta bagi mengadakan bekalan air di kawasan itu.

3. PERSIDANGAN ECAFE YANG PERTAMA DIADAKAN DI KUALA LUMPUR  [1958]

Pada hari ini , persidangan Suruhanjaya Ekonomi Asia dan Timur Jauh (ECAFE) yang pertama  diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Persidangan ini  dirasmikan oleh Tunku Abdul Rahman Putra.Persidangan yang besar ertinya kepada negara ini juga telah menyeru kepada semua negara kaya supaya mengurangkan perbelanjaan dan memperlengkapkan senjata masing-masing tetapi sebaliknya perbelanjaan yang sedemikian hendaklah digunakan ke arah membantu negara-negara yang miskin dalam meninggikan taraf hidup-rakyatnya.

Gambar : Negara Komonwel yang pernah menjadi tuan rumah sukan Komanwel
Rujukan : Arkib Negara Malaysia

- ZAH -

4 Mac 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 04 MAC

1. PERJANJIAN PERAK-KEDAH  [1912]

Pada hari ini, satu perjanjian telah ditandatangani di antara Sultan Perak, Sultan Idris Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan Sultan Kedah, Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Perjanjian tersebut adalah mengenai sempadan antara Kedah-Perak iaitu di Daerah Baling dan Tasek dan pembinaan sebatang jalan raya dari Baling ke Padang Serai di Negeri Kedah.Antara persetujuan yang dicapai di dalam perjanjian tersebut ialah Sultan Perak bersetuju membina sebatang jalanraya kelas satu dari Baling hingga ke Kuala Ketil sepanjjang 22 batu. jalan yang akan dibina ini akan menyambungkan Klian Intan di Hulu Perak dengan Baling hingga ke Kuala Ketil.



2. RUSUHAN TERHADAP MAJLIS BANDRAN ( SANITARY BOARD KUALA LUMPUR )  [1897]

Pada hari ini , satu rusuhan telah berlaku terhadap Majlis Bandaran (Sanitary Board) Kuala Lumpur. Rusuhan yang berlaku ini adalah ekoran dari bantahan pekedai-pekedai Cina yang dipaksa menggunakan ’Li Teng’ atau ’dacing kecil’. Pekedai-pekedai tidak dibenarkan lagi menggunakan alat-alat timbang dan sukat yang digunakan sebelum itu. Sekumpulan perusuh telah berarak di jalanraya dan telah mengugut semua pekedai supaya menutup kedai mereka.  Notis-notis telah diedarkan kepada orang ramai di sekitar Kuala Lumpur supaya melakukan pemogokan menentang pengguna alat penimbang dan sukat yang baru. Jaminan perlindungan akan diberikan sekiranya sesuatu masalah yang timbul akibat pemogokan yang dilakukan. Selepas tiga hari berada keadaan huru-hara, akhirnya Kuala Lumpur menjadi tenang semula dengan adanya campurtangan dari Encik G.T Hare, peniaga-peniaga yang berpengaruh dan juga ketibaan satu kontingen askar-askar Sikh di Kuala Lumpur. Semua kedai telah dibuka semula dan pengangkutan awam juga beroperasi semula.

3. PARLIMEN KE 10 DIBUBARKAN  [2004]

Pada hari ini  , DYMM Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullai, telah berkenan membubarkan Parlimen ke 10, berkuatkuasa 4 March 2004, bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Negara ke 11, diadakan.Ini bermakna, pilihan raya umum akan diadakan di dalam tempoh 60 hari selepas Parlimen dibubarkan seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.Dalam pilihan raya umum ke 11, BN mencapai kejayaan paling gemilang dalam sejarah pilihan raya apabila memenangi 198 buah kerusi daripada 219 kerusi Parlimen dan pada masa yang sama menguasai 452 daripada 505 kerusi Dewan Undangan Negeri di seluruh negara serta Berjaya kembali menguasai Terengganu daripada Parti Islam Se Malaysia (PAS).

Gambar : Sultan Kedah dan Sultan Perak [1912]
Rujukan : Arkib Negara Malaysia

- ZAH -

3 Mac 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 03 MAC

1. PERBICARAAN PEMBUNUHAN BIRCH  [1876]

Pada hari ini , satu perbicaraan telah diadakan di Bandar Baru, Perak ke atas Seputum, Che Gondah dan Ngah Ahmad yang dituduh membunuh Residen British di Perak, J.W.W. Birch , di Pasir Salak, kampung Dato' Maharaja Lela pada 2 November 1875. Ketiga-tiga orang yang dituduh itu telah dibicarakan di hadapan Raja Deris yang dilantik oleh Sultan Abdullah untuk menghakimkan perbicaraan itu. Frank Swettenham, Residen British di Selangor hadir sebagai juri. Ketiga-tiga yang dituduh tidak mengaku salah, akan tetapi terdapat empat orang saksi yang mengaku telah melihat bahawa ketiga-tiga mereka telah melakukan pembunuhan tersebut. Saksi-saksi tersebut ialah Hamid, yang bekerja sebagai pencuci sampan Birch; Kok Ah Yong, seorang peniaga emas; Mat Tahir, seorang pendayung sampan dan Ho Ah Choy bekerja sebagai tukang masak Kok Ah Yong. Keempat-empat saksi tersebut bersumpah bahawa mereka melihat Seputum memukul J.W.W. Birch, sambil Che Gondah dan rakan-rakannya menyerang Residen Birch. Akhirnya setelah mendengar keterangan-keterangan saksi-saksi tersebut, Raja Deris telah mengumumkan ketiga-tiga yang dituduh bersalah dan telah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Seputum dan hukuman penjara seumur hidup ke atas Che Gondah dan Ngah Ahmad . Seputum telah dihukum gantung pada 20 Mei 1876 di Bandar Baru.

2. LUBUK MINYAK TELAH DITEMUI DI ARAB SAUDI  [1939]

Pada Hari Ini , Minyak ditemui di Arab Saudi. Ia dijumpai semasa pemerintahan Ibn Saud atau lebih dikenali sebagai Raja Abdulaziz. Baginda adalah Raja Saudi pertama dari Dinasti Saud. Arab Saudi, terbina atas campurtangan British dan kesan Perang Dunia I. Pada 1925, Ibn Saud menawan Kota Mekah, menyingkirkan Sultan Hussein bin Ali seterusnya menamatkan pemerintahan Bani Hasyim selama 700 tahun di kota suci tersebut. Dua anak Sultan Hussein kemudiannya menubuhkan kerajaan sendiri bagi meneruskan legasi. Raja Abdullah menjadi raja di Jordan manakala Raja Faisal menjadi menjadi pemerintah di Syria dan Iraq.Di mana ada lubuk wang, di situ lah mereka ada. Kolonial kapitalis yang mengeksploitasi krisis dan konflik kuasa tempatan di mana-mana tempat sekalipun. legasi Ibnu Saud diwarisi oleh anak-anaknya, 5 orang raja Arab Saudi selepas Ibnu Saud adalah terdiri daripada anak-anaknya.



3. DEWAN RAKYAT MELULUSKAN RANG UNDANG-UNDANG BAHASA KEBANGSAAN [1967]

Pada hari ini , Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan dengan 95 undi menyokong dan 11 undi menentang. Tujuan Rang Undang-undang ini digubal adalah bagi melaksanakan ketetapan di dalam Bab 152 Perlembagaan Persekutuan, iaitu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi yang tunggal. Rang Undang-undang ini digubal setelah genap tempoh 10 tahun penggunaan bahasa Inggeris dalam urusan rasmi sebagaimana yang termaktub di dalam Fasal (2) Perlembagaan Persekutuan.Rang Undang-undang Bahasa ini menetapkan bahawa mulai 1 September 1967 hanya bahasa Kebangsaan yang boleh digunakan dalam urusan rasmi.

Gambar : Ibnu Saud, bersama Presiden Amerika Syarikat, Franklin D. Roosevelt, ketika dalam satu pertemuan di atas dek kapal USS Quincy, dalam laluan di Terusan Suez, ketika detik Perang Dunia Ke-2 sampai di penghujungnya.

Rujukan : Arkib Negara Malaysia, Retro Bola Sepak

- ZAH -

2 Mac 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 02 MARCH

1. HUKUMAN KE ATAS AHLI RUKUN 13 YANG MEMBUNUH GABENOR BRITISH KE-2 SERAWAK  [1950]

Pada hari ini, Rosli Dhobi bersama rakan-rakannya Awang Ramli Amit Mohd Deli, Morshidi Sidek dan Bujang Suntong dihukum gantung kerana didakwa atas kesalahan membunuh Gabenor British Ke-2 di Sarawak, Sir Duncan George Edward. Mereka anggota kumpulan Rukun 13 yang cukup tersusun merencana aktiviti dan komplot. Ia cukup terancang.Ada juga yang menyatakan Rukun 13 itu merujuk kepada ketertiban 13 perkara dalam Rukun Solat. Hanya Rosli Dhobi, Awang Ramli Amit Mohd Deli, Morshidi Sidek dan Bujang yang dijatuhkan hukum. Jenazah mereka dikebumikan dalam kawasan Penjara Pusat Kuching. Hanya apabila Sarawak merdeka bersama penubuhan negara Malaysia pada tahun 1963, baharulah batu nisan diletakkan pada kubur di penjara tersebut. Tahun 1996, jenazah dikebumikan semula di Makam Pahlawan Sarawak berdekatan Masjid Kota Sibu mengikut adat istiadat dan penghormatan kebesaran negeri Sarawak.



2. PENGERAN SHAHBANDAR MENYERAHKAN PADAS DAMIT KEPADA SYARIKAT BORNEO UTARA BRITISH  [1889]

Pada hari ini  , satu perjanjian di antara Raja Padas Damit iaitu Pengeran Shahbandar di satu pihak dan British North Borneo Company disatu pihak yang lain ditandatangani. Perjanjian ini dibuat adalah bertujuan untuk mengakhiri perbalahan dan permusuhan di antara British North Borneo Company dan Pengeran Shahbandar.Pengeran Shahbandar bersetuju menyerahkan kepada British North Borneo Company semua kawasan Padas Damit dan semua jajahan di bawah kuasanya iaitu termasuk Padas Klias.  Pengeran Shahbandar juga bersetuju menyerahkan semua kuasa keistimewaannya seperti kuasa memungut cukai dan juga menyerahkan semua dokumen-dokumen mengenai Padas Damit dan Padas Klias.

3. TAMAT LATIHAN POLIS WANITA PERTAMA MALAYA  [1957]

Pada hari ini  , satu perbarisan tamat Latihan Polis Wanita yang pertama telah diadakan di Polis Depoh Kuala Lumpur.  Seramai 54 orang polis wanita telah ditauliahkan dan dikurniakan sijil masing-masing oleh Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Y.T.M Tunku Abdul Rahman.Beliau berasa bangga dengan pencapaian yang telah ditunjukkan oleh kumpulan polis wanita yang pertama ini dan merupakan yang terbaik di Asia Tenggara ketika itu.  Semasa latihan, polis-polis wanita ini telah diajar dan dilatih tentang cara-cara mempertahankan diri, menggunakan senjata, disiplin,  membentuk keyakinan diri dan sebagainya.



Gambar : Pengambilan pertama Polis Wanita pada bulan Ogos 1955.
Rujukan : Arkib Negara Malaysia , Retro Bola Sepak .

- ZAH -

1 Mac 2014

HARI INI DALAM SEJARAH - 01 MARCH

1. UNDANG-UNDANG WAJIB HORMAT LAGU KEBANGSAAN  [1968]

Pada hari ini , Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang mewajibkan orang ramai bangun berdiri memberi hormat apabila lagu kebangsaan dimainkan terutama di tempat awam. Rang Undang-undang ini juga melarang orang ramai mentertawakan lagu kebangsaan dan juga mempermainkan sesiapa sahaja yang menghormati lagu tersebut. Adalah satu kesalahan menggangu dan mengejek orang yang memberi hormat kepada lagu yang menjadi lambang kebangsaan negara ini. Demi menentukan rang undang-undang ini dipatuhi maka kuasa telah diberi kepada pegawai polis untuk menangkap tanpa waran sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan ini. Mereka akan dikenakan denda sebanyak satu ratus ringgit atau satu bulan penjara.

2. PERASMIAN KEJOHANAN HOKI SEDUNIA YANG KETIGA  [1975]

Pada hari ini , Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah telah merasmikan Kejohanan Hoki Piala Dunia yang ketiga, bertempat di Stadium Merdeka. Sebanyak 12 buah negara peserta mengambil bahagian iaitu Argantina, Australia, England, Jerman Barat, Ghana, India, Belanda, New Zealand, Pakistan, Poland, Sepanyol dan Malaysia. Inilah kali pertama Malaysia terpilih menjadi tuan rumah kejohanan tersebut. Perdana Menteri, Tun Abdul Razak iaitu Yang di-Pertua Hoki Malaysia telah menyifatkan kejohanan kali ini sebagai satu sejarah baru dalam perkembangan sukan negara. Kejohanan hoki sedunia ke-3 yang diadakan pada hari ini dalam tahun 1975 membuktikan mutu sukan hoki di Malaysia telah mencapai tahap yang membanggakan, malahan Malaysia telah berjaya memasuki separuh akhir selepas mengalahkan Belanda.



3. PERHIMPUNAN KONGRES MELAYU SELURUH TANAH MELAYU  [1946]

Pada hari ini , suatu Perhimpunan yang bersejarah bagi orang-orang Melayu di seluruh Tanah Melayu termasuk Singapura telah diadakan di Padang Kelab Sultan Sulaiman. Perhimpunan yang dihadiri oleh 41 buah Pertubuhan Melayu itu telah melahirkan satu Kongres politik Melayu yang pertama iaitu Kongres Melayu seluruh Tanah Melayu dalam usaha padu orang-orang Melayu menentang Malayan Union yang mahu menjadikan Tanah Melayu sebagai tanah jajahan British. Tujuan utama Kongres itu adalah untuk menyatupadukan orang-orang Melayu dalam satu badan penyuaraan yang kuat supaya Perlembagaan Malayan Union itu ditarik balik. Rancangan awal dan yang paling mendesak bagi Kongres ini ialah untuk memulihkan kembali kedaulatan Raja-Raja Melayu dan hak-hak orang Melayu sebagai golongan bumiputera.

Gambar : Kejohanan Hoki Kali Ke-3
Rujukan : Arkib Negara Malaysia

- ZAH -

Komen Anda

Sertai Kami